Friday, December 19, 2014

Adakah Perayaan Krismas merupakan Cubaan untuk Membawa Umat Islam menganuti Agama Kristian?

Pokok Krismas di Legoland, Malaysia
Soalan utama: Adakah perayaan Krismas merupakan cubaan orang Kristian untuk membawa umat Islam menganuti agama Kristian?

Peratusan Kecil, Pengaruh Besar

Ebola, HIV, api, bom atom. Apakah persamaan diantara mereka semua? Ianya kecil, tetapi sangat bahaya. Ada satu lagi yang sangat ditakuti di dunia ini: pengikut Yesus yang sebenar. Mengikut bancian pada tahun 2010, didapati bahawa 61.3% rakyat Malaysia beragama Islam, 19.8% penganut Buddha, 6.3% Hindu, 1.3% menganuti agama tradisi Cina – dan hanya 9.2% beragama Kristian. Kristian di Malaysia terdiri dari pelbagai makzab seperti Roman Katolik, Anglican, Methodist, Sidang Injil Borneo (SIB atau BEM), Baptist dan sebagainya. Persoalannya, kenapa peratusan yang kecil ini mampu membuat ‘kecoh’ di negara Malaysia sehingga mendapat liputan dunia? Kenapa kelompok yang kecil ini sangat ditakuti oleh golongan pelampau (extremist) agama? Kenapa Alkitab orang Kristian dirampas dan menjadi isu hangat di Malaysia? Adakah orang Kristian sudah melampau dan ingin menguasai Putrajaya? Ingat: hanya 9.2% Kristian, kurang daripada itu adalah pengikut Kristus yang sebenar, dan kebanyakkan adalah mereka yang tidak banyak bersuara dan suka akan kedamaian.

Apa Cakap Orang dan Situasi Sebenar

Pada pendapat golongan pelampau agama, orang Kristian memang mahu agama Islam berpecah. Orang Kristian dikatakan mempunyai agenda untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara Kristian. Ada sebuah buku yang dijual di kedai buku sekarang mencadangkan bahawa orang Kristian melakukan penginjilan secara besar-besaran di Malaysia untuk memesongkan pemikiran umat Islam dan gereja-gereja dibiayai oleh orang-orang kaya Yahudi di Israel dan Amerika Syarikat. Banyak lagi tuduhan yang tidak masuk akal yang saya tidak sanggup tulis disini (Bukan takut tetapi bodoh sangat).

Bagi setiap tuduhan jawapannya agak mudah. Sebenarnya, kebanyakkan orang Kristian tidak berfikir untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara Kristian. Saya sudah banyak kali pergi ke gereja dan kelompok doa – terbuka dan tertutup – tidak pernah saya mendengar orang Kristian berdoa supaya semua orang Malaysia menjadi penganut Kristian (Berdoa supaya mereka mengenal Yesus secara peribadi, ya, selalu dengar dan saya sendiri sering berdoa begitu). Bagi persoalan penginjilan pula, orang Kristian sendiri mempunyai isu perpecahan diantara makzab masing-masing dan pemikiran/kesedaran untuk bersaksi bagi Yesus masih lagi sangat rendah. Jangan takut. Dari segi kewangan pula, sebenarnya gereja-gereja di Malaysia (hampir) tidak mendapat peruntukkan khas dari kerajaan. Kebanyakkannya hanya dibiayai oleh pemberian dari orang Kristian sendiri. Kadang-kadang, gereja dibina dengan wang dan harta peribadi penduduk setempat. Orang Kristian rata-rata sebenarnya miskin! (TUHAN yang selalu mencukupkan).

Jadi, kenapa golongan pelampau sangat takut akan orang Kristian? Secara ringkas: sebab cara mereka menilai dan berfikir bergantung kepada bagaimana mereka menilai agama dan kepercayaan mereka sendiri. Mereka suka berperang, jadi nilai-nilai kedamaian diabaikan. Mereka suka menguasai dan menindas orang lain, jadi apa saja yang boleh membawa kesatuan dan keharmonian dianggap sebagai ‘musuh.’ Mereka suka mencari dan menutup kesalahan sendiri, jadi orang Kristian menjadi mangsa. Secara rohani pula, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu” (baca Yohanes 15:18-27, BM). Mereka benci dan takut akan Yesus, jadi mereka mahu memusnahkan orang Kristian. Bagi kebanyakkan orang pula – tidak kira agama dan kepercayaan mereka – isu ini tidak timbul langsung kerana mereka sangat suka akan kedamaian dan keharmonian negara Malaysia. Ini ialah situasi sebenar.

Realiti yang Tidak boleh Dinafikan Juga

Tetapi, secara terus terang memang ada orang Kristian yang ingin menginjili umat Islam supaya memasuki agama Kristian (Jika tidak kerana Kristus, sudah lama saya menjadi penganut Buddha!). Umat Islam juga begitu. Persoalannya ialah bukan “bagaimana” tetapi “kenapa”? Pada pandangan saya, pelajaran agama yang diajar di Malaysia adalah sangat berat sebelah dan tidak telus dan jujur. Sebagai contoh, agama Kristian diajar (dengan salah) berdasarkan pandangan peribadi pengajar yang hampir tidak merujuk langsung kepada Alkitab atau jika merujuk sekalipun, rujukkan selalunya akan keluar dari konteks ayat sebenar. Maka, pada pemikiran orang ramai, tujuan orang Kristian menginjil seringkali disalah ertikan dan menjadi spekulasi sebarangan bagi orang yang tidak mengenal TUHAN secara peribadi!

Bagi orang Kristian yang ada membaca Alkitab (dan yang benar-benar mentaatinya) penginjilan membawa erti yang sangat berbeza. Ia merupakan suatu tindakan atau respon setelah mereka menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka. Penginjilan bukanlah suatu perkara yang dilakukan untuk mendapat “pahala” atau lesen untuk masuk ke syurga, tetapi sesuatu yang dilakukan kerana sukacita dan kedamaian yang mereka perolehi selepas mengenal Yesus secara peribadi. Mereka ingin menginjil bukan supaya orang menjadi Kristian semata-mata, tetapi supaya orang mengetahui Yesus, Penyelamat Dunia. Jawapan untuk “kenapa” bagi orang Kristian bukanlah disebabkan agama, tetapi Individu yang hidup dan benar – Yesus Kristus. Jadi, motif penginjilan dan perayaan Kristmas bagi orang Kristian yang benar ialah supaya orang mengenal Bapa, percaya kepada Yesus Kristus dan hidup dalam Roh Kudus dan kebenaran.

Soalan utama: Adakah perayaan Krismas merupakan cubaan orang Kristian untuk membawa umat Islam menganuti agama Kristian? Ya (bagi segelintir orang), Tidak (bagi kebanyakkan orang), Tidak tahu (bagi yang masih ragu-ragu).

Soalan seterusnya: Adalah perayaan Krismas merupakan peluang bagi orang Kristian untuk menginjil orang ramai supaya mengenal Yesus Kristus secara peribadi? YA! YA! YA! dan YA!

Jika ada orang Kristian yang cuba untuk menginjil kamu supaya mengenal Yesus,
dengar dahulu dan cuba pertimbangkan sendiri dengan merujuk kepada Alkitab tentang Yesus;
Tetapi jika kamu tidak mahu dan menolak, tidak mengapa,
saya mungkin kecewa tetapi kami tidak harus memaksa. Kasih itu tidak memaksa.
Bagi saya, kes selesai!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]