Tuesday, April 2, 2013

Ya Tuhan, Ajarku untuk tidak Melakukan Kesilapan Itu Lagi

Ada perbezaan yang ketara diantara melakukan kesilapan dan melakukan dosa. Contoh, apabila kamu memberi jawapan yang salah dalam ujian SPM ia ialah satu kesilapan; meniru semasa melakukan ujian ialah satu dosa. Kamu boleh mengelak (secara amnya) daripada melakukan kesilapan berulang semula dengan belajar lebih rajin lagi, membuat perancangan dengan lebih teliti, atau dengan memeriksa semula apa yang kamu lakukan berkali-kali. Tetapi untuk mengelak daripada melakukan dosa berulang-ulang kali, kamu memerlukan pertolongan Tuhan Allah. Bagi orang yang sudah percaya dan telah meletakkan iman kepada Kristus, rasul Paulus menulis, “Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali” (Filipi 1:6, BM). Orang Kristian yang telah menerima Kristus sebagai Juruselamat dan Tuhan, dan Roh Kudus telah tinggal bersama mereka – mereka tidak akan melakukan dosa yang sama berulang-ulang kali. Apabila mereka berdosa, mereka akan meminta pengampunan daripada Tuhan Allah dan Dia akan pasti mengampuni mereka.

Baiklah, mari kita berbincang tentang hal melakukan kesilapan. Seperti dosa, kesilapan juga ada kesan sampingannya – terutama sekali jika kita melakukannya berulang-ulang kali. Kebolehan untuk kita belajar melalui kesilapan dan perkembangan rohani dimana kita menjadi seperti Kristus hari demi hari memerlukan kita untuk sentiasa meminta pertolongan daripada Tuhan Allah.

Soalan: Dari manakah sumber pertolongan itu datang? Banyak caranya, tetapi ada 2 sumber yang paling utama yang saya mahu kongsikan disini: 1) Secara dalaman – melalui Roh Kudus (atau Roh Allah), dan 2) Secara luaran – melalui Firman Allah (atau Alkitab). Melalui kurnia-Nya, Roh Kudus dan melalui Firman-Nya, Alkitab, Tuhan Allah menyediakan (dan memberi) kebijaksanaan yang kita perlukan untuk belajar melalui kesilapan dan menjadikan kita lebih matang secara rohani supaya kita tidak akan melakukan kesilapan yang sama lagi. Dalam doa kesyukuran, Paulus menulis: “Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga” (Kolose 1:9-10, BM).

Roh Kudus akan memberikan kebijaksaan kepada kamu dan membuka mata hati kamu untuk mengerti Firman Allah apabila kamu membacanya. Oleh itu, apabila kamu berdepan dengan masalah, kamu tidak takut untuk melakukan kesilapan. Ini kerana kamu akan tahu bagaimana caranya untuk kamu berdepan dengan situasi atau masalah tersebut. Kamu sendiri akan melihat bagaimana Tuhan Allah membantu kamu untuk bertumbuh dalam iman dalam apa saja perkara yang kamu lakukan (Nota: ayat “dalam apa saja” bermaksud masalah itu mungkin tetap akan kamu alami tetapi ia tidak akan menjatuhkan kamu, malah, membangkitkan iman kamu!). Tuhan, Guru yang Baik, tidak akan membiarkan kamu mengulangi kesilapan yang bodoh yang kamu lakukan dahulu... kamu harus percaya akan hal kebenaran itu. Tuhan yang menolong; kamu harus percaya dan merendahkan diri. Amen.

Ingat: Berdoa untuk urapan Roh Kudus dan sentiasa membaca Firman Allah.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]