Monday, April 8, 2013

Kita harus Yakin bahawa Tuhan Allah akan Mengabulkan Doa Kita

Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya. Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya” (1 Yohanes 5:14-15, BM).

Apabila kita datang kepada Tuhan Allah melalui doa, kita harus yakin bahawa Dia mendengar kita dan mengabulkan doa kita “sesuai dengan kehendak-Nya”. Ini ialah kebenaran yang saya dapat melalui firman Allah yang saya baca hari ini. Rasul Yohanes menulis bahawa kita harus yakin yang kita ialah milik-Nya dan Dia akan mengenapi setiap pemohonan kita kepada-Nya. Secara ringkas, Allah mendengar doa anak-anak-Nya kerana melalui iman, kita “percaya kepada [Yesus Kristus]” yang telah memberikan kita “hidup sejati dan kekal” (1 Yohanes 5:13) – dan Dia “mengabulkan doa kita”.

Begini, jika Allah tidak mendengar dan memberikan apa yang terbaik kepada kita, kita harus mempersoalkan samada kita ialah benar-benar milik-Nya kerana Allah (menurut firman di atas) memang mendengar doa kita dan memberikan kita apa yang kita minta sesuai dengan kehendak-Nya. Yesus berkata jika bapa di dunia ini memberikan apa yang anak-anak mereka perlukan, tidak mungkinkah Bapa kita yang disyurga akan memberikan kita, anak-anak-Nya secara rohani, apa yang diperlukan apabila kita meminta kepada-Nya?

Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan mendapatnya; dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. Bapa yang manakah akan memberikan batu kepada anaknya, apabila anaknya meminta roti? Bapa yang manakah akan memberikan ular, apabila anaknya meminta ikan? Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia!” (Matius 7:7-11, BM).

Kebenaran bahawa Allah mendengar doa kita bermaksud bahawa Dia mendengar dengan penuh minat untuk mengabulkannya. Dia sentiasa mendengar dengan sepenuh perhatian. Dia selalu ingin mendengar dan selalu ingin memberikan apa yang kita minta sesuai dengan kehendak-Nya. Ini yang paling hebat sekali: Tuhan Allah telah memberikan kita yang terbaik sekali di dunia ini – Yesus Kristus, untuk mati bagi dosa kita – ini ialah kehendak-Nya, apa lagi yang lebih hebat daripada itu? Dia akan mendengar dan mengabulkan doa kita sesuai dengan rencana-Nya yang agung di dalam kehidupan kita. Ingat, perkara doa ialah tentang kehendak Tuhan Allah; bukan tentang kehendak kita. Yesus dalam kemanusiaan-Nya berdoa: “Janganlah menurut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu” (Lukas 22:42). Kita sebagai anak-anak-Nya harus berdoa: “Jadilah kehendak-Mu di bumi seperti di syurga” (Matius 6:10).

Oleh itu, kamu anak-anak Allah, yang mengenal dan sudah menerima Yesus Krisus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu, harus “yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita”. Ketahuilah kehendak-Nya melalui firman-Nya dan dengan berdoa kepada-Nya selalu. Ini ialah Tuhan kita – Yesus Kristus Tuhan yang mendengar setiap doa kita. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP. 
Best Blogger Tips

1 comment:

  1. Hanya Tuhan memahami peribadi kita kan??hehe...yg pasti kita berdoa dgn iman..pasti Tuhan mendengar
    ^^)

    ReplyDelete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]