Saturday, April 9, 2016

20 Pesan Kepada Pelajar Saya: #3 Ambil Masa untuk Berehat


Kesibukan sentiasa berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya pelajar. Setiap hari kita sering mendengar seseorang (atau kita sendiri) merungut kerana tidak cukup masa disebabkan terlalu sibuk. Tidak kira sama ada kita tinggal di bandar ataupun di kampung, kesibukan sering dirasai.

Di dalam kehidupan dunia yang bergerak serba pantas ini, kita pasti tidak mahu ketinggalan. Ramai di kalangan kita yang mengikut rentak kelajuan dunia. Kita sering mengisi masa kita yang terhad dengan aktiviti yang padat. Lebih padat jadual harian kita, maka kita beranggapan bahawa kita mendapat lebih banyak daripada hidup ini. Kesibukan yang berterusan akan menyebabkan jasmani, jiwa dan perasaan kita tertekan.

Ramai diantara kita tidak memberi ruang bagi diri kita sendiri. Kita tidak mengambil masa untuk berehat, malah berusaha menggunakan setiap detik dan tenaga yang ada untuk melakukan sesuatu. Seorang pelajar misalnya, yang terus-menerus belajar dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang dan sambung belajar sehingga larut malam akan menghadap pelbagai masalah. Seorang pelajar yang bijak akan meluangkan masa untuk bersukan, bersosial, beristirehat dan beribadat. Pelajar yang bijak membahagikan masa akan menjadi seorang pelajar yang cemerlang.

Kesibukan boleh mengakibatkan ketegangan, timbul pelbagai penyakit dan jiwa yang mudah cemas. Inilah antara tanda-tanda yang kita mesti ambil perhatian dan berwaspada. Oleh itu, kita harus berhenti sejenak dan menganilisi diri sendiri – perlahankan diri dan relaks. Mungkin pada peringkat awal ianya agak sukar dilakukan (apatah lagi apabila kita melihat disekeliling kita semuanya sedang bergerak pantas). Kita juga mungkin akan berasa bersalah kerana tidak mengikut peredaran zaman yang semuanya mengingini supaya kita cepat-cepat. Tetapi – perlahankan diri dan relaks – adalah cara yang baik untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti kita dalam kehidupan seharian.

Cuba kamu luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari untuk duduk dan berehat serta melapangkan fikiran dengan tidak melakukan apa-apa. Ataupun kamu luangkan masa setengah jam setiap hari untuk menikmati keindahan alam semula jadi di taman bunga atau mendongak ke langit pada waktu malam. Ataupun kamu cuba duduk di dalam bilik yang gelap dan mendengar musik sentimental. Lakukan apa sahaja yang boleh membuat kamu berehat daripada kesibukan supaya kamu akan berasa lebih segar, minda menjadi lebih sihat dan mampu untuk melaksanakan tugas seterusnya dengan lebih baik, efektif, berjaya dan cemerlang!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]