Saturday, April 13, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Pengekalan dalam Keselamatan (iii)


Bolehkah atau adakah mungkin bagi orang yang sudah diselamatkan oleh Kristus akhirnya binasa? Jika seseorang itu betul-betul telah dilahirkan semula oleh Roh Allah (lihat siri pertama), maka dia tidak mungkin akan binasa. Orang yang percaya kepada Kristus akan selamat dan dijaga oleh Allah selama-lamanya. 7 ayat-ayat dalam Alkitab dibawah ialah bukti kukuh tentang kebenaran yang agung ini (walaupun banyak lagi bukti firman yang boleh kita kaji bersama);

1) “[Yesus] memberi [orang yang percaya] hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa” (lihat Yohanes 10:27-29, BM)
Lihat ayat “mereka tidak akan binasa”. Berdiri teguhlah dalam janji ini. Ini ialah janji Kristus tanpa ada syarat yang melibatkannya. Tidak ada seorang pun milik-Nya akan binasa! Lihat juga, bahawa Kristus dan Bapa akan sentiasa menjaga kita selamanya (ayat 29).

2) Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 5:24)
Di sini, Yesus Kristus berjanji bahawa setiap orang yang mendengar dan percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal – dan tidak akan dihukum, malah mulai benar-benar hidup. Jika seorang yang percaya dan sudah pun diselamatkan binasa, maka Anak Tuhan sudah gagal untuk memegang janji-Nya sendiri.

3) Sesiapa yang percaya kepada [Yesus] beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:36)
Lihat, ayat ini tidak mengatakan bahawa orang yang percaya ‘akan beroleh’ atau ‘suatu hari nanti akan beroleh’; tetapi pada masa itu juga, sekarang –  dia “beroleh hidup sejati”. Sampai bila? “kekal”. Ia juga bermaksud selamanya!

4) “[Paulus] yakin bahawa tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita... tidak ada sesuatu pun di alam semesta yang dapat menghalang Allah mengasihi kita...” (Roma 8:38-39).
Paulus menulis bahawa kematian, kehidupan, malaikat, iblis, kekuasaan, hal-hal yang berlaku sekarang, masa yang akan datang atau apa-apa pun TIDAK dapat menghalang Kristus daripada mengasihi kita. Orang yang percaya kepada-Nya akan sentiasa beroleh keselamatan dan dijaga oleh Allah sendiri.

5) Aku tetap yakin, kerana aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa [Yesus Kristus] berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku sehingga Hari Kiamat” (2 Timotius 1:12)
Paulus di sini yakin bahawa Kristus berkuasa menjaga Berita Baik tentang diri-Nya sendiri – termasuklah tentang keselamatan Paulus dan orang percaya yang lain di dalam Kristus – sehingga akhir. Adakah mungkin Kristus tidak mampu menjaga apa yang telah dipercayakan kepada-Nya? Tidak mungkin.

6) Allah dapat menjaga kamu supaya tetap beriman..” (Yudas 24)
Tuhan Yesus akan menjaga orang yang percaya daripada terus jatuh dalam iman dan akan membawa mereka dengan selamat ke hadirat-Nya. Kita tidak mampu untuk menjaga diri kita sendiri sama seperti kita tidak mampu untuk menyelamatkan diri kita sendiri – tetapi Kristus mampu!

7) Mereka yang dibenarkan-Nya, mereka itu juga dimuliakan-Nya” (Roma 8:30, TB)
Setiap orang yang sudah diselamatkan pasti akan dimuliakan-Nya. Walaupun kita belum lagi memiliki tubuh kemuliaan itu, Tuhan Allah berfirman ia sebagai suatu fakta yang pasti terjadi. Jika kita sudah dibenarkan-Nya, maka, Allah melihat bahawa kita juga sudah dimuliakan-Nya. Dalam erti kata lain, kita orang Kristian sudah pasti akan bersama dengan Allah disyurga dengan penuh kemuliaan dalam kemuliaan-Nya.

Beberapa Fakta yang kita patut Tahu dan Fahami

Berdasarkan hal pengekalan dalam keselamatan di atas, apa beberapa fakta yang kita patut tahu dan fahami; Seorang Kristian tidak akan binasa atau hilang keselamatannya apabila dia melakukan dosa. Kristus sudah membayar semua hukuman dosa kita – dahulu, sekarang dan akan datang. Tuhan Allah tidak akan meminta hukuman keadilan bagi setiap dosa kita sekali lagi. Oleh kerana Kristus sudah mati bagi kita, kita sudah tidak perlu mati bagi dosa kita lagi. Allah Hakim yang adil sudah memaafkan pendosa seperti kita kerana iman kita kepada Kristus.

Namun begitu, apabila orang Kristian melakukan dosa, Allah Bapa tidak berkenan kepadanya, dan hubungan diantara anak-anak-Nya dan Bapa akan terus renggang sehinggalah dia “mengakui dosa kepada Allah” (1 Yohanes 1:9). Lihat, ada perbezaan yang besar diantara Allah Hakim yang menghukum pendosa dan Allah Bapa yang mendisiplinkan anak-anak-Nya. Untuk kes yang pertama, hukuman bagi dosa ialah mati; tetapi untuk kes yang kedua, akibat dosa ialah hubungan yang renggang.

Orang Kristian tidak boleh berbuat dosa dan melihat ia sebagai sesuatu perkara kebiasaan dan normal. Jika ada anak-anak Allah yang sesat jauh meninggalkan Bapa, dia patut disedarkan melalui “hukuman daripada seorang bapa” (Ibrani 12:7). Allah Bapa mungkin akan menggunakan kesedihan atau penderitaan untuk membawa kita kembali kepada-Nya... dan banyak lagi cara lain Allah berkerja. Disini kita harus ingat bahawa walaupun orang Kristian sengaja atau tidak sengaja melakukan dosa – tiada anak-anak Allah yang benar akan terus-menerus melakukan dosa. Seorang Kristian bukan seorang yang sempurna sehingga tidak pernah akan melakukan dosa lagi, tetapi dia ialah seorang yang beransur-ansur (sehingga dipanggil oleh Allah) kurang melakukan dosa dan sentiasa bertaubat (Jika seseorang itu terus-menerus melakukan dosa dan tidak mahu kembali dalam perhubungan bersama Allah walaupun Allah banyak kali telah memberi peluang untuk dia bertaubat, ini ialah tanda bahawa dia sebenarnya tidak pernah “dilahirkan semula” oleh Roh Allah).
Amaran: Jangan menganggap bahawa pengekalan dalam keselamatan itu sebagai alasan untuk kamu berbuat dosa, malah jadikan ia sebagai sebab kenapa kamu tidak mahu atau tidak harus berbuat dosa.

Akhir sekali, mungkin ada beberapa ayat di dalam Alkitab yang mengatakan seakan-akan bahawa orang Kristian boleh binasa atau hilang keselamatan di dalam Kristus. Namun begitu, jika kamu mengkaji setiap firman itu dengan lebih teliti lagi, kamu akan mendapati bahawa ia sebenarnya merujuk kepada mereka yang berpura-pura atau ‘menganggap’ bahawa diri mereka ia seorang Kristian padahal tidak. Atau mereka yang tahu akan jalan kebenaran tentang penyelamatan dan telah menolak Berita Baik itu dengan sengaja. Harus diketahui bahawa tidak ada satupun ayat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa orang yang (benar-benar) telah dilahirkan semula dan percaya kepada Kristus akan binasa suatu hari kelak.

Orang yang percaya kepada Kristus akan selamat dan dijaga oleh Allah selama-lamanya. Amen.

THINK BIG START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]