Bagaimana seorang Kristian
boleh tahu tentang kehendak Allah di dalam kehidupan dia? Setiap orang Kristian harus ingin mengetahui kehendak Allah dalam setiap
perkara. Hidup kita adalah sia-sia sekiranya rencana Allah tidak kita ketahui
dan ditaati. Alkitab mengajar bahawa Tuhan mahu menunjukkan kehendak-Nya kepada
sesiapa yang betul-betul ingin tahu tentang rencana-Nya (Yohanes 7:17). Adalah
satu kelebihan bagi orang Kristian untuk “mengetahui kehendak Allah – iaitu apa yang baik dan
yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna” (Roma 12:2).
Ini sepatutnya menjadi kebiasaan bagi kita Kristian yang percaya.
Tidak kira samada seseorang itu mengingini
petunjuk atau pimpinan Allah dalam sesuatu perkara, ada 5 langkah-langkah
Alkitabiah (ini ialah cadangan sahaja, bukan sesuatu yang “harus” atau “mesti”
dilakukan) yang boleh kita lakukan untuk mengetahui kehendak Allah. Berikut
ialah kesimpulannya: BERSERAH, MENGAKUI,
BERDOA, BELAJAR, dan MENUNGGU.
1) BERSERAH
Untuk berserah ialah untuk mempersembahkan diri
kita seadanya kepada Allah. Ia bermaksud; menyerahkan segala harapan, cita-cita
dan keinginan peribadi kepada-Nya. Ia bermaksud; mengingini kemahuan Allah
lebih daripada keinginan diri sendiri [Soalan: Bukankah Allah lebih mengetahui
tentang siapa diri kita sebenarnya daripada kita sendiri?] Rasul Paulus
berserah apabila dia berkata: “Tuhan, apakah yang harus kuperbuat?”
(Kisah Para Rasul 22:10, TB). Nabi
Yesaya berserah: “Inilah
aku. Utuslah aku!” (Yesaya 6:8). Amaziah juga berbuat begitu “dengan sukarela
telah menyerahkan dirinya kepada TUHAN” (2 Tawarikh 17:16, TB).
2) MENGAKUI
Jika kita ingin berada di dalam kehendak Allah,
kita perlu mengakui segala dosa kita (termasuk yang tersebunyi dan mungkin kita
sendiri tidak ketahui) kepada-Nya. Ingat akan Firman Allah di dalam buku Mazmur
66:18, “Andaikata
aku membiarkan dosa di dalam hatiku, pasti Tuhan tidak akan mendengar aku”.
Kita juga harus mengakui kelemahan, kekurangan, dan kebergantungan kita kepada
kuasa Allah (lihat Mazmur 139:23-24).
3) BERDOA
Ini secara ringkas bermaksud bahawa kita perlu datang kepada-Nya secara lazim
dan dengan kerap – meminta supaya Allah akan menunjukkan jalan-Nya kepada kita.
Kita patut menuntut janji-janji-Nya tentang penyertaan-Nya di dalam kehidupan
kita; dan berdoa agar Dia akan melakukan seperti apa yang Dia telah firmankan
[Bukan disebabkan Allah perlu tahu atau supaya Dia ingat akan janji-Nya; tetapi
supaya semasa kita berdoa, kita sendiri akan diingatkan]. Setiap doa kita
haruslah bertujuan dan mengutamakan kemuliaan Allah.
4) BELAJAR
Luangkan masa untuk membaca dan mengkaji Firman
Allah, iaitu Alkitab. Baca sambil berdoa. Baca dan meminta agar Allah berfirman
kepada kamu secara peribadi melaluinya. Baca dengan perlahan-lahan. Baca dan
merenung Firman Allah. Baca dengan penuh pengharapan. “Ajarlah aku melakukan kehendak-Mu,
sebab Engkaulah Allahku!” (Mazmur 143:10, TB).
5) MENUNGGU
Jika Allah belum menjawab doa kamu – tunggu. Pemazmur berkata, “Dengan tenang
aku menantikan Allah; Dia sahaja yang memberi aku harapan”
(62:6) – tunggu. Jika Allah
masih lagi juga belum menjawab doa kamu selepas sekian lama kamu menunggu,
maka, besar kemungkinan – Allah mengingini supaya kamu terus berada di mana
kamu berada sekarang. Jika kamu
benar-benar percaya kepada-Nya, kamu tidak akan mudah gelisah atau cemas. “Sesiapa yang
percaya dengan teguh tidak akan cemas” (Yesaya 28:16).
Saudara-saudariku dalam Kristus, Tuhan Allah
selalunya akan menyatakan kehendak-Nya dalam pelbagai cara. Adakalanya Dia akan
menyatakannya melalui satu cara, atau dalam beberapa cara (berlainan orang,
tempat dan masa) seperti berikut:
a) Melalui Firman Allah. Alkitab memberi petunjuk melalui dua kaedah. Pertama, ia akan menunjukkan
kepada kita dengan melarang sesetengah tindakkan yang kita ingin lakukan.
Sebagai contoh; jika ada seorang Kristian ingin mengetahui kehendak Allah
samada untuk mengkahwini seorang wanita bukan Kristian atau tidak, dia akan
mendapat jawapan terus daripada Allah melalui firman dalam 2 Korintus 6:14
(Jawapannya “tidak”). Kedua, ia akan
menunjukkan kepada kita dengan menggalakkan sesetengah tindakkan
yang kita ingin lakukan. Ini sering berlaku kepada saya sendiri. Mazmur
119:105, sebagai contoh, mengatakan bahawa: “Firman-Mu itu pelita bagi kakiku dan
terang bagi jalanku”.
b) Melalui
orang Kristian yang lain. Kadang-kadang, adalah sangat
baik bagi kita untuk meminta nasihat daripada orang Kristian yang lain.
Kematangan, pengalaman, dan tunjuk-ajar daripada orang Kristian yang lain
selalunya akan menyelamatkan iman kita daripada jatuh ke dalam dosa dan
mengelakkan kita daripada melakukan kesalahan yang sama berulang semula (lihat
Ibrani 13:7).
c) Melalui
perkara dan kejadian yang berlaku disekeliling kita. Allah
ialah Tuhan yang berkuasa keatas segalanya. Dia boleh dan selalunya akan
merancang sesetengah perkara yang berlaku di dalam hidup kita untuk menunjukkan
kehendak-Nya. E-mail, surat atau pesanan ringkas (sms), contohnya; akan datang
pada masa yang sesuai dan tepat pada waktunya untuk memberi petunjuk.
d) Melalui Roh
Allah. Roh Allah boleh mempengaruhi
keyakinan kita, keinginan kita dan kecendungan kita untuk melihat kehendak
Allah dengan lebih jelas lagi. Dalam sesetengah kes, bimbingan Roh Allah sangat
jelas sekali sehinggakan untuk menolak bimbingan-Nya adalah sama seperti tidak
mentaati-Nya (Kes seperti dalam Kisah Para Rasul 11:12; 16:16-17). Oleh itu,
sediakan dirimu untuk mendengar suara dan pimpinan Roh Allah setiap masa.
Akhir sekali – apabila Allah memberikan bimbingan
“pengelihatan”
kepada kamu, taatilahnya (Kisah Para Rasul 26:19). Pimpinan atau bimbingan
mestilah ditaati supaya ianya akan sentiasa diberikan kepada kamu. Ketaatan
kepada bimbingan Allah ialah asas utama untuk sukacita yang sebenar dan ia
merupakan nilai kerohanian yang mulia. Saudara-saudariku dalam Kristus, ingin
selalu untuk mencari kehendak Allah dalam kehidupanmu – bagi kemuliaan Allah.
Amen!
THINK BIG. START SMALL. GO
DEEP.
No comments:
Post a Comment