Monday, January 28, 2013

Putih seperti Salji


Basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji” (Mazmur 51:9)

Sejak dahulu lagi, warna putih melambangkan kesucian. Tuhan Allah berbicara tentang kesucian dengan membandingkannya dengan sesuatu yang paling putih yang pernah manusia lihat pada masa itu (dan mungkin juga masih sekarang) iaitu – salji. Nabi Yesaya berseru “TUHAN berfirman, ‘Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga putih seperti salji” (Yesaya 1:18).

National Geographic di Astro pernah menayangkan dokumentari tentang salji di kutub Utara. Keseluruhan tempat di sana penuh dengan salji. Salji begitu putih sehinggakan apa sahaja yang berada di atasnya akan kelihatan jelas sekali walaupun dilihat dengan jarak yang jauh sekalipun. Baju yang paling putih pun tidak dapat mengalahkan keputihan salji di Kutub Utara – langsung tiada tandingannya.

Kehidupan kita manusia adalah seperti itu. Ada masanya kita menganggap diri kita sangat baik. Kita kadang-kadang membandingkan diri kita dengan orang lain dan berkata ‘aku lebih baik dan mulia daripada yang lain’. Mungkin benar. Tetapi apabila kita membandingkan semua itu dengan kesucian Tuhan Allah, kita ternyata sangat kotor dan berdosa di hadapan-Nya.

Namun begitu, walaupun kita berdosa dan kotor di hadapan Tuhan Allah, Dia tetap mengasihi kita. Dia telah menyediakan satu jalan yang agung untuk menyucikan kita daripada semua itu. Dia tahu bahawa kita tidak boleh menyucikan diri kita sendiri – maka dengan itu, Dia telah memberikan Anak-Nya, Yesus Kristus, untuk mati bagi kita di kayu salib. Hanya melalui darah Yesus Kristus yang ‘merah marak’ dapat membersihkan kita seputih ‘salji’ di hadapan Allah. Tidak ada pekerjaan manusia atau kebaikan manusia yang dapat membersihkan kita seperti itu – hanya darah Kristus yang berharga saja yang mampu “mencuci [kita] sehingga putih seperti salji’. Dan hanya melalui darah Kristus sahaja kita mampu terus dibersihkan daripada dosa yang akan atau mungkin kita lakukan selepas diselamatkan.

Tuhan Allah itu suci. Kita tidak akan mampu berdiri di hadapan-Nya sekiranya kita masih kotor dengan dosa kita. Berbaliklah ke jalan yang benar dan mintalah pengampunan daripada-Nya melalui Yesus Kristus, Tuhan dan Juruselamat kita. Minta agar Dia “akan mencuci [dosa] kamu sehingga putih seperti salji”. Berdoalah dalam nama Yesus. Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]