Thursday, May 16, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Ajaran tentang Berdoa (ix)



Apakah ajaran Alkitab tentang doa? Orang Kristian tidak mungkin dapat bertumbuh dalam iman sekiranya mereka tidak berdoa. Oleh itu, adalah sangat penting bagi orang Kristian untuk mengetahui apakah ajaran Alkitab yang benar tentang doa. Berikut adalah beberapa soalan dan jawapan (Q&A) yang mungkin boleh membantu kita untuk mengetahui asas-asas penting tentang perkara doa:

1) Kenapa kita perlu berdoa?
Kerana Alkitab menyuruh kita untuk sentiasa berdoa (1 Tesalonika 5:17). Tuhan Yesus sendiri ialah seorang yang sentiasa berdoa. Jika Yesus dalam manusiawi-Nya perlu berdoa, kita lebih lagi! “Berdoalah sentiasa, sebagaimana Roh Allah memimpin kamu” (Efesus 6:18).

2) Berapa kerap kita patut berdoa?
Kita patut berdoa pada masa yang kita telah tetapkan setiap hari, dan pada setiap masa diantaranya. Begini maksud saya; adalah sangat baik jika kita menetapkan masa untuk berdoa sejurus selepas kita bangun dari tidur (pada waktu pagi) dan sebelum kita tidur (pada waktu malam). Kemudian, pada masa diantaranya; kita patut berdoa apabila kita memerlukan pertolongan dari Allah, apabila kita memerlukan perlindungan-Nya dan bimbingan-Nya, dan apabila kita ingin berterima kasih kepada-Nya. Yang pasti, setiap orang Kristian patut berdoa dan mengucap syukur sebelum makan samada semasa bersendirian atau berada di tempat awam (Kawan, apa malu-malu?).

3) Apakah posisi yang sesuai ketika berdoa?
Nabi Daniel “berlutut” apabila berdoa (Daniel 6:11). Yesus juga begitu, Dia “berlutut dan berdoa” (Lukas 22:42). Tetapi, Nehemiah berdiri dihadapan raja apabila dia “berdoa dalam hati kepada Allah” (Nehemiah 2:4). Secara umum, kebanyakkan orang suka berlutut ketika berdoa, namun adalah kelebihan malah keistimewaan bagi kita orang Kristian apabila kita boleh berdoa kepada Allah dalam setiap aktiviti seharian kita. Tiada masalah! Allah kita melihat hati kita ketika berdoa bukan posisi.

4) Apa yang patut kita doakan?
Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan” (Filipi 4:6); Berdoa “untuk semua orang” (1 Timotius 2:1); “Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian” (Matius 9:38) dan sebagainya. Tiada yang sangat sedikit dan tiada yang sangat banyak yang kita boleh doakan. Bagi kawan saya, contohnya, dia lebih suka menyediakan perkara-perkara doa berdasarkan senarai-senarai berikut:
a) Nama-nama keluarga dan kawan-kawan yang belum percaya kepada Kristus,
b) Nama-nama mereka yang sakit atau yang memerlukan doa,
c) Nama-nama mereka yang melayani Tuhan Yesus sepenuh masa, seperti para pastor, para penginjil, guru-guru dan sebagainya.

Apabila kita ada perkara doa yang khusus, kita selalunya akan mendapat jawapan yang khusus juga. Apabila kita berdoa secara umum, kita tidak akan tahu samada doa kita sudah dijawab atau tidak.

5) Bagaimana agar doa kita boleh dijawab?
1) Allah akan menjawab doa jika kita “tinggal di dalam [Dia] dan firman[Nya] tinggal di dalam [kita]” (Yohanes 15:7) Ini bermaksud, kita harus mengasihi dan terus bersama Tuhan Yesus dengan mentaati Firman-Nya; 2) Doa kita mestilah “sesuai dengan kehendak-Nya” (1 Yohanes 5:14). Oleh sebab kebanyakkan kehendak Allah telah difirmankan di dalam Alkitab, doa kita haruslah berdasarkan Firman Allah; 3) Berdoalah dengan “nama [Yesus Kristus]” (Yohanes 14:13). Apabila kita berdoa dengan nama-Nya, Allah akan dimuliakan; dan 4) Tujuan dan sikap kita ketika berdoa mestilah baik (Yakobus 4:3). Jangan harap doa kita akan dijawab sekiranya tujuan kita adalah jahat dan mengutamakan kepentingan diri sendiri.

6) Bahasa apakah yang patut kita gunakan untuk berdoa?
Guna bahasa kita sendiri mengikut keselesaan diri asalkan kita faham apa yang kita sedang doakan. Bagi saya, saya berdoa dalam Bahasa Malaysia, bahasa inggeris dan bahasa iban. Allah yang kita sembah ialah Tuhan kepada semua suku bangsa – Dia mengerti. Yang penting berdoalah dengan penuh rendah hati dan hormat dihadapan-Nya.

7) Apakah perkara-perkara yang harus kita perhatikan ketika berdoa?
1) Jangan berdoa “supaya dilihat orang” (Matius 6:5) Ini hipokrit!; 2) Jangan berdoa kepada Allah apa yang kita sendiri boleh lakukan. Contohnya, jika kamu terjun dari bangunan dan kemudian berdoa agar Allah datang menyelamatkan kamu atau kamu tahu bahawa kamu langsung tidak belajar sebelum menduduki peperiksaan dan kemudian meminta Allah untuk memberi kamu keputusan yang cemerlang; 3) Jangan berdoa untuk sesuatu yang kita tahu kita tidak patut memilikinya! Contohnya, berdoa untuk memiliki iPhone kawan kamu; dan 4) Jangan berdoa “menggunakan banyak kata yang tidak bererti” (Matius 6:7, Pengkhutbah 5:1) dan berulang-ulang.

Beberapa Cadangan dan Peringatan
a) Jika kamu mendapati bahawa ketika kamu berdoa minda kamu melayang-layang ke tempat lain, cuba berdoa dengan suara kedengaran. Ini dapat membantu kamu untuk lebih focus ketika berdoa.

b) Apabila kamu merasakan bahawa doa kamu belum dijawab lagi – jangan mudah berputus asa dan patah semangat! Allah selalunya tidak akan menjawab dengan cepat kerana Dia mahu memberkati kamu dengan sifat kesabaran ketika setia menunggu-Nya; Allah juga tidak pernah lambat menjawab kerana Dia mahu kamu terus percaya bahawa Dia boleh dipercayai.

c) Ini paling penting: Akhir sekali, jika Allah tidak menjawab doa kamu seperti apa yang kamu doakan, ingat ini betul-betul – Allah berhak untuk memberi apa yang terbaik bagi kamu (walaupun kamu tidak mengerti tentang hal misteri ini). Dia akan memberikan yang lebih baik lagi daripada apa yang kita doakan. Ketahuilah, kita tidak tahu apa yang terbaik bagi diri kita sendiri, tetapi – Allah tahu – Dia memberi kita lebih daripada apa yang kita minta atau fikirkan. Amin!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]