Saturday, January 5, 2013

Pergilah Bersaksi untuk Yesus

Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki” (1 Petrus 3:15)

Seorang pelajar bertanyakan satu soalan kepada saya, “Bagaimana saya boleh terus bersemangat dan tetap teguh dalam iman saya kepada Yesus? Bagaimana saya boleh menjadi seorang Kristian yang sentiasa memuliakan-Nya dalam apa sahaja yang saya lakukan?
Jawapan saya pada masa itu singkat sahaja, “Dengan menjadi seorang Kristian yang tahu tentang Firman-Nya, melakukan Firman-Nya, dan bersaksi kepada orang lain tentang Firman-Nya”.
.................................
Untuk menjadi “saksi” tentang sesuatu bermaksud kamu melihat dan mendengar akan sesuatu perkara dengan mata dan telinga kamu sendiri. Dan apabila kamu berkongsi atau bercerita perkara itu kepada orang lain tentang apa yang berlaku, kamu dikatakan sedang “bersaksi”. Kamu seperti memberi keterangan kepada polis; seperti memberi testimoni di mahkamah; seperti menulis laporan selepas latihan praktikal kamu. Kamu bersaksi.

Selepas bersaksi tentang kebangkitan Yesus daripada kematian, Rasul Petrus berkata, “Kami semua sudah menyaksikan hal itu” (Kisah Rasul-Rasul 2:32). Dia ialah “saksi” mata dan telinga. Dia sendiri ada di situ semasa kejadian. Tetapi... kita tidak boleh berkata begitu. Kita tidak ada di sana semasa Yesus dibangkitkan (lebih kurang 2,000 tahun dahulu, kita belum lahir lagi); Jadi bagaimana? Saudara-saudari seimanku kita memiliki – Al-Kitab. Walaupun kita tidak berada di tempat kejadian, kita tahu dan yakin bahawa kebenaran tentang Yesus ada tertulis di dalam Al-Kitab. Ini ialah Firman-Nya yang hidup [Ini keyakinan saya; saya berharap kamu begitu juga]. Oleh itu, kita boleh bersaksi kepada orang lain tentang kebenaran yang kita perolehi daripada Al-Kitab dan tentang bagaimana Yesus boleh mengubah hidup kita.

Sebelum Yesus diangkat ke Syurga, Dia berkata kepada pengikut-Nya, “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik [iaitu tentang pekerjaan Yesus Kristus] daripada Allah kepada seluruh umat manusia” (Markus 16:15), dan mereka pergi melakukannya. Perintah Yesus ini bukan sahaja untuk pengikut-Nya pada masa itu, ini ialah amanat-Nya kepada semua umat Kristian.

Adalah sangat penting untuk kita mentaati perintah ini bukan sahaja dengan perkataan, malah juga dengan tingkah-laku kita – cara hidup kita. Kesaksian peribadi melalui percakapan adalah yang utama sekali, tetapi ia haruslah disokong dengan cara hidup kita seharian. Yesus berkata, “Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa yang disyurga” (Matius 5:16). Apabila mereka bertanyakan tentang cara hidup kita yang baik dan tentang iman kita yang nyata, kita sudah bersedia untuk bersaksi tentang Yesus Kristus kepada mereka.

Namun begitu, ramai daripada kita berasa ragu-ragu untuk bersaksi kepada orang lain tentang Yesus. Kita samada kurang yakin atau tidak mahu dianggap sebagai “orang alim” atau “pengkhutbah” atau bimbang jika kita menyinggung perasaan orang lain. Ada juga yang malu untuk bersaksi tentang Yesus. Rasul Paulus menulis kepada Timotius, kepada kamu juga, “Janganlah malu memberitakan kesaksian tentang Tuhan kita” (2 Timotius 1:8).

Saudara-saudari seimanku, kita diperintahkan untuk bersaksi tentang Tuhan Yesus yang hidup, bukannya yang mati. Kita bersaksi untuk Raja segala raja, bukannya untuk patung-patung yang tidak berkuasa. Kita ialah pembawa Berita Baik yang membawa kehidupan, bukannya berita hangat sementara yang sia-sia. Ingat: Yesus yang memerintah kita untuk bersaksi untuk-Nya juga telah memberikan kita Roh Kudus untuk membolehkan kita untuk melakukannya (rujuk Kisah Rasul-Rasul 1:8).

Mahukah kamu bersaksi untuk Yesus?
Adakah kamu sekarang sudah yakin untuk memberitakan Berita Baik kepada orang lain?
Tuhan Allah menyertai kamu. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]