Thursday, May 23, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Jangan Mensia-siakan HidupMu (xi - Akhir)




Bagaimana seorang Kristian boleh menjadikan hidupnya lebih bermakna? Walaupun saya percaya bahawa setiap orang yang terus beriman kepada Kristus tidak akan hilang keselamatannya; tetapi, adalah mungkin bagi orang Kristian untuk mensia-siakan kehidupannya. Yesus Kristus sudah mati bagi kita supaya apabila kita beriman kepada-Nya, kita beroleh hidup yang kekal. Ini pasti. Pun begitu, kita semua memiliki hanya satu nyawa di dunia ini – jangan mensia-siakannya! Kita tidak tahu berapa lama masa yang kita ada sebelum Allah memanggil kita datang kepada-Nya. Melalui perspektif syurgawi ini, apa yang penting ialah bukan berapa lama seseorang itu hidup tetapi bagaimana dia menjalani kehidupan itu.

Untuk tidak mensia-siakan kehidupan kita di dunia yang sementara ini, Allah di dalam Alkitab berfirman agar kita:
1) Mengira kos untuk menjadi pengikut Kristus yang setia. Semua yang percaya ialah anak-anak Allah, tetapi tidak semua ialah pengikut-Nya. Matius 10:16-42 dan Lukas 14:25-35 ialah contoh ayat yang berkaitan dengan bagaimana dan apakah kosnya menjadi seorang pengikut Kristus yang benar-benar setia. Untuk menjadi seorang ‘pengikut Kristus’ bermaksud seseorang itu harus meninggalkan keselesaan dan jaminan keselamatan dunia. Ia bermaksud seseorang itu perlu menyangkal kehendak hati duniawinya. Ia bermaksud seseorang itu perlu bersedia untuk menjadi musuh dan bahan ejekan atau cemuhan dunia.  Ia bermaksud meninggalkan segala-galanya untuk terus mengikuti Yesus.

2) Mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup” (Roma 12:1). “Mempersembahkan” setiap kehidupan harian kita; tidur, makan, kerja, berjalan, memasak, bersaksi, dalam hubungan sesamamu, dan semuanya sebagai “korban yang hidup”. Kenapa? Kerana Kristus telah mati bagi kita agar kita beroleh kehidupan yang baru, agar kita sekarang hidup dengan satu tujuan yang baru iaitu –hidup untuk Allah. Seorang Kristian, C.T. Studd pernah berkata: “Jika Yesus Kristus ialah Tuhan dan Dia telah mati bagi saya, maka tidak ada korban yang terlampau besar yang saya boleh lakukan untuk Dia”.

3) Menyerahkan hidup kita kepada Kristus. Yesus berfirman: “Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan memperoleh hidup yang sejati” (Matius 16:25). Dengan erti kata lain, jika kita ingin memiliki sukacita sejati dan kegembiraan yang tiada bandingnya dalam hidup ini, kita perlu hidup untuk mengembirakan Tuhan Yesus Kristus. Seseorang yang hidup untuk diri sendiri pasti akan merana, dan tidak akan memiliki sukacita yang sejati. Percayalah.

4) Meninggalkan dosa atau perkara yang lampau dan terus melangkah kehadapan. Jangan membiarkan dosa atau perkara yang lalu menghantui kita. Jangan pernah mahu kembali atau mengingininya lagi. Yesus berfirman: “Setiap orang yang mau mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya setiap hari dan mengikut Aku” (Lukas 9:23, TB). Berbuatlah apa saja yang patut sehinggakan ianya adalah sangat mustahil bagi kamu untuk kembali kepada kehidupan lama. “Burn your bridges behind you”. Lakukan ini supaya hati kita tidak berbelah bagi dan agar kita benar-benar taat kepada Kristus.

5) Jangan mudah terpesong. Banyak ‘orang Kristian’ bermula dengan penuh semangat dan berkobar-kobar... tetapi tidak lama kemudian, mereka hilang visi dan keinginan untuk hidup beriman kepada Kristus semakin pudar. Mereka kembali semula kepada kehidupan lama. Cinta akan wang, kesibukkan bekerja, godaan dari rakan-rakan yang jahat, menuruti keinginan diri dan sebagainya adalah antara penyebab mereka jatuh dalam iman. Kita jangan seperti itu. Yesus dengan tegas berfirman: “Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah” (Lukas 9:62, TB).

6) Hidup untuk melayani. “Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang” (Lukas 20:28). Kehebatan sebenar, dalam definasi Alkitab, ialah melalui pelayanan kita kepada orang lain. Ada masa untuk kita dilayani, terimalah dengan hati yang terbuka; tetapi sikap kita mestilah sentiasa ingin melayani. Jadilah seorang yang suka memberi, berkhidmat dan melayani orang lain. “Lebih berbahagia memberi daripada menerima” (Kisah Rasul-Rasul 20:35).

7) Takhtakan Kristus sebagai Raja atas segalanya. Bukan hanya sebahagian hidup kita, tetapi – SEGALANYA – dalam pemikiran dan perasaan; dalam perbuatan dan pertuturan; dalam kehendak hati dan kehendak Allah. Jadikan Dia Raja segalanya atau tidak langsung – kita hanya ada dua pilihan itu saja. Kristus ialah Raja yang juga Bapa dan Kawan kita yang sejati. Dia memerintah, mengasihi dan bersama dengan kita. Wah, inilah Raja kita! Amen.

Kata Penutup untuk “Siri Kehidupan Kristian”
Sebelum saya mengakhiri siri ini, saya ingin mengingati saudara-saudari Kristian yang membaca artikel ini bahawa kehidupan Kristian bukanlah sesuatu yang kita mahu lakukan apabila ada masa lapang, tetapi ialah merupakan perjalanan kehidupan sepenuh-masa yang berlimpah dengan pengembaraan yang akan menjadikan kamu seorang Kristian yang matang dan kukuh iman. Ianya bukanlah kehidupan yang mudah tetapi penuh dengan rintangan dan cubaan. Untuk kita menjadi seorang Kristian adalah mudah kerana keselamatan dari dosa adalah percuma; tetapi untuk menjadi pengikut Kristus ianya tidaklah mudah kerana kosnya adalah segala-galanya. Ianya bukan jalan untuk menjadi popular tetapi jalan kepada penganiayaan; bukan kesenangan tetapi ‘kayu salib’.

Namun begitu, ia ialah satu pilihan kehidupan yang terbaik sekali! Kehidupan yang sangat bermakna dan mempunyai tujuan. Kehidupan yang penuh dan sentiasa berkembang. Kehidupan yang mengatasi segala kesakitan dan kesengsaraan kerana Roh Allah, Roh Sukacita Allah ada bersama kita. Tidakkah kamu tahu bahawa kita melayani Tuhan Allah, Tuan yang terbaik sekali?! Ya! Amen!

Oleh itu, saya menggesa kamu untuk memberi (atau terus memberi) hidup kamu kepada Kristus. Berikan Dia yang terbaik. Jangan berpegang kepada yang lain kecuali Yesus Kristus. Biarlah sukacita kamu penuh apabila suatu hari kelak Tuhan Raja Yesus berkata kepada kamu secara peribadi: “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia... Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama [Tuan]mu!” (Matius 25:21).
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]