Sunday, November 25, 2012

"...tetapi Saya Tidak Boleh Memaafkan Diri Saya Sendiri"

Pernahkah kamu mendengar orang (atau kamu sendiri) berkata begini: “Saya tahu Tuhan sudah memaafkan saya, tetapi saya tidak boleh memaafkan diri saya sendiri”? Apakah maksud mereka? Biar saya cuba terangkan apa yang mereka maksudkan dengan berkata “saya tidak boleh memaafkan diri saya sendiri”. Pada pendapat saya, apa yang mereka maksudkan ialah:

Saya tahu Tuhan sudah memaafkan saya tetapi saya masih lagi merasa bersalah; saya tidak boleh melupakan kesilapan saya begitu saja, ia seringkali datang menghantui saya dan kadang-kadang kesilapan itu amat menyiksakan saya. Kadang-kadang ia membuatkan saya merasa marah dengan diri saya sendiri... Ianya begitu susah untuk saya menerima kenyataan bahawa memang sayalah penyebab kepada semua kesilapan itu. Ia bukan sahaja membuatkan saya merasa tidak berguna, malah, ia membuatkan saya tidak ada harga diri. Kehidupan lama saya tidak hanya tinggal sejarah, tetapi ianya sentiasa muncul semula bila-bila masa sampai sekarang.’

Seperti yang kita semua tahu atau kita sendiri pernah atau sedang mengalaminya, penyesalan tentang kesilapan lampau akan menghalang pertumbuhan rohani kita. Kita juga tahu bahawa memaafkan diri kita sendiri adalah sesuatu yang paling susah untuk kita lakukan, tetapi kita sedar juga bahawa kita HARUS melakukannya kerana penyesalan yang tidak disembuhkan akan menjadi dosa yang merosakkan diri kita sendiri. Merosakkan diri sendiri adalah dosa kerana diri kita sudah ditebus oleh Darah Anak Domba – kita milik Tuhan Allah dan kita berharga bagi-Nya.

Tahukah kamu bahawa kamu adalah sangat ‘berharga bagi Tuhan Allah’? Harga yang Dia sanggup bayar bagi kamu dan saya ialah dengan kematian Yesus Kristus, Anak-Nya sendiri di kayu salib. Kita tidak seharusnya merosakkan sesuatu yang Dia sudah bayar dengan harga semahal itu. Oleh itu, kekesalan yang kita ada haruslah disembuhkan supaya luka lama tidak akan ‘berdarah’ kembali.

Jadi, bagaimana kita boleh meninggalkan kesesalan kita dan belajar untuk memaafkan diri sendiri? Pertama sekali, kita harus sedar akan kenyataan bahawa adalah satu kesalahan jika kita tidak memaafkan diri kita sendiri. Ia tidak semestinya mudah! Sesetengah daripada kita masih lagi merasa bersalah, merasa harus dihukum, dan merasa terlalu kasihan dengan diri sendiri (self-pity) sehinggakan begitu susah untuk melepaskannya. Jika kita memikirkan tentang betapa parahnya kekesalan itu; jika kita memikirkan bagaimana ia boleh menjejaskan hubungan kita dengan Tuhan; jika kita sedar bahawa kekesalan itu telah membuka jalan bagi Iblis untuk menyesatkan kita, maka kita tahu bahawa ia adalah satu kesalahan. Terutama sekali, kita tahu bahawa Tuhan Allah sudah memaafkan kita, adakah kita sekarang ingin meletakkan diri kita lebih tinggi daripada Allah dengan tidak memaafkan diri kita sendiri?


Langkah kedua ialah dengan menyerahkan diri kita kepada Tuhan Yesus, datang kepada-Nya dan berdoa agar Dia menyembuhkan kekesalan lampau yang telah mengganggu kita. Dia sahaja yang mampu melakukan-Nya. Minta agar Dia dapat menunjukkan bagaimana kita sudah terlanjur menghukum diri kita sendiri dan berhenti berbuat demikian lagi. Minta agar Dia dapat menunjukkan bahawa Tuhan Allah sudah menerima kita seadanya walaupun kita sudah berbuat dosa dan melakukan kesilapan pada masa lampau. Minta agar Dia memperlihatkan bahawa kasih-Nya kepada kita tidak bergantung kepada perbuatan dan kebaikkan kita. Minta agar kita sedar bahawa kita ialah anak-anak kesayangan-Nya melalui kasih kurnia-Nya. Sekali lagi, di kayu saliblah segala bukti bahawa Tuhan Allah sudah memaafkan dan membukakan hati kita untuk menerima kemaafan itu. Ini memberi kita kuasa untuk memaafkan diri kita sendiri.

Kadang-kadang agar suka bagi kita untuk mengetahui samada kita sudah memaafkan diri kita sendiri atau belum, lebih-lebih lagi masih ada kesakitan atau kepedihan yang kita alami daripada masa lampau. Namun begitu, ia tidak semestinya bermaksud bahawa kita masih belum memaafkan diri kita sendiri. Melupakan kekesalan tidak bermaksud semua kesedihan atau kesakitan yang kita alami juga akan hilang begitu sahaja. Apabila kita sudah meninggalkan kekesalan itu, kesedihan atau kesakitan masa lampau tidak lagi akan menghantui kita. Ianya akan sembuh sedikit demi sedikit. Ia tidak akan lagi menyebabkan kita asyik memikirkan tentang diri sendiri. Hubungan kita dengan Tuhan Allah juga akan disembuhkan dan kita akan mula memikirkan tentang orang lain juga.

Rasul Paulus ialah seorang hamba Tuhan yang paling memerlukan kasih kurnia Tuhan Allah untuk memaafkan dirinya sendiri terhadap dosa-dosa lampau. Dia menulis kepada Timothy:
Aku bersyukur kepada Kristus Yesus Tuhan kita, yang sudah memberi aku kekuatan untuk menjalankan pekerjaanku. Aku berterima kasih kepada-Nya, kerana Dia mengaggap aku layak, dan telah melantik aku untuk melakukan tugas itu, meskipun dahulu aku mengufuri, menganiaya dan menghina Dia... Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah paling jahat, tetapi justeru kerana itulah Allah mengasihi aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa” (1 Timotius 1:12-16).

Saya tidak percaya yang semua kesakitan atau kesedihan yang Paulus alami apabila mengenang kembali bagaimana dia sudah memenjarakan dan membunuh orang Kristian sebelum dia menerima Tuhan Yesus Kristus hilang begitu sahaja. Akan tetapi, kita tahu bahawa Paulus sedar bahawa kasih, kesabaran dan kemaafan Tuhan Allah adalah yang terutama dan terbesar sekali diingatannya – bukan dosa-dosa lampau. Oleh sebab itu, apabila dia sudah memaafkan dirinya sendiri dengan kasih kurnia Tuhan, hubungan dia dengan Tuhan Yesus disembuhkan dan dia mampu mengerjakan perkerjaan Allah dengan penuh keyakinan.

Kamu juga boleh berbuat begitu – maafkan diri kamu sendiri, kerana Tuhan Yesus sudah memaafkan kamu dahulu.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

4 comments:

  1. "Terutama sekali, kita tahu bahawa Tuhan Allah sudah memaafkan kita, adakah kita sekarang ingin meletakkan diri kita lebih tinggi daripada Allah dengan tidak memaafkan diri kita sendiri?"... Wow!!!

    ReplyDelete
  2. hai. terjawab sudah pertanyaan saya..dalam Tuhan saya mendapat pemulihan. kalau kita asyik dengar. kata manusia, kita yg tenggelam. sbb mmg satu kenyataan yg jikalau kita hendak berubah tapi org di sekeliling kita mesti saja ada yg tidak berpuas hati..kutuk kita mcm2x...eksen la..apa la...tapi2x hjg2x...hanya kita dengan Tuhan yg hidup akan bersama. saya sendiri pun pernah mengalami ini . tapi syukur,org di sekeliling saya mula menerima siapa saya sebagai org yg baru. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Good to hear :) Terus mendalami Firman dan berdoa ya. Kenal siapa Yesus itu dari semasa ke semasa. Hubungan tercipta dari hari ke hari :)

      Delete
  3. saya tertarik dgn sharing kamu hari tu d kubah..about body and our soul. to be honest,saya masih blurr. but i think i get your point. :)

    ReplyDelete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]