Wednesday, April 6, 2016

20 Pesan Kepada Pelajar Saya: #1 Belajar Menerima Perubahan


Meninggalkan rumah atau tempat tinggal buat pertama kalinya dalam kehidupan seseorang boleh menimbulkan ketegangan dalam diri seseorang. Saya teringat pertama kali saya meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran ke UiTM Samarahan. Saya berasa tidak selesa dan sangat merindui kampung halaman. Pada hari pertama saya menghadiri kelas, saya agak terkejut kerana semuanya muka baru yang belum pernah saya lihat sebelum ini. Saya merasakan bahawa saya seorang asing di sana. Saya mengharapkan sesuatu yang boleh meyakinkan diri saya untuk meneruskan kehidupan saya sebagai seorang pelajar di kampus.

Saya sangat diberkati kerana muka yang asing pada hari pertama kuliah lambat laun telah menjadi kenalan, sahabat dan rakan setia dalam suka dan duka. Begitulah saya menghabiskan waktu 3 tahun pengajian saya di UiTM. Selain itu, rakan sama melayani di Persekutuan Pelajar Kristian (PPK) di kampus juga menjadi lebih daripada rakan rapat, malah, sebagai saudara dan saudari seiman sehingga sekarang.

Sama ada kita suka atau tidak, hidup kita akan tetap melalui perubahan. Ada perubahan yang merupakan pilihan kita sendiri; ada juga perubahan yang datang secara mendadak. Bila kita mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran, menukar kerja, atau membeli kereta baru, kita telah membuat keputusan untuk membawa sesuatu yang baru ke dalam hidup kita. Oleh itu, adalah menjadi kebiasaan jika kita mempunyai perasaan seronok dengan yang baru dan perasaan yang kurang senang meninggalkan keselesaan dan kebiasaan dulu. Ada juga perubahan yang sukar diterima seperti kehilangan seseorang yang sangat dikasihi, kegagalan dalam pelajaran, atau menderita akibat penyakit yang tidak dapat disembuhkan sepenuhnya.

Kita tidak boleh lari dari perubahan. Oleh itu, kita perlu belajar berhadapan dengan perubahan. Kita perlu mengenalpasti kekuatan diri untuk mengatasi ketegangan dan tekanan akibat perubahan itu dan kita juga perlu mengenalpasti orang yang boleh membantu kita memberi sokongan, dorongan, nasihat dan juga galakan. Selepas itu kita perlukan satu rancangan tindakan. Contohnya, bagaimana cara kita boleh menyesuaikan diri untuk menghadapi perubahan tersebut? Kita harus mengubah diri untuk mengimbangi perubahan yang telah atau akan berlaku di sekeliling kita.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]