Showing posts with label Siri Kehidupan Kristian. Show all posts
Showing posts with label Siri Kehidupan Kristian. Show all posts

Friday, May 24, 2013

Siri Kehidupan Kristian (Lengkap)




Apa yang kamu percaya adalah penting kerana kepercayaan kita menentukan bagaimana cara kita hidup. Dalam Siri Kehidupan Kristian ini, saya ingin membantu saudara-saudari Kristian saya yang lain untuk terus bertumbuh dalam iman dan pengetahuan tentang Alkitab. Mereka yang baru mengenal Kristus akan belajar perkara asas tentang kehidupan baru ini; dan mereka yang sudah lama mengenal Kristus akan diingatkan semula atau mungkin akan mengetahui beberapa kebenaran yang baru yang berguna untuk kehidupan seharian.

Dalam suratnya kepada Timotius yang baru bertugas sebagai gembala di Efesus, Rasul Paulus mendorong Timotius untuk terus: 1) Menjadi teladan dalam percakapan, kelakuan, kasih, iman dan cara hidup yang suci; 2) Membaca dan mengajar Alkitab; 3) Menggunakan kurnia Allah yang diberikan kepadanya; 4) Teruskan berusaha dan jangan berputus asa; dan 5) Memperhatikan diri dan ajarannya (lihat 1 Timotius 4:12-16).

Siri Kehidupan Kristian ini diharap dapat sedikit sebanyak mendorong kamu untuk berbuat begitu. Amen.

Klik tajuk artikel ini untuk membaca:

Rujukkan utama:
a) Alkitab Berita Baik (Bahasa Malaysia) oleh Persatuan Alkitab Malaysia, 1996.
b) Alkitab Terjemahan Baru (Bahasa Indonesia) oleh Lembaga Alkitab Indonesia, 1974.
c) What Christians Believe oleh Moody Press, 1949, 1951.
Best Blogger Tips

Thursday, May 23, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Jangan Mensia-siakan HidupMu (xi - Akhir)




Bagaimana seorang Kristian boleh menjadikan hidupnya lebih bermakna? Walaupun saya percaya bahawa setiap orang yang terus beriman kepada Kristus tidak akan hilang keselamatannya; tetapi, adalah mungkin bagi orang Kristian untuk mensia-siakan kehidupannya. Yesus Kristus sudah mati bagi kita supaya apabila kita beriman kepada-Nya, kita beroleh hidup yang kekal. Ini pasti. Pun begitu, kita semua memiliki hanya satu nyawa di dunia ini – jangan mensia-siakannya! Kita tidak tahu berapa lama masa yang kita ada sebelum Allah memanggil kita datang kepada-Nya. Melalui perspektif syurgawi ini, apa yang penting ialah bukan berapa lama seseorang itu hidup tetapi bagaimana dia menjalani kehidupan itu.

Untuk tidak mensia-siakan kehidupan kita di dunia yang sementara ini, Allah di dalam Alkitab berfirman agar kita:
1) Mengira kos untuk menjadi pengikut Kristus yang setia. Semua yang percaya ialah anak-anak Allah, tetapi tidak semua ialah pengikut-Nya. Matius 10:16-42 dan Lukas 14:25-35 ialah contoh ayat yang berkaitan dengan bagaimana dan apakah kosnya menjadi seorang pengikut Kristus yang benar-benar setia. Untuk menjadi seorang ‘pengikut Kristus’ bermaksud seseorang itu harus meninggalkan keselesaan dan jaminan keselamatan dunia. Ia bermaksud seseorang itu perlu menyangkal kehendak hati duniawinya. Ia bermaksud seseorang itu perlu bersedia untuk menjadi musuh dan bahan ejekan atau cemuhan dunia.  Ia bermaksud meninggalkan segala-galanya untuk terus mengikuti Yesus.

2) Mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup” (Roma 12:1). “Mempersembahkan” setiap kehidupan harian kita; tidur, makan, kerja, berjalan, memasak, bersaksi, dalam hubungan sesamamu, dan semuanya sebagai “korban yang hidup”. Kenapa? Kerana Kristus telah mati bagi kita agar kita beroleh kehidupan yang baru, agar kita sekarang hidup dengan satu tujuan yang baru iaitu –hidup untuk Allah. Seorang Kristian, C.T. Studd pernah berkata: “Jika Yesus Kristus ialah Tuhan dan Dia telah mati bagi saya, maka tidak ada korban yang terlampau besar yang saya boleh lakukan untuk Dia”.

3) Menyerahkan hidup kita kepada Kristus. Yesus berfirman: “Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan memperoleh hidup yang sejati” (Matius 16:25). Dengan erti kata lain, jika kita ingin memiliki sukacita sejati dan kegembiraan yang tiada bandingnya dalam hidup ini, kita perlu hidup untuk mengembirakan Tuhan Yesus Kristus. Seseorang yang hidup untuk diri sendiri pasti akan merana, dan tidak akan memiliki sukacita yang sejati. Percayalah.

4) Meninggalkan dosa atau perkara yang lampau dan terus melangkah kehadapan. Jangan membiarkan dosa atau perkara yang lalu menghantui kita. Jangan pernah mahu kembali atau mengingininya lagi. Yesus berfirman: “Setiap orang yang mau mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya setiap hari dan mengikut Aku” (Lukas 9:23, TB). Berbuatlah apa saja yang patut sehinggakan ianya adalah sangat mustahil bagi kamu untuk kembali kepada kehidupan lama. “Burn your bridges behind you”. Lakukan ini supaya hati kita tidak berbelah bagi dan agar kita benar-benar taat kepada Kristus.

5) Jangan mudah terpesong. Banyak ‘orang Kristian’ bermula dengan penuh semangat dan berkobar-kobar... tetapi tidak lama kemudian, mereka hilang visi dan keinginan untuk hidup beriman kepada Kristus semakin pudar. Mereka kembali semula kepada kehidupan lama. Cinta akan wang, kesibukkan bekerja, godaan dari rakan-rakan yang jahat, menuruti keinginan diri dan sebagainya adalah antara penyebab mereka jatuh dalam iman. Kita jangan seperti itu. Yesus dengan tegas berfirman: “Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah” (Lukas 9:62, TB).

6) Hidup untuk melayani. “Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang” (Lukas 20:28). Kehebatan sebenar, dalam definasi Alkitab, ialah melalui pelayanan kita kepada orang lain. Ada masa untuk kita dilayani, terimalah dengan hati yang terbuka; tetapi sikap kita mestilah sentiasa ingin melayani. Jadilah seorang yang suka memberi, berkhidmat dan melayani orang lain. “Lebih berbahagia memberi daripada menerima” (Kisah Rasul-Rasul 20:35).

7) Takhtakan Kristus sebagai Raja atas segalanya. Bukan hanya sebahagian hidup kita, tetapi – SEGALANYA – dalam pemikiran dan perasaan; dalam perbuatan dan pertuturan; dalam kehendak hati dan kehendak Allah. Jadikan Dia Raja segalanya atau tidak langsung – kita hanya ada dua pilihan itu saja. Kristus ialah Raja yang juga Bapa dan Kawan kita yang sejati. Dia memerintah, mengasihi dan bersama dengan kita. Wah, inilah Raja kita! Amen.

Kata Penutup untuk “Siri Kehidupan Kristian”
Sebelum saya mengakhiri siri ini, saya ingin mengingati saudara-saudari Kristian yang membaca artikel ini bahawa kehidupan Kristian bukanlah sesuatu yang kita mahu lakukan apabila ada masa lapang, tetapi ialah merupakan perjalanan kehidupan sepenuh-masa yang berlimpah dengan pengembaraan yang akan menjadikan kamu seorang Kristian yang matang dan kukuh iman. Ianya bukanlah kehidupan yang mudah tetapi penuh dengan rintangan dan cubaan. Untuk kita menjadi seorang Kristian adalah mudah kerana keselamatan dari dosa adalah percuma; tetapi untuk menjadi pengikut Kristus ianya tidaklah mudah kerana kosnya adalah segala-galanya. Ianya bukan jalan untuk menjadi popular tetapi jalan kepada penganiayaan; bukan kesenangan tetapi ‘kayu salib’.

Namun begitu, ia ialah satu pilihan kehidupan yang terbaik sekali! Kehidupan yang sangat bermakna dan mempunyai tujuan. Kehidupan yang penuh dan sentiasa berkembang. Kehidupan yang mengatasi segala kesakitan dan kesengsaraan kerana Roh Allah, Roh Sukacita Allah ada bersama kita. Tidakkah kamu tahu bahawa kita melayani Tuhan Allah, Tuan yang terbaik sekali?! Ya! Amen!

Oleh itu, saya menggesa kamu untuk memberi (atau terus memberi) hidup kamu kepada Kristus. Berikan Dia yang terbaik. Jangan berpegang kepada yang lain kecuali Yesus Kristus. Biarlah sukacita kamu penuh apabila suatu hari kelak Tuhan Raja Yesus berkata kepada kamu secara peribadi: “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia... Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama [Tuan]mu!” (Matius 25:21).
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Wednesday, May 22, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Menjadi Pelajar Alkitab yang Setia (xi)



Apa orang Kristian perlu tahu tentang Pembelajaran Alkitab (Bible Study)? Dalam kita belajar atau mengkaji Alkitab, kita harus bergantung kepada Roh Allah untuk membantu kita. Dia ialah “Penolong yang diutus oleh Bapa” (Yohanes 14:26), dan kita harus sentiasa menjemput Dia untuk membimbing kita bagi “mengetahui segala kebenaran” (16:13) yang kita perlu tahu untuk hidup seperti seorang Kristian. Tidak ada cara yang ringkas dan mudah untuk kita mengkaji Alkitab. Ianya tidaklah begitu susah tetapi tidak terlampau mudah juga. Ianya memerlukan usaha gigih, ketekunan dan sikap rendah diri yang mahu belajar dan diajar oleh Tuhan.

Untuk menjadi seorang pelajar Alkitab yang setia dan serius, secara asas kita memerlukan beberapa ‘peralatan’ untuk membantu kita:
1) Buku Pelajaran Alkitab (Study Bible) yang bagus. Antaranya saya cadangkan ialah, Zondervan’s NIV Study Bible dan Life Application Study Bible. Kedua-dua Alkitab ini mengandungi banyak nota-nota rujukkan yang baik untuk kita memahami isi kandungan Firman Allah;

2) Buku konkordans atau buku indeks perkataan Alkitab (Bible concordance) yang bagus. Selalunya, dalam setiap Buku Pelajaran Alkitab ada terdapat konkordans yang ringkas dan asas di muka surat belakang. Salah satu buku yang saya guna ialah The Strong’s Exhaustive Concordance kerana ia mengandungi rujukkan maksud dalam bahasa asal Yunani dan Ibrani. Saya guna jika perlu sahaja;

3) Kamus Alkitab (Bible Dictionary) yang bagus. Kamus ini mengandungi pelbagai maklumat yang berguna tentang subjek-subjek penting di dalam Alkitab. Bagi saya, IVP’s Bible Dictionary Series adalah sangat membantu.

4) Selain daripada itu, Buku Panduan Alkitab (Bible Handbook) (seperti What the Bible is All About oleh Dr. Hendrietta C. Mears dan The Complete Guide to the Bible oleh Stephen M. Miller) juga sangat berguna.

Tip: Kecuali Buku Pelajaran Alkitab yang agak mudah untuk dicari, kadang-kadang agak susah bagi kamu untuk memiliki buku-buku rujukkan seperti di atas kerana tidak banyak kedai-kedai buku Kristian yang ada di Malaysia (terutamanya di Sarawak). Mungkin juga kamu tidak mampu memilikinya kerana kosnya agak mahal sebagai permulaan. Oleh itu, cara yang paling mudah ialah dengan memuat turun aplikasi E-Sword dengan percuma. E-Sword memiliki hampir kesemua ‘peralatan’ di atas dan ianya cukup sebagai asas. Cubalah!

Selepas kamu siap dengan ‘peralatan’ di atas, kamu sudah bersedia untuk menjadi pengkaji Alkitab yang setia dan serius;
a) Perkara pertama yang kamu perlu lakukan ialah membahagikan masa yang sesuai untuk duduk dan mula membaca Alkitab. Saya mencadangkan supaya kamu membaca kitab Matius terlebih dahulu sampai habis Perjanjian Baru. Selepas itu, teruskan membaca kitab Kejadian sampai habis Perjanjian Lama. Kamu boleh menggunakan pelan membaca Alkitab setahun atau 3 tahun bergantung kepada keupayaan membaca kamu [Fellowship of Evangelical Students (FES) Malaysia mempunyai pelan untuk membaca Alkitab dalam masa 3 tahun; satu bab satu hari. Jika kamu mahu pelan ini secara percuma, sila beri komen di bawah]. Jangan baca hanya untuk mengenapi pelan membaca, tetapi baca untuk memahami apa yang Alkitab ingin katakan.

b) Apabila kamu sampai kepada perkataan yang kamu tidak faham, sila rujuk kamus Alkitab atau kamus biasa. Jika kamu tidak tahu maksud ayat Firman itu, sila baca semula dalam kontek ayat sebelumnya dan selepasnya; dan kaji maksud ayat itu dengan lebih terperinci lagi. Jika tidak dapat juga, tulis nota tentang masalah ini, dan cari maksudnya di dalam Buku Pelajaran Alkitab atau buku komentar apabila kamu ada masa nanti [Antara buku-buku komentar yang saya cadangkan ialah IVP’s The Bible Speaks Today commentary series].

c) Membandingkan Firman Allah dengan Firman Allah yang lain. Adalah sangat bahaya dan cuai untuk kita membuat kesimpulan tentang ajaran Alkitab hanya dengan menggunakan satu ayat Firman sahaja. Cari dengan teliti apakah ajaran yang konsisten di dalam keseluruhan Alkitab tentang subjek-subjek tertentu. Bak kata ahli teologi dahulu: “Kebenaran tidak akan bercanggah dengan kebenaran”.

d) Adalah sangat bermanfaat untuk kamu menulis dan menjawab soalan-soalan ini (jika ada) selepas kamu membaca Alkitab;
(1) Apa yang saya sudah pelajari tentang Yesus Kristus? (Apabila kamu membaca kitab Perjanjian Lama, kadang-kadang kamu mendapati bahawa ada nubuat, bayangan atau petunjuk tentang Kristus, Penyelamat kita).
(2) Apakah prinsip utama Alkitab yang saya pelajari di dalam bacaan saya ini?
(3) Apakah janji Allah yang boleh saya pegang dalam kehidupan saya?
(4) Mana satukah ayat Firman yang berbicara dengan saya secara peribadi?
(5) Apakah dosa yang harus saya jauhi?
(6) Apakah contoh yang boleh saya ikuti?

e) Berbicara atau berkongsi dengan orang lain tentang apa yang telah kamu pelajari melalui pembacaan Firman Allah pada hari itu. Ada dua faedah yang kamu akan dapat dengan berbuat begitu: 1) Kamu akan lebih ingat tentang pelajaran itu; dan 2) kamu juga akan memberkati orang lain yang mendengar hasil pembelajaran kamu tentang Alkitab. Secara peribadi, ada dua cara untuk saya berkongsi hasil kajianan saya; 1) melalui perbualan biasa, dan 2) melalui media seperti Facebook dan Blogger. Cubalah!

f) Cuba untuk mengingati beberapa ayat Firman Allah setiap minggu. Antara ayat-ayat yang penting untuk kita ingat ialah seperti Yohanes 3:16, Yohanes 3:36, Roma 10:9 dan sebagainya. Biarkan Firman Allah sentiasa bermain di dalam fikiran kamu sehinggalah kamu benar-benar percaya di dalam hati. Kamu pasti akan mendapati bahawa ianya sangat berguna bagi kamu secara peribadi dan kamu akan lebih yakin apabila berbicara dengan orang lain mengenai Firman Allah [Bagi saya, saya sangat lemah untuk mengingati nombor. Apa yang saya lakukan ialah mengingati ayat Firman dengan menggunakan imaginasi dan nada suara. Ini sangat berkesan bagi saya... mungkin tidak berkesan bagi semua orang].

g) Tujuan utama, seharusnya, kita belajar Alkitab ialah agar kita menjadi pelaku Firman Allah (bukan hanya semata-mata untuk mengkaji dan mengetahui maksudnya). Kita patut membiarkan Firman Allah menegur kita, membetulkan kita, mendorong kita dan membentuk peribadi kita sehingga menjadi seperti Tuhan Yesus.

Kesimpulan: Ingat! Apabila kita mengkaji Alkitab, kita sebenarnya mengkaji Firman Allah yang Hidup. Ia hidup kerana Allah yang berfirman itu hidup dan Ada bersama dengan kita sekarang. Untuk mengenal Allah, kita harus mengenal Firman-Nya; untuk mengetahui kehendak Allah, kita harus mengetahui Firman-Nya; dan untuk kita mengasihi Allah, kita harus tahu akan kasih-Nya dan sentiasa mengingati perbuatan-Nya bagi kita. Jadi, dengan kuasa dan pimpinan Roh Allah – lakukan yang terbaik untuk menjadi pelajar Kristus yang setia dengan mengkaji Alkitab “siang dan malam” (Yosua 1:8).
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Tuesday, May 21, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Bersaksi dan Memenangkan Jiwa bagi Kristus (x)



Bagaimana seorang Kristian boleh membawa orang lain kepada Kristus? Memenangkan jiwa bagi Yesus Kristus adalah satu pekerjaan yang paling hebat sekali di dunia (bukan untuk mendapat ‘pahala’ – tidak ada istilah ‘pahala’ dalam ajaran Kristian – tetapi kerana kita ingin berkongsi sukacita dalam mengenal Kristus secara peribadi). Walaupun tidak ada cara-cara atau langkah-langkah yang teratur (yang bersistem) untuk memastikan kejayaan dalam memenangi jiwa bagi Kristus, ada beberapa prinsip asas yang penting yang boleh membantu kita untuk melakukannya dengan sebaik mungkin;

1) Adalah sangat mustahak bagi kita yang ingin memenangi jiwa bagi Kristus haruslah sendiri sihat dari segi rohani. Kita mestilah sentiasa memenuhi jiwa, hati dan fikiran kita dengan Firman Allah. Kita harus sentiasa meluangkan masa untuk berdoa. Kita perlu menyerahkan kehidupan kita kepada Allah setiap waktu. Kita mesti mengaku dan meninggalkan dosa yang lalu. Dengan berjalan bersama Roh Allah, Allah sendiri akan mengajar kita untuk bersaksi tentang-Nya. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya dahulu dan kepada kita orang Kristian sekarang: “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku” (Matius 4:19).

2) Adalah baik sekiranya kita berdoa setiap hari meminta Allah membimbing kita kepada orang yang Dia telah panggil untuk kita bersaksi tentang-Nya. Kita tidak mungkin boleh bersaksi kepada semua orang yang kita jumpa setiap hari dan kita tidak mungkin dapat mengetahui siapakah yang sudah siap untuk ‘dituai’ – tetapi kita yakin bahawa Allah tahu. Biarlah Allah sendiri yang membimbing kita agar apa yang kita lakukan pada masa itu boleh membuahkan banyak lagi hasil ‘tuaian’ kepada-Nya.

3) Kita harus mengambil sebaik mungkin peluang untuk bersaksi tentang Kristus. Peluang sentiasa ada dimana-mana setiap masa. Ambil peluang ketika kita berbual kosong atau ketika kita berbincang mengenai perkara-perkara yang berlaku disekeliling kita dengan orang lain. Kadang-kadang kita tidak perlu menunggu peluang datang – kita sendiri harus mencari peluang itu. Ketika ramai orang berbual tentang perkara politik, isu agama, keadaan cuaca dan berita sukan, kita boleh berbicara tentang perspektif dan ajaran Alkitab mengenai hal-hal tersebut. Pendek kata, kita harus mengambil peluang ini untuk berbicara tentang Kristus. Kenapa kita harus tutup mulut tentang Kristus, Penebus dosa kita?

4) Cuba untuk memetik Firman Allah sekerap yang mungkin.Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua” (Ibrani 14:12). Ia mempunyai kuasa untuk menyentuh jiwa lebih dalam lagi dari perkataan yang datang dari mulut kita sendiri. Ia ialah “pedang” Roh Allah, and setiap askar Kristus harus menggunakan senjata ini dengan lebih kerap lagi. Mereka yang belum mengenal Allah akan cuba sedaya upaya untuk menghalang kita daripada membaca atau pemetik Firman Allah. Jangan berhenti. Jika mereka berkata bahawa mereka tidak percaya kepada Alkitab, teruskan memetik Firman Allah lebih lagi.

5) Sentiasa melakukan tindakkan susulan. Tidak ramai yang terus beriman kepada Kristus selepas mereka mendengar Berita Baik tentang-Nya buat kali pertama. Mereka selalunya akan mendengar berulang-ulang kali sebelum percaya. Berlemah-lembutlah dengan mereka. Berilah mereka buku atau risalah Kristian yang boleh membantu mereka untuk menjawab persoalan-persoalan yang penting tentang Kristus sebelum membuat keputusan untuk beriman kepada-Nya. Terutama sekali, berdoalah bagi mereka. Janganlah mudah tawar hati jika ada yang menentang kamu. Penentangan ini menunjukkan bahawa mereka sudah mula disentuh oleh Roh Allah; yang paling bahaya ialah bukan ini tetapi apabila mereka bersikap tidak peduli atau tidak acuh.

6) Jangan memaksa mereka untuk membuat keputusan. Keputusan yang diambil secara terburu-buru atau secara paksaan adalah sangat tidak baik. Ianya mungkin atas sebab manipulasi minda dan bukannya perubahan hati yang benar. Ianya bukan sahaja tidak baik untuk individu tersebut, malah ianya tidak mencerminkan kasih Kristus. Jadilah saksi Kristus yang setia – dan biar Allah sendiri yang menyentuh hati mereka untuk membuat keputusan tersebut. Terus setia maka Allah akan menambahkan lagi kuasa kesaksian kita. [Ingat: Hanya Roh Allah sahaja yang boleh mengubah hati seseorang untuk menerima Kristus, kita hanya bersaksi bagi-Nya].

7) Jika sukar untuk kita bersaksi dengan orang lain tentang Kristus, beritahu Dia dan berdoa supaya Dia memberikan kita kekuatan dan keberanian untuk bersaksi bagi-Nya. Jika kita benar-benar mahu, Dia pasti akan melakukannya! (Saya begitu pasti tentang perkara ini kerana memang ini kehendak-Nya).

8) Kalau boleh pastikan bahawa kita sentiasa membawa Alkitab atau buku-buku Kristian bersama kita. Contohnya; Alkitab kecil seperti ‘Perjanjian Baru’ yang dicetak oleh The Gideons International atau buku ringkas ‘Bukan Sekadar Tukang Kayu’ yang dicetak semula dalam bahasa Malaysia oleh Fellowship of Evangelical Students sangat berkesan untuk bersaksi bagi Kristus. Kita boleh memberi buku-buku ini secara percuma kepada sesiapa yang kita jumpa samada di pejabat atau di tempat kita belajar sekarang atau di tempat awam seperti di tempat makan, hotel atau semasa berada di dalam bas. Jika ada yang bertanya tentang Kristus, kita sudah bersedia.

Pesanan Khas: Bagi pelajar-pelajar Kristian yang sedang menuntut di kampus atau di universiti di Malaysia, adalah sangat sukar dan bahaya bagi kamu untuk bersaksi secara terbuka. Walaupun negara kita ada perlembagaan yang mengatakan bahawa kita mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan beragama... tetapi... faham sahajalah. Oleh itu, saya ingin memberi cadangan yang mudah dan selamat bagi kamu: Bersaksilah bagi Yesus Kristus melalui cara hidup dan pergaulan kamu dengan saudara-saudari Kristian yang lain. Jangan bersaksi melalui perkataan kamu terlebih dahulu, bersaksi melalui perbuatan kamu dulu. Apabila mereka yang belum percaya melihat perbuatan baik kamu dan memerhati bahawa kamu hidup aman dan saling mengasihi sesama sendiri, mereka akan tertarik untuk mengetahui apakah sebabnya. Biar mereka melihat dan bertanya; biar diri kamu dilihat dan ditanya. Apabila mereka sudah tidak tahan lagi dan bertanya, “Richard, saya ada satu soalan yang saya sering kali tertanya-tanya apabila melihat kamu – kenapa kamu sangat berbeza dengan yang lain? Apa yang terjadi kepada kamu?” Maka kamu dengan sukacita menjawab: “Yesus Kristus yang mengubah saya”. Dari situ, kamu terus bersaksi tentang-Nya. Dengan ini, kamu secara teknikal tidak menyebarkan agama Kristian kepada orang bukan Kristian secara langsung – tetapi kamu hanya menjawab soalan yang ditanyakan kepada kamu. Tidak ada undang-undang Malaysia yang boleh menghukum kamu untuk menjawab soalan seperti itu!

Biarlah sukacita ada bersama kamu apabila kamu bersaksi bagi Tuhan Yesus Kristus.
bagi Dia, satu-satunya Allah yang penuh hikmat,
oleh Yesus Kristus: segala kemuliaan sampai selama-lamanya! Amin

 (Roma 16:27,
TB).
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]