Pengenalan
Alkitab ialah sebuah buku yang mengandungi banyak buku di dalamnya. Keliru?
Walaupun kita berkata bahawa ‘Alkitab’
ialah sebuah buku, namun sebenarnya ada 66 buah buku (atau kitab) kesemuanya.
Alkitab bermula dengan Kitab Kejadian dan diakhiri dengan Kitab Wahyu. Ia
dibahagikan kepada 2 bahagian utama. Bahagian pertama dipanggil Perjanjian Lama mengandungi 39 buah buku;
dan bahagian kedua dipanggil Perjanjian
Baru mengandungi 27 buah buku.
Siapa yang Menulis
Alkitab?
Dari sudut pandangan/sejarah manusia, Alkitab ditulis oleh lebih kurang 36
penulis dalam jarak masa 1,600 tahun (Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan
masyarakat dan status; gembala, raja, nabi, imam, doktor, pelayan misi,
nelayan, pemungut cukai, pegawai tentera dan sebagainya). Tetapi adalah sangat
penting untuk kita fahami bahawa penulis-penulis ini menulis dengan bimbingan
Roh Allah. TUHAN memberi mereka ilham untuk menulis setiap perkataan
yang ada di dalam Alkitab. Inilah yang kita katakan bahawa Alkitab ialah sebuah
buku hasil inspirasi Allah sendiri. Firman-Nya mengatakan bahawa:
“...tidak ada nubuat yang disampaikan oleh para nabi, berasal daripada
kehendak manusia. Tetapi Roh Allah menguasai orang semasa mereka menyampaikan
perkhabaran yang datang daripada Allah” (2 Petrus 1:21, BM).
“Semua yang tertulis
di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar,
untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya
hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang mengabdikan diri kepada
Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan
yang baik” (2 Timotius 3:16-17, BM).
Oleh itu, Alkitab ialah Firman
Allah. Tidak cukup untuk kita mengatakan bahawa Alkitab mengandungi Firman Allah (kerana ayat ‘mengandungi’ juga boleh bermaksud ada
yang diinspirasi dan ada yang tidak); tetapi, setiap perkataan yang tertulis di
dalam Alkitab ialah hasil inspirasi atau
ilham Allah sendiri. “Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah”.
Satu lagi perkara yang kita patut ingat ialah Alkitab merupakan satu-satunya sumber wahyu utama yang diilhami dan
ditulis kepada manusia. Jika kita membaca Firman Allah pada muka surat yang
terakhir di Kitab Wahyu, TUHAN memberi peringatan yang keras bahawa tiada
sesiapa pun yang boleh menambahkan atau mengurangkan apa yang tertulis di dalam
Alkitab (22:18-19).
Apakah Perkara
Utama di dalam Alkitab?
Walaupun Alkitab mengandungi 66 buah buku, ditulis (lebih kurang) oleh 36
penulis dari pelbagai lapisan masyarakat dan status, dan disampaikan pada masa
yang berbeza sepanjang 1,600 tahun – ia
mengandungi satu perkara atau watak utama iaitu Yesus Kristus. Dia ialah tema utama di dalam Alkitab. Buku-buku
Perjanjian Lama mengandungi banyak ramalan dan nubuat tentang kedatangan Tuhan Yesus
sebagai Penyelamat yang akan menyelamatkan kita daripada dosa; manakala, buku-buku
Perjanjian Baru pula mengatakan tentang kedatangan Raja Yesus kali kedua pada
akhir zaman sebagai Hakim yang akan menghakimi setiap manusia.
Apa yang Terkandung
di dalam Alkitab?
Alkitab ialah rekod sejarah sejak permulaan dunia diciptakan sehinggalah ke
masa depan dimana TUHAN akan membuat segala sesuatu baru – langit baru dan bumi baru.
Kitab Kejadian menceritakan tentang penciptaan dunia, kehadiran dosa, banjir
besar, dan pembentukkan negara Israel. Kitab Keluaran sehingga Buku Ester pula
menceritakan tentang sejarah jatuh-bangun kerajaan Israel sehingga 400 tahun
sebelum kedatangan Yesus Kristus. Buku Ayub sehingga Kidung Agung mengandungi
pelbagai sajak dan kata-kata pengetahuan yang indah. Dan keseluruhan buku-buku
Perjanjian Lama, dari Buku Yesaya sehingga Buku Maleakhi pula mengandungi
(kebanyakkannya) ramalan dan nubuat tentang keadaan pada masa itu dan terutama
sekali pada masa akan datang.
Perjanjian Baru pula dimulakan dengan empat buah buku Berita Baik tentang
Yesus Kristus. Ia mengisahkan tentang kehidupan dan tujuan Dia datang ke dunia.
Buku Kisah Rasul-Rasul seterusnya menceritakan tentang pembentukkan gereja
pertama dan kebangkitan orang Kristian dan diakhiri dengan kisah tentang rasul
Paulus. Surat Roma sehingga Surat Yudas pula ditulis kepada jemaah
gereja-gereja dan juga kepada individu-individu dengan tujuan untuk menerangkan
kepada mereka tentang kebenaran iman orang Kristian, dan menyatakan tentang
cara hidup sebagai pengikut Kristus. Buku Wayhu memberikan suatu gambaran tentang
masa depan yang akan berlaku di syurga, di bumi dan di neraka.
Secara ringkas inilah apa yang terkandung di dalam Alkitab. Menarik bukan?
Kesimpulan
Semasa kecil saya diajar oleh paderi di gereja saya untuk membuat tanda
salib. Selepas berdoa, saya akan menyebut: ‘Dengan
nama Allah Bapa, Allah Anak dan Roh Kudus. Amen’. Alkitab langsung tidak
mengatakan bahawa kita perlu melakukan tanda salib sebelum atau selepas berdoa,
ia ialah tradisi gereja. Namun begitu, tanda salib sangat penting bagi saya
secara peribadi kerana ia mengingatkan saya bahawa hanya Allah Triniti sahaja
yang patut disembah. Oleh itu, kita tidak menyembah Alkitab; kita menyembah
Allah yang Satu. Tetapi untuk kita mengenal Dia secara peribadi, kita
memerlukan Alkitab kerana Dia sudah dan akan terus berbicara dengan kita
melalui Firman-Nya. Alkitab ialah Firman Allah. Hormatilah, bacalah dan
pelajarilah Alkitab. TUHAN bersama kamu. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment