Wednesday, July 10, 2013

Tujuan Utama, Kebaikan dan Bahaya dalam Berpuasa

Apabila kamu berpuasa, jangan bermuka muram seperti orang munafik. Mereka kelihatan menderita, sehingga semua orang tahu bahawa mereka berpuasa. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran. Apabila kamu berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambut, supaya orang tidak tahu bahawa kamu berpuasa. Biarlah hanya Bapamu yang tidak kelihatan itu yang tahu. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan kamu akan menerima pahala daripada Dia” (Matius 6:16-18, BM).

Tujuan Utama dan Kebaikan Berpuasa
Kadang-kadang, rutin hidup kita yang sibuk telah menyebabkan hubungan peribadi kita dengan Tuhan semakin renggang. Oleh itu, adalah digalakkan supaya kita meluangkan masa untuk berhenti seketika daripada melakukan aktiviti rutin seharian kita. Berpuasa daripada makanan (atau kurangkan makan) ialah salah satu daripada cara untuk kita mengawal atau menahan diri dari melakukan kebiasaan ini. Berpuasa membolehkan kita berhenti dan dengan sengaja ingin memfokuskan pemikiran, hati dan emosi kita kepada Bapa yang di syurga. Apabila kita berpuasa, kita seolah-olah mengatakan bahawa kita benar-benar serius ingin berkomunikasi dengan-Nya. ‘Bapa, berfirmanlah kepadaku, hamba-Mu ingin mendengar’. Berpuasa dapat menajamkan pemikiran dan telinga rohani kita agar mudah untuk kita mendengar suara-Nya berbanding dengan kebisingan rutin harian kita.

Kebanyakkan kita berfikir bahawa berpuasa bermaksud kita tidak perlu melakukan apa-apa seperti tidak makan dan minum. Tetapi, pada pandangan saya, berpuasa ialah kita melakukan sesuatu. Kita perlu melakukan sesuatu yang jarang kita lakukan pada hari-hari biasa seperti berdoa sambil memandu kereta atau menunggang motosikal (tidak perlu tutup mata, okay); atau membaca dan mengkaji satu buku dari Alkitab untuk hari itu; atau menghafal Firman Allah sepanjang hari; atau mengunci pintu bilik dan bernyanyi lagu puji sembah dengan alat musik secara sendirian; atau menulis jurnal tentang perkara yang berlaku kepada kamu sepanjang bulan atau minggu itu; dan sebagainya. Mungkin ada diantara kamu bertanya, “Richard, bagaimana pula dengan berbuat baik atau melakukan kerja-kerja amal semasa berpuasa?” Jawapan saya, “Kawan, di dalam Alkitab, Tuhan menyuruh kita melakuan kebaikan setiap masa dan terus mengasihi orang lain tanpa mengira masa atau siapapun mereka”. Sebagai pengikut Kristus, kita patut sudah tahu bahawa melakukan kebaikan seharusnya menjadi rutin dan kebiasaan bagi orang Kristian!

Walaupun mungkin benar bahawa berpuasa dapat menyihatkan badan, dapat mengawal nafsu dan ada juga yang mengatakan bahawa ia dapat memberikan kita ketenangan dan menambahkan berkat dan sebagainya – namun begitu, tujuan utama kita berpuasa ialah: untuk menguatkan hubungan kita dengan Tuhan. Fokus terutama ialah komunikasi dengan Bapa yang di syurga. Hilang tujuan atau fokus utama ini dalam kita berpuasa, maka, perbuatan berpuasa adalah sia-sia... Jadi, apakah tujuan sebenar kamu berpuasa?

Bahaya dalam Berpuasa
Bahaya berpuasa... hipokrit!
Oleh kerana tujuan utama kita berpuasa ialah untuk kita berkomunikasi dan menguatkan hubungan kita dengan Bapa yang disyurga, maka, tujuan-tujuan yang lain (walau semurni apa pun) boleh mengundang bahaya. Sebagai contoh (jika kita merujuk kepada Firman Allah di atas, Matius 6:16-18), berpuasa boleh menjadikan kita bersikap hipokrit, berpura-pura alim, menunjuk-nunjuk, mengingini pujian daripada orang lain, sombong dan angkuh. Bahaya juga datang apabila kita beranggapan bahawa Tuhan boleh dimanipulasi oleh perbuatan kita. Bahaya apabila kita menggunakan disiplin berpuasa sebagai cara untuk kita menutup perbuatan jahat atau menjadikan puasa sebagai alasan untuk kita menyembunyikan dosa-dosa yang tidak kita akui dihadapan-Nya.

Berpuasa bukanlah jalan ke syurga; hanya Kristus ialah jalan kepada Bapa yang di syurga. Berpuasa tidak dapat menyucikan dosa-dosa kita; hanya Darah Kristus yang suci sahaja yang dapat membenarkan kita berdiri dihadapan Bapa yang Maha Suci. Berpuasa ialah salah satu cara untuk kita terus berhubung dengan-Nya; tetapi hanya Yesus Kristus ialah Penghubung untuk hubungan kita dengan Bapa.

Wahai pengikut Kristus, berpuasalah kerana hubunganmu dengan Bapa adalah yang terutama di dalam hidup kita! Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]