“Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, kepada semua
orang buangan yang Kubuang dari Yerusalem ke Babel, ‘Binalah rumah dan hunilah… Bernikahlah dan milikilah anak lelaki serta
perempuan... Biarlah bertambah ramai jumlahmu di sana, jangan berkurang.
Ikhtiarkanlah kesejahteraan kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada
TUHAN untuk kota itu, kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraanmu’…
Beginilah firman TUHAN, ‘Apabila telah
genap tujuh puluh tahun di Babel, barulah Aku melawat kamu. Aku akan menepati
janji-Ku yang baik itu kepadamu dengan mengembalikan kamu ke tempat ini. Aku
tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan
malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan…’”
(Yeremia
29:4-7, 10-11, AVB)
Umat Israel telah berdosa
dan meninggalkan Allah. Lalu mereka ditawan dari Tanah Perjanjian dan dibuang
ke Babel. Kepada bapa Abraham, TUHAN telah berjanji akan memberikan Tanah
Kanaan untuk umat-Nya. Tempat itu kaya dengan susu dan madu, subur dan
diberkati. Ia merupakan tempat Raja Daud, raja yang disegani oleh umat Israel
memerintah. Ia juga tempat dimana tersergamnya suatu masa dahulu Rumah TUHAN
yang dibina oleh raja Salomo. Ia menjadi tempat tinggal tetap bagi orang Yahudi
selama berabad-abad. Bila Allah menghukum mereka, mereka bukan hanya kehilangan
tempat tinggal, tetapi mereka juga telah hilang identiti sebagai umat Allah.
Tetapi TUHAN itu baik. Dia akan “melawat”
mereka semula; Dia akan “menepati janji-Nya”;
Dia akan mengurniakan mereka “masa depan dan
harapan.” Oleh itu, Allah menyuruh nabi Yeremia menghantar surat
kepada orang Israel yang dalam pembuangan di Babel. Secara ringkat, mesej yang
diberikan Yeremia ialah: Teruskan dengan
kehidupan kamu seperti biasa. Kamu bukan lagi berada di Tanah Perjanjian, kamu
berada di Babel. Jadi, terus tinggal di Babel. Bina rumah, bernikah, bertambah
dan berdoa untuk keamanan dan kesejahteraan kota Babel! Bila tiba masanya –
iaitu genap 70 tahun – mereka akan kembali semula ke Tanah Perjanjian yang
diberikan Allah kepada Abraham dan keturunannya.
Penghukuman dan kegagalan
tidak bererti dunia kita akan menjadi gelap selamanya. TUHAN Allah itu baik dan setia walaupun kita sekarang berada dalam
keadaan yang susah dan ditimpa masalah. Kita meratap kerana kehilangan. Kita
bertaubat kerana dosa. Kita berdukacita kerana Allah murka. Kemudian… teruskan
dengan kehidupan kita seperti biasa. Tidak ada faedahnya jika kita terus
menerus meratap dan mengenangkan tragedi lama. Ya, belajar dari penghukuman dan
hidari dosa, kembali kepada Allah dan bertaubat. Kemudian… teruskan dengan
kehidupan seperti biasa. Adakah kamu
berada di ‘Babel’ sekarang? Jadi, berdoalah untuk kesejahteraan ‘Babel’ dan
jadikanlah ia tempat (atau keadaan) yang diberkati TUHAN dimana sahaja kamu
berada.
Jika kamu berada di ‘Babel’ sekarang,
Berdoalah untuk keamanan dan kesejahteraan
tempat/keadaan kamu.
Dia mempunyai rancangan kesejahteraan, masa depan dan
harapan bagi kita semua,
TUHAN akan menepati janji-janji-Nya, Mahukah kamu
terus percaya?
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment