Saturday, April 13, 2013

Siri Kehidupan Kristian: Kemenangan dalam Pencubaan (iv)

Bagaimana seorang Kristian boleh bertahan dalam iman menentang pencobaan? Apabila seseorang itu telah diselamatkan oleh Kristus, pergelutan yang hebat akan bermula. Dia akan masih lagi memiliki keinginan lama, keinginan manusia duniawi yang berdosa yang diturunkan melalui Adam yang akan terus membawa dia untuk berbuat dosa setiap masa. Tetapi, dia juga akan memiliki keinginan baru, kehidupan baru yang diberikan oleh Allah melalui Roh-Nya. Dengan ini, dia membenci dosa dan sentiasa ingin melakukan apa yang benar. Kedua-dua keinginan ini saling bertentang antara satu sama lain (lihat Galatia 5:16-17, Roma 8:5-8).

Keinginan lama (atau dalam definasi Alkitab: “keinginan tabiat manusia”,BM) ialah sangat jahat sekali. Ianya tidak akan dihampuskan sepenuhnya sehinggalah orang Kristian dipanggil oleh Allah ke syurga. Allah telah mengalahkannya apabila Kristus mati di kayu salib, dan Dia mahu orang Kristian untuk melayan keinginan lama itu sebagai sesuatu keinginan yang sudah mati. Jangan melayaninya! Jangan memuaskannya! Jangan memberi peluang kepadanya! “Biarlah Tuhan Yesus Kristus menjadi pelindung kamu. Janganlah turuti tabiat manusia berdosa untuk memuaskan hawa nafsu” (Roma 13:14).

Keinginan baru (atau dalam definasi Alkitab: “keinginan Roh Allah”) akan sentiasa mendorong kita untuk sentiasa berbuat baik – dan kita patut menggalakkannya! Begini caranya untuk kita orang Kristian menentang pencobaan; dengan berkata “TIDAK” kepada keinginan lama atau keinginan tabiat manusia dan terus-menerus menggalakkan kehidupan baru di dalam Kristus iaitu keinginan Roh Allah untuk terus berkuasa di dalam diri kita.

Berikut ialah beberapa langkah praktikal yang boleh kamu lakukan:
1) Membaca Alkitab. Baca dan pelajari firman Allah. Mengingatinya dan sentiasa merenung firman Allah. Mazmur 119:9, “Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu”; 119:11, “Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu”. Firman Allah menguatkan kamu untuk tidak berbuat dosa. Pastikan kamu meluangkan masa setiap hari untuk membaca firman Allah.

2) Sentiasa berdoa. Setiap kali apabila kamu berada dalam pencubaan, berdoa kepada Tuhan Allah untuk menjaga dan menolong kamu (Ibrani 4:16). Dia akan memberikan kamu “kekuatan untuk menanggungnya” (2 Korintus 10:13). Jangan melawan pencubaan dengan kekuatan kamu sendiri – kamu pasti akan gagal.

3) Terus bergaul dan bersama dengan orang Kristian lain yang percaya dan bukannya dengan orang berdosa (Amsal 1:10-16, Ibrani 10:24-25). Kita memang perlu bergaul, bekerja dan hidup bersama dengan orang yang belum percaya – Tuhan Yesus sendiri berbuat begitu – dalam kes seperti ini, kita harus bersaksi baik dengan mereka melalui percakapan dan cara hidup kita. Namun begitu, kita tidak harus bergaul dan bersama dengan mereka dalam melakukan perkara keinginan lama dan duniawi (lihat Efesus 5:11).

4) Mengakui dosa kamu dengan segera. Apabila kamu sedar bahawa kamu telah melakukan dosa terhadap Tuhan Allah melalui pemikiran, percakapan atau tingkah-laku kamu – berdoa dan minta Allah untuk mengampuni kamu. Jangan menunggu lama. Amsal 28:13 mengatakan, “Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Sesiapa mengakui dan meninggalkan dosanya, akan dikasihi Allah”.

5) Sentiasa sibuk melayani Allah. Rasul Paulus menulis, “Sekarang [sebagai hamba Allah dan bukan lagi hamba dosa] kamu harus menyerahkan segenap diri sebagai hamba kepada kehendak Allah untuk tujuan-tujuan-Nya yang khas” (Roma 6:19, ayat dalam kurungan ialah penerangan saya). Ada banyak pekerjaan untuk kita layani di dunia ini, dan ingat: kamu melayani Tuan yang terbaik sekali!

6) Sekurang-kurangnya melakukan senaman atau rekreasi. “Latihan jasmani ada faedahnya” (1 Timotius 4:8). Oleh kerana tubuh kita ialah tempat kediaman Roh Allah (1 Korintus 6:19), kita harus sentiasa memastikan tubuh kita berada dalam keadaan sihat dan kuat. Walaupun begitu, kita tidak harus membiarkan aktiviti jasmani memonopoli masa dan perhatian kita sehinggakan kita leka untuk memberi perhatian kepada “latihan rohani [yang] sangat berfaedah dalam segala hal”.

7) Jangan terus melayani keinginan lama – biarkan ia ‘lapar dan mati’. Berhati-hari tentang apa yang kamu baca, lihat (atau tonton), kemana kamu pergi dan apa yang kamu dengar setiap hari (Kolose 3:5-9).

8) Menggalakkan keinginan baru – beri ia ‘makan dan terus hidup’. Penuhi segenap hidupmu dengan Kristus! Apabila kamu berfikir tetang Kristus dan hal-hal Kerajaan Allah, kamu tidak akan berfikir tentang hal-hal dosa. Ini ialah rahsia tentang bagaimana kita boleh hidup sebagai orang suci – sentiasa memikirkan tentang Kristus. Kita akan menjadi seseorang atau berperibadi seperti siapa (atau apa) yang kita sembah.  Apabila kita menyembah Tuhan Yesus “kita semakin menjadi seperti Dia dan semakin memiliki kemuliaan-Nya” (2 Korintus 3:18). Kita akan berubah seperti gambaran Yesus Kristus dengan kuasa Roh Allah yang mampu mengubah kita.

Akhir sekali, kamu akan sedar bahawa proses pembebasan kita dalam pencubaan ialah bukan satu pengalaman atau satu proses sekali gus – ia ialah proses yang berperingkat – mengikut kehendak dan masa yang ditentukan oleh Allah sendiri. Tidak kira berapa umur kamu atau berapa banyak yang kamu tahu atau belajar melalui firman Allah; kita masih lagi boleh jatuh ke dalam pencubaan dosa sekiranya kita mengalihkan perhatian kita jauh dari Kristus. Rasul Paulus menulis,

Kamu sudah dihidupkan semula bersama-sama Kristus. Oleh itu kamu harus mengingini perkara-perkara yang di syurga, di tempat Kristus duduk di atas takhta di sebelah kanan Allah. Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di bumi. Hal itu demikian kerana kamu sudah mati, dan hidup kamu tersembunyi dengan Kristus di dalam Allah. Hanya Kristus yang dapat menyebabkan hidup kamu betul-betul bererti, dan apabila Dia menampakkan diri lagi di bumi, kamu juga akan bersama-sama Dia dan menikmati kemuliaan-Nya!” (Kolose 3:1-4, BM). Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]