Saturday, January 19, 2013

Perspektif Kristian dalam Soal Mengundi: Parti Mana yang Harus saya Undi?


Mahu Undi Parti Mana?
Terdapat 31 parti politik di Malaysia yang telah berdaftar simbol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi kegunaan semasa pilihan raya mengikut subperaturan 11 (2) (c) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Diantaranya ialah BN, PBB, PKR, PAS, DAP dan sebagainya. Dalam mengundi kita memilih antara parti-parti berikut. Selalunya ramai orang akan mengundi berdasarkan nama parti daripada berdasarkan individu yang mewakili parti tersebut. Parti Barisan National sekarang lebih menjurus kepada ‘keutamaan rakyat’ dan parti lawan pula, contohnya Parti Keadilan Rakyat mengutamakan ‘keadilan untuk rakyat’ dan ‘menentang korupsi dalam kerajaan’. Masing-masing berjuang untuk ‘rakyat’ dan ini menyebabkan keputusan untuk mengundi semakin sukar. Pening.

Dilema Mengundi
Ada satu prasangka yang menyebabkan ramai orang hilang keyakinan terhadap ahli politik, iaitu tiada sesiapapun yang mempercayai seratus peratus kata-kata yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin politik sekarang. Apa yang didengar ialah apa yang mereka mahu tegakkan dan mahu diubah dan memberi janji-janji manis yang agak meyakinkan kepada rakyat apabila mereka diundi kelak. Dengan ini saya merasakan bahawa pihak yang akan diundi ialah individu atau parti yang telah menjanjikan lebih banyak perkara yang baik daripada yang lain. Samada janji-janji itu akan ditepati atau tidak, yang penting ialah ia mengutamakan kesejahteraan rakyat dan dapat mengurangkan masalah yang dialami rakyat sekarang  – ini saya rasakan ialah faktor utama bagaimana rakyat secara umumnya memilih siapa yang akan diundi.

Perspektif Kristian dalam Soal Mengundi
[Ini ialah perspektif Kristian saya] Sewaktu saya masih kecil, melihat dan memerhati sikap orang-orang tua dahulu dan juga sikap orang Kristian sekarang; rata-rata masih lagi yang berfikiran tidak-ambil-tahu tentang hal-hal politik dan ada juga sesetengah orang yang tidak mahu mengundi langsung. Sikap ini timbul, pada pendapat saya, di kalangan orang Kristian kerana dalam pemikiran mereka apa yang penting ialah ‘pekerjaan Tuhan’ dan bukannya pemerintahan manusia di dunia. Pemikiran ini memisahkan perkara ‘rohani’ dengan yang ‘tidak rohani’ contohnya aktiviti-aktiviti gereja dan hal-hal politik (Istilah ingerisnya “Dualism-bubble”?) Memang ada perbezaan dari segi struktur organisasi dan kepimpinan, namun begitu ia tidak perlu dan tidak harus dipisahkan! Di dalam Alkitab, tidak ada jurang pemisahan diantara yang ‘rohani’ dan yang  ‘tidak rohani’ kerana setiap apa yang kita lakukan ialah untuk Tuhan Allah dan semuanya dilihat sebagai perkara rohani bagi umat Tuhan. Tuhan Allah di dalam Alkitab sentiasa prihatin dan peduli tentang SEMUA hal yang melibatkan manusia – termasuklah tentang hal politik. Kita sebagai orang Kristian harus berbuat begitu juga.

Dalam melakukan pekerjaan Tuhan, kita harus tahu bahawa kita mempunyai kewajipan untuk melakukannya dengan penuh keadilan dan belas-kasihan dalam semua aspek. Ini juga bermaksud, dalam konteks artikel ini, kita patut membantu dengan seboleh yang mungkin kerajaan yang memerintah sekarang (dan yang akan memerintah kelak) untuk menentang apa yang jahat dan tidak betul dan menggalakkan apa yang baik dan untuk kepentingan semua. Kita mempunyai kewajipan terhadap pemerintah sekarang (lihat Roma 13:1-7) kerana selagi mereka masih ada menampakkan kebaikan dan melakukan apa yang baik berdasarkan Firman-Nya, kita patut menyokong mereka (Jika tidak, undilah untuk kerajaan yang baru). Oleh itu, untuk kita menilai semua ini, kita harus peka terhadap perkara politik yang berlaku sekarang. Kita sekurang-kurangnya, (jika kamu seperti saya, pada dasarnya memang kurang berminat terhadap hal politik Malaysia) patut tahu tentang debat-debat penting atau berita-berita panas politik melalui berita nasional semasa dan berita alternatif lain. Dan sekurang-kurangnya, yang penting sekali – kita patut menjalankan kewajipan kita untuk mengundi.

Mengundi adalah Perkara Serius
Mengundi adalah perkara yang serius dan memerlukan kita untuk berfikir secara berhati-hati, menimbang setiap pilihan dan berdoa untuk membuat keputusan. Kita dipanggil untuk “berwaspada (cerdik) seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati” (Matius 6:10). Kita harus membuat analisis terhadap apa yang diucapkan dan yang dijanjikan dengan apa yang dilakukan mereka dahulu dengan sekarang dan akan datang dari setiap parti politik. Lihat dan pertimbangkan polisi-polisi yang mereka cadangkan dengan piawai (atau ukuran) yang telah Tuhan Allah berikan kepada kita melalui Alkitab dengan melihat kesannya kepada rakyat secara keseluruhannya dan kepada setiap individu secara amnya. Sebagai orang Kristian, kita memiliki piawai (“standard”) daripada Tuhan Allah sendiri tentang apa yang benar dan yang salah, tentang keadilan dan belas-kasihan; yang harus dihormati dan diamal oleh pemerintah yang ingin memerintah kita [Ingat: Roma 13:1-7 iaitu ‘Kewajipan terhadap Pemerintah’ harus diaplikasikan oleh semua orang Kristian di Malaysia yang tinggal di dalam pemerintahan kerajaan yang berunsurkan Islam]. Piawai Tuhan Allah yang asas ini harus dijadikan kayu pengukur untuk kita memilih ahli atau parti politik yang akan kita undi kelak.

Mengundi berdasarkan Kasih Sesamamu
Orang Kristian tidak patut mengundi atas sebab yang mementingkan diri sendiri. Wang sogokkan RM50 bagi setiap undi tidak boleh ditoleransi. Mungkin ada pihak yang ingin ‘memberi’ tetapi kita perlu tegas dan tidak ‘menerima’. [Jika ada yang berfikiran bahawa ‘ambil sahaja wang itu tetapi mengundi parti lawan’ ialah seorang yang hipokrit, tidak mempunyai pendirian dan tidak mempunyai ‘integrity’!] Kita harus melihat setiap tindakkan yang kita lakukan dengan pandangan yang lebih jauh dan bukannya untuk kesenangan sekarang dalam masa yang singkat. Mengundi tidak berdasarkan kepentingan sendiri tetapi untuk kepentingan semua orang, terutamanya untuk orang yang tertindas dan yang memerlukan perhatian kita. Kasih sesamamu (Matius 22:39) ialah pegangan dasar bagi setiap pengundi Kristian. Sebelum kita mengundi, kita perlu menimbang setiap individu dan parti-parti politik yang bertanding dari segi polisi-polisi atau tindakkan-tindakkan yang ingin diambil (atau yang telah diambil) berdasarkan nilai keadilan, belas-kasihan dan saksama.

Kesimpulan & Selamat Mengundi

Akhir kata dari saya: undilah dengan bijak dan berhati-hati. Tidak kiralah samada kamu mengundi kerajaan sekarang atau pihak lawan sekali pun atau siapa yang akan menang dalam pilihan raya tahun ini atau tahun yang akan datang, biarlah kita sama-sama berdoa agar kehendak Tuhan Allah “memerintah di bumi, dan seperti di syurga... ditaati” (Matius 6:10). Dan “demi Tuhan, hendaklah [kita] taat kepada pemerintah” (1 Petrus 2:13) yang akan memerintah Malaysia kelak. Kita menentang hanya apabila perintah kerajaan bertentangan dengan perintah Tuhan. Kawan-kawan, Selamat Mengundi!


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

2 comments:

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]