Tuesday, March 26, 2013

Refleksi Saya tentang 2 Tawarikh 34: Raja Yosia mendengar Kitab Taurat

Tuhan Allah suka akan orang yang mahu berubah dan menghormati Dia and Firman-Nya. Dia berkenan terhadap orang yang menganggap firman Allah ialah bukan hanya sebagai tulisan yang ditulis di atas kertas atau sebagai suatu karya manusia semata-mata tetapi ia ialah – firman yang agung, yang diilhamkan oleh Allah sendiri, berkuasa, dan mempunyai autoriti dari Tuhan yang Maha Besar. Allah berfirman, “Aku sendiri yang menciptakan alam semesta. Aku suka kepada orang yang rendah hati dan bertaubat, yang takut dan taat kepada-Ku” (Yesaya 66:2).

Rendah hati. Raja Yosia ialah contoh seorang raja yang rendah hati (humble in spirit) dan menghormati firman Allah, Kitab Taurat. Lama sebelum dia menjadi raja Yehuda di Yerusalem, Kitab Taurat yang diberikan Allah kepada nabi Musa telah hilang selama berpuluh-puluh tahun. Tiada sesiapa yang mempedulikannya, tiada orang yang mencarikannya – hilang tanpa disedari, tersembunyi di Rumah TUHAN. Tetapi, [pendek cerita] sudah tiba masanya untuk Kitab Taurat ditemui semula dan dibawa kepada raja. Yosia pada masa itu lebih kurang hanya berumur 21 tahun, namun, ini ialah suatu peristiwa yang paling bermakna dalam hidupnya.

Safan membacakan kandungan kitab itu kepada raja. Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita” (2 Tawarikh 34:18-19).

Apabila Raja Yosia mendengar tentang kesucian Tuhan Allah dan janji berkat jika umat-Nya mentaati firman-Nya dan janji kutukan jika umat-Nya tidak mentaati perintah-Nya – dia mengoyakkan pakaiannya. Pada masa dahulu, mengoyakkan pakaian ialah simbol bagi kesedihan dan dukacita yang tidak terhingga. Untuk seorang raja yang berstatus tinggi mengoyakkan pakaiannya dikhalayak ramai menggambarkan kerendahan hatinya di hadapan Allah. Ianya seperti berkata: “Kedudukan saya sudah tidak penting lagi... Engkau ialah Tuhan yang benar dan adil, dan saya seorang yang berdosa dan layak dihukum oleh Mu”.

Raja Yosia mengoyakkan pakaiannya... dan saya berpendapat bahawa dia menangis dengan penuh dukacita terhadap dosanya sendiri dan dosa semua orang Israel. Firman Allah telah menyentuh jiwa dan hatinya. Dia telah bertaubat dan mengaku bahawa semua orang Israel “tidak taat kepada firman TUHAN dan tidak melakukan apa yang tercatat di dalam [kitab Taurat]” (2 Tawarikh 34:21).

Tuhan tahu. Tuhan mengerti. Tuhan mendengar. Tuhan melihat. Dan Alkitab mengatakan bahawa Tuhan Allah berkenan terhadapnya: “Engkau telah memperlihatkan kandungan kitab itu, dan engkau bertaubat serta merendahkan diri di hadapan-Ku” (34:26-27). Allah berjanji untuk menunjukkan belas-kasihan-Nya kepada Yosia. Dia akhirnya mati dengan tenteram – ini janji Allah dan Dia menepatinya sehingga akhir.

Kawan-kawan, Allah “suka kepada orang yang rendah hati dan bertaubat, yang takut dan taat kepada[Nya]” (Yesaya 66:2). Adakah kamu betul-betul mendengar Allah melalui firman-Nya? Adakah jiwa dan hatimu tersentuh oleh firman-Nya? Adakah kamu seorang yang rendah hati? Adakah kamu takut [hormat] akan Allah? Adakah kasih-Nya telah mengubah kamu sehinggakan kamu suka untuk mentaati firman-Nya? Mahukah kamu mengakui dosamu dihadapan Allah dan bertaubat? Jika ya, dengarlah firman-Nya ini sekali lagi: “Aku suka kepada orang yang rendah hati dan bertaubat, yang takut dan taat kepada-Ku”. Wow! Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]