Thursday, November 15, 2012

Apabila Bencana Berlaku...

Allah mengajar manusia melalui penderitaan
dan menginsafkan mereka melalui kesusahan
’ (Ayub 36:15)

Atas sebab hanya Tuhan sahaja yang tahu, Dia mengizinkan bencana berlaku, bukan sahaja kepada orang yang mentaati-Nya tetapi juga kepada orang yang tidak mentaati-Nya. Kepada orang yang baik dan yang jahat. Tuhan Allah mungkin mengizinkan sesuatu bencana buruk berlaku di dalam kehidupan kamu supaya Dia dapat ‘mengajar... dan menginsafkan’ kamu melalui pengalaman itu. Dia mahu supaya kamu mengalihkan pandangan kamu kepada-Nya –sumber keselamatan kita.

Kadang-kadang bencana berlaku kepada kita disebabkan oleh dosa. Ia mungkin disebabkan oleh dosa kita sendiri atau disebabkan oleh dosa orang lain yang tidak mentaati Tuhan. Kadang-kadang ia juga disebabkan oleh perbuatan kita manusia sendiri, seperti peperangan, dan kadang-kadang ia berlaku disebabkan oleh kejadian alam dalam bentuk banjir kilat, kebakaran, kemarau atau ribut petir (saya tiba-tiba teringat tentang kejadian ribut teruk yang berlaku di Miri, Sarawak baru-baru ini).

Walau apa pun yang berlaku kepada kita, iman yang benar percaya bahawa Tuhan Yesus tetap mengasihi kita dan Dia mempunyai rencana-Nya yang baik bagi kita. Roma 8:28 mengatakan bahawa: ‘Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya’. Ini Dia lakukan bagi orang yang mengasihi dan percaya kepada Yesus Kristus Tuhan Allah dan Juruselamat manusia.

Kata-kata akhir...
Saya tahu... saya mungkin memahami... bahawa bencana yang berlaku kepada kamu pada masa ini ialah yang paling mencabar, teramat sedih dan sungguh dahsyat berbanding dengan orang lain (apabila kita ditimpa masalah kita sering berpendapat bahawa masalah kitalah yang paling teruk). Kamu juga mungkin berfikir bahawa semua yang saya kongsikan di artikel ini pernah kamu dengar sebelum ini (malah kamu mungkin juga tahu lebih lagi daripada saya). Pun begitu, izinkan saya berkongsi kebenaran kepada kamu untuk kali yang terakhir di artikel ini: kawan, ingat – hadirat Tuhan akan sentiasa disamping kita, tiada suatu pun yang dapat menggoncangkan kita (baca Mazmur 16:8). Oleh itu, hiduplah dengan tabah dan penuh dengan pengharapan. Tuhan Yesus ada bersama kamu.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]