“Marilah, setiap orang yang haus, marilah datang untuk mendapatkan air; dan dia yang tidak mempunyai wang, mari, beli dan makan! Marilah, beli wain dan susu tanpa wang dan tanpa bayaran” (Yesaya 55:1, terjemahan saya dari English Standard Version).
Apabila Allah berfirman, “Marilah... datang... tanpa wang dan tanpa bayaran”, Dia bermaksud bahawa “Keselamatan itu adalah percuma!” Tuhan Allah tidak meletakkan harga bagi Anugerah-Nya – ianya adalah percuma! Penginjil bukannya jurujual kerana mereka (kami) tidak ada apa-apa untuk dijual. Mereka (kami) ialah hanya penyampai Berita Baik itu – Berita Baik bahawa “Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab” (2 Korintus 15:3) dan “kerana Allah sudah menunjukkan rahmat-Nya untuk menyelamatkan umat manusia” (Titus 2:11).
Keselamatan daripada dosa. Wang tidak boleh membelinya. Kebaikan manusia tidak boleh mendapatkannya. Darjat dan pangkat tidak ada bezanya. Hidup keagamaan dan hidup moral tidak mampu memilikinya. Ianya hanya boleh diterima seperti apa yang Allah telah firmankan; “tanpa wang dan tanpa bayaran”.
Tuhan tidak pernah tawar-menawar dengan kita. Kita tidak layak untuk berbincang atau bermesyuarat dengan-Nya. Kita hanya boleh berurusan dengan-Nya hanya melalui budi bicara-Nya sahaja. Allah yang maha berkuasa telah menentukan jalan keselamatan hanya melalui Anak-Nya, Yesus Kristus sahaja (Yohanes 3:16) dan Dia berfirman agar kita menerima-Nya dengan “tanpa wang dan tanpa bayaran” – percuma! Semua benda yang baik, antara benda yang berharga yang kita semua miliki sekarang adalah percuma, bukankah begitu? Udara yang kita hembus tidak perlu dibayar. Air sungai yang jernih dan bersih dari gunung tidak perlu dibeli. Kasih itu percuma; iman itu percuma; harapan itu percuma; nyawa kita percuma.
Dengan ini, kita tidak mempunyai alasan untuk menolak kasih kurnia-Nya, Anugerah Allah dengan berkata bahawa ianya terlalu mahal atau sangat susah untuk dimiliki. Pemberian yang sangat berharga ini, yang menentukan samada kita hidup kekal bersama Tuhan Allah atau tidak untuk selama-lamanya – adalah percuma! Ianya percuma kerana Tuhan Yesus telah menderita dan mati kerana murka Allah terhadap dosa kita (kebenaran dan keadilan) dan kemudian bangkit semula untuk membolehkan kita diselamatkan dari murka Allah yang dahsyat itu dan membebaskan kita daripada belenggu dosa apabila kita telah menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat kita (kasih dan belas kasihan). Keselamatan itu percuma – kerana kita tidak perlu melakukan apa-apa. Keselamatan itu percuma – kerana ini ialah pemberian Allah bagi orang yang percaya. Keselamatan itu percuma – tetapi ianya tidak murah!
Oleh itu, “Marilah, setiap orang yang haus, marilah datang untuk mendapatkan air; dan dia yang tidak mempunyai wang, mari, beli dan makan! Marilah, beli wain dan susu tanpa wang dan tanpa bayaran”. Hidup kita di dunia ini sangat singkat sahaja; jangan mensia-siakannya. Saya berdoa (sekarang) agar kamu menerima pemberian ini dengan sepenuh hati dan percaya. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment