Wednesday, November 21, 2012

Adakah Kita Diselamatkan melalui Iman atau melalui Iman dan Perbuatan Baik?

Artikel ini ditulis kerana seorang pelajar pernah bertanya kepada saya: Betulkah kita hanya diselamatkan melalui iman? Bagaimana dengan perbuatan baik? Sila jelaskan. Saya berharap ini dapat membantu kamu juga.

Hal itu demikian, kerana rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu” (Efesus 2:8-9, baca Efesus bab 2 untuk hubungan ayat yang lebih jelas).

Firman Tuhan atau Al-Kitab mengatakan bahawa kita HANYA boleh diselamatkan melalui iman percaya kita kepada Yesus Kristus. Tidak ada perbuatan baik yang boleh menyelamatkan kita. Perbuatan baik langsung tidak menyumbang sedikitpun dalam hal penyelamatan. Apabila Tuhan menggerakkan hati kita untuk meletakkan iman kita kepada Yesus Kristus, Tuhan akan memberikan kita penyelamatan (‘Salvation’) sebagai kurnia-Nya – pemberian-Nya. Kita tidak boleh berusaha atau bekerja untuk mendapatkan kurnia-Nya. Kita hanya mampu menerimanya. Jika kita memberi sesuatu sebagai balasan atas kebaikan yang dilakukan kepada kita, jadi apa yang kita terima itu tidaklah boleh dianggap sebagai kurnia, tetapi sebagai ganjaran (Berhenti. Berfikir sebentar). Oleh itu, Tuhan telah berFirman bahawa “penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah”.


Tiada cara lain lagi, kita memerlukan iman percaya yang benar untuk menerima kurnia penyelamatan daripada Tuhan Allah (“Iman” ini juga kurnia daripada Tuhan. Oh, betapa besarnya kekuasaan Allah!). Kita yang mengaku bahawa kita telah diselamatkan oleh Tuhan oleh kasih kurnia-Nya SEHARUSNYA mempunyai iman percaya yang benar kepada Yesus. Tetapi bagaimana kamu atau sesiapa sahaja boleh tahu atau pasti yang iman yang kamu ada itu ialah iman percaya yang benar kepada Yesus Kristus? Cukupkah dengan berkata-kata sahaja? Tidak!

Rasul Yakabus menulis, “Dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman” (Yakobus 2:18). Beginilah caranya kita boleh mengenal pasti bahawa iman kita itu benar atau tidak – melalui perbuatan baik kita. Iman yang benar, hidup yang dipenuhi dengan pekerjaan Roh Kudus, akan meransang atau mendorong kita untuk berbuat baik.

Iman SAHAJA yang boleh menyelamatkan kamu, tetapi apabila kamu sudah diselamatkan oleh Tuhan Yesus, kamu akan “rajin berbuat baik” (Titus 2:14). Iman kamu akan menampakkan kasih melalui perbuatan kamu. Kenapa? Penjelasannya mudah sekali: “kepercayaan kepada [Yesus] Kristus... nyata dalam kasih kita kepada orang lain” (Galatia 5:6). Tuhan Allah itu kasih, dan apabila Roh Kasih Allah menyentuh hati kamu dan tinggal di dalam hidup kamu, Dia akan mendorong kita untuk melakukan perbuatan baik, perbuatan baik dengan kasih Allah.

Jadi soalan saya sekarang ialah; Adakah iman yang kamu ada sekarang ialah iman percaya yang benar? Adakah ia menghasilkan buah melalui pekerjaan baik? Jika ya, kamu memang umat pilihan Allah; jika tidak, berdoalah agar Tuhan Allah membuka hati kamu untuk menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

3 comments:

  1. Thanx for sharing Bro. Richard.. :) Do you mind if I Share your blog link?

    ReplyDelete
  2. KPR 2:37-38

    2:37 Ketika mereka mendengar hal itu hati mereka sangat terharu, lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain: "Apakah yang harus kami perbuat, saudara-saudara?"

    2:38 Jawab Petrus kepada mereka: "Bertobatlah dan hendaklah kamu masing-masing memberi dirimu dibaptis dalam nama Yesus Kristus untuk pengampunan dosamu, maka kamu akan menerima karunia Roh Kudus.

    ReplyDelete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]