“Siapakah antara kamu
dapat memanjangkan umur walaupun sedikit
dengan mengkhuatiri hidupnya? …Oleh itu,
jangan khuatiri hari esok,
kerana ada cukup hal yang dikhuatirkan pada
hari esok.
Cukuplah kesusahan hari ini, tidak usah
ditambah lagi” (Matius 6:27, 34, BM)
Kita tidak boleh mengubah masa silam, tetapi kita
boleh mengubah masa depan dengan mengkhuatiri hari esok. Soalan: Berapa
ramai daripada kita telah merosakkan hari ini dengan kekhuatiran? Kekhuatiran
akan ada kesan sampingannya seperti ulser, perasaan tidak tenteram, tidur yang
tidak lena dan sebagainya. Ia membuat kita berasa teruk dan tidak gembira. Ia
akan menambahkan lagi masalah dan langsung tidak membawa kepada jalan
penyelesaian.
Soalan Yesus sebenarnya
adalah kenyataan bahawa kita tidak dapat
memanjangkan umur walaupun sedikit dengan kekhuatiran – tidak pernah
terjadi dalam sejarah dunia! Jadi, betapa bodohnya kita jika kita sentiasa
risau dan khuatir! Tetapi, kita mudah lupa tentang hal ini… Dalam kemanusiaan
kita, kita boleh mencari 1001 alasan untuk sentiasa khuatir. Khuatir seperti
ini adalah dosa kerana ia menunjukkan betapa kita tidak percaya kepada TUHAN.
Bagi orang Kristian, jika kita khuatir, kita mungkin percaya bahawa TUHAN itu
maha kuasa. Tetapi pada masa yang sama, perbuatan dan sikap kita mencerminkan
pemikiran seperti ini: “Saya tidak pasti
samada TUHAN peduli dan menjaga saya.” Jangan berfikir begini!
Kita harus yakin dan
percaya bahawa TUHAN itu sentiasa setia. Dia tidak pernah lupa. Dia tidak mudah
mengubah fikiran-Nya. Dia tidak akan lupa tentang kita dan janji-janji-Nya
untuk sentiasa mencukupkan dan memberkati kita. Dia akan sentiasa menjaga kita
– setiap sudut dan ketika dalam kehidupan kita. Kekhuatiran tidak dapat
menyembuhkan penyakit, memberi kita makan minum, membayar bil, dan
menyelesaikan masalah. Tetapi TUHAN boleh! Dia seringkali menunggu kita untuk
datang kepada-Nya dalam doa dan kerendahan hati. Permulaan iman adalah
pengakhiran kepada kekhuatiran.
Serahkan semuanya kepada
TUHAN – kerisauan, masalah, perkara doa – dan biarkan Dia menguruskannya. Lakukanlah yang terbaik dan buatlah
sesungguhnya hari ini, kemudian serahkanlah semuanya kepada TUHAN dan jangan
khuatir.
Jangan khuatiri hari esok,
TUHAN sudah ada di masa depan kita.
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment