Wednesday, January 2, 2013

Mempunyai Fikiran Kristus

Berfikir adalah sebahagian besar daripada kehidupan kita. Berfikir dan tahu bahawa kita sedang berfikir adalah suatu kesedaran diri; hidup tanpa mempunyai kesedaran diri adalah seperti hidup dalam bayangan (atau angan-angan) dan tidak bermakna langsung. Apa yang kita fikirkan berasal daripada pemikiran kita, dan oleh kerana apa yang kita fikir mempengaruhi kehidupan kita seharian, adalah penting bagi kita untuk mengetahui bagaimana untuk berfikir dengan betul.

Kita bukanlah seperti apa yang kita fikirkan. Apa yang kita fikir, itulah diri kita yang sebenarnya. A. W. Tozer, seorang penulis Kristian yang terkenal menulis (dijemahkan oleh saya), “Apa yang kita fikirkan apabila kita bebas untuk berfikir tentang apa saja yang kita mahu – itu ialah siapa diri kita sebenar atau apa yang kita akan jadi kelak”. Ramai di antara kita mungkin tidak mempunyai keupayaan berfikir yang tinggi seperti sesetengah orang, tetapi kita masih juga perlu berfikir dengan betul kerana setiap kita yang normal dikurniakan Tuhan akal untuk berfikir. Bukankah Firman Tuhan menyebut, “Kasihlah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu” (Matius 22:37)? Kasih kepada Allah bukanlah dengan hati dan jiwa kita sahaja, malah dengan akal kita juga!

Sekali lagi, keupayaan berfikir yang tinggi tidaklah begitu penting (tetapi, oh, betapa indahnya jika orang Kristian mempunyai iman yang kuat dan pemikiran yang tinggi!) kerana ia tidak membentuk keperibadian kita. Keperibadian kita secara keseluruhannya dipengaruhi oleh perkara-perkara yang berlaku disekeliling kita dan cara kita berfikir hari demi hari dalam kehidupan kita. Dua perkara utama yang mempengaruhi keperibadian kita ialah; dunia disekeliling kita dan apa yang kita fikir tentang dunia disekeliling kita. Akan tetapi seperti yang kita sedia maklum, kita tidak boleh mengubah semua perkara disekeliling kita; namun begitu, kita boleh mengubah apa yang kita fikirkan tentang apa yang berlaku disekeliling kita.

Biar saya bagi contoh; bayangkan ada tiga orang sahabat berjalan bersama-sama ke sebuah pusat membeli belah (bayangkan The Spring, Kuching atau Mid Valley Megamall, KL atau 1Borneo, Kota Kinabalu). Seorang suka membaca, seorang lagi suka berfesyen dan seorang lagi suka makan. Seorang yang suka membaca akan mencari-cari kedai buku seperti MPH, Popular, The Times dan sebagainya; seorang yang suka berfesyen pula akan mencari-cari di mana kedai pakaian seperti The Reject Shop, Giordano dan sebagainya; dan seorang pula yang suka makan akan terus naik ke tingkat paling atas bangunan untuk mencari Food Court! Lihat, semua mereka berada di tempat yang sama tetapi pemikiran mereka berbeza. Dunia luaran yang sama telah dibezakan dengan tiga dunia dalaman yang berbeza oleh pemikiran ketiga-tiga orang sahabat ini.

Perkara luaran atau dunia disekeliling kita hanyalah pemerhatian kasar kita sahaja; apa yang menjadi sesuatu itu bermakna ialah apa yang kita fikirkan tentang perkara itu (Perhatian: Kebenaran di dalam Al-Kitab adalah kebenaran yang kekal selamanya walaupun ada orang tidak berfikir bahawa perkara itu benar. Yang saya maksudkan disini ialah “makna” yang sampai kepada kita ialah hasil daripada pemikiran kita). Yudas Pembelot dan Rasul Petrus hidup dalam dunia yang sama, tetapi apa yang mereka fikirkan tentang diri Yesus yang sebenar sangat berbeza. Begitu juga dengan Kain dan Habel, Esau dan Yakub – saya dan abang saya. Keperibadian kita tidak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling kita; ianya dipengaruhi oleh respon pemikiran kita terhadapnya.

Oleh itu, sebagai orang Kristian apa yang kita harus lakukan? Biarlah pemikiran kita “mempunyai fikiran Kristus” (1 Korintus 2:16). Semua pemikiran orang Kristian sepatutnya diubah dan dipimpin oleh Roh Allah (seperti konteks 1 Korintius 2). Memang kehendak Tuhan supaya kita “mempunyai fikiran Kristus”. Apabila kita dipimpin oleh Roh Allah (melalui kasih kurnia-Nya), mengenal dan membiasakan diri kita dengan Firman-Nya dan bila kita sentiasa berdoa, pemikiran kita akan dipenuhi dengan pemikiran Kristus. Respon kita terhadap keadaan sekeliling akan menjadi sama seperti respon Kristus kerana kita memiliki fikiran-Nya melalui pemberian Roh Allah.

Namun begitu, harus diingat bahawa perkara ini bukanlah automatik. Walaupun pemberian kurnia ini datangnya daripada Tuhan Allah; kita juga harus bertanggungjawab untuk terus memilikinya. Jika kita ingin berfikir mengikut pemikiran Kristus kita harus kenal siapa diri Yesus Kristus sebenarnya dan secara berterusan mempunyai hubungan peribadi dengan-Nya. Bagaimana? Hanya dengan kasih rahmat Tuhan Allah dan pemberian Roh-Nya. Hanya melalui pembacaan, renungan dan aplikasi Firman-Nya (Al-Kitab) terus-menerus dan berdoa. Apabila kita “mempunyai fikiran Kristus”, cara kita berfikir tentang dunia disekeliling kita akan berpusat kepada Tuhan Allah. Fikiran kita akan dulu diarahkan kepada Allah dan dari Allah fikiran-Nya akan mempengaruhi pemikiran kita. Roma 12:2 ada ditulis: “Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah memperbaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah – iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna” Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]