Friday, August 12, 2016

TUHAN, Mengapakah Engkau Menyusahkan Musa Hamba-Mu? (Bilangan 10)


Musa mendengar ratapan umat itu, semua orang daripada kaum masing-masing menangis di depan pintu khemah mereka. Maka menyalalah murka TUHAN yang besar, tetapi Musa berasa tidak senang. Lalu kata Musa kepada TUHAN, “Mengapakah Engkau menyusahkan hamba-Mu ini? Mengapakah tidak ada rahmat bagi hamba di mata-Mu, sehingga beban seluruh bangsa ini Kautanggungkan kepadaku? Adakah hamba yang mengandung seluruh bangsa ini? Adakah hamba yang menjadikan mereka sehingga Engkau berfirman kepada hamba, ‘Bawalah mereka dalam dakapanmu seperti seorang pengasuh menggendong anak yang sedang menyusu,’ ke tanah yang Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka? Dari manakah hamba dapat memperoleh daging untuk diberikan kepada seluruh bangsa ini? Mereka menangis di depan hamba sambil berkata, ‘Berilah kami daging untuk dimakan.’ Hamba tidak dapat menanggung beban seluruh bangsa ini seorang diri, kerana hal itu terlalu berat bagi hamba…
(Bilangan 11:10-14, Alkitab Versi Borneo)

Setelah apa yang TUHAN sudah lakukan kepada mereka, orang Israel beranggapan bahawa Tuhan itu seorang yang kedekut dan pelupa kerana tidak menjaga keperluan dan makan minum mereka. Seperti mereka sudah lupa bahawa Tuhan sudah menyediakan mereka makananan “manna”, mereka menginginkan makanan yang mereka makan ketika mereka menjadi hamba di Mesir. Mereka sentiasa merungut dan tidak berpuas hati.

Musa sudah mula jemu dan letih dengan karenah mereka. Dia sangat pasrah dengan rungutan orang Israel. Oleh itu, dia meluahkan hati dia kepada Tuhan. “Mengapakah Engkau menyusahkan hamba-Mu ini?” dia ingin tahu. Musa sekarang bersikap pesimis. Dia juga sudah menjadi seorang yang pandai merungut (apabila kita selalu bersama dengan orang yang suka merungut, lambat laun kita juga akan menjadi begitu). Tetapi apa yang baik yang saya belajar dari Musa ialah dia seringkali membawa beban dan masalah (dan rungutan) dia kepada Tuhan dengan jujur. Musa banyak mempersoalkan Tuhan tetapi dalam kata-katanya ada iman dan percaya hanya Tuhan sahaja yang boleh menyelesaikan masalah itu. Musa tidak menyorok daripada Tuhan, atau berpura-pura untuk berfikiran positif dan menyelesaikan masalah itu tanpa pertolongan Tuhan. Dia seolah-olah berkata: “Tuhan, mereka ini ialah umat-Mu, lakukanlah sesuatu.”

TUHAN hanya boleh bekerja dalam kehidupan kita sekiranya kita jujur dihadapan-Nya. Bila kita berdoa, “Tuhan, saya sangat kecewa dan marah dengan apa yang berlaku sekarang. Saya memerlukan mukjizat daripada Engkau,” Dia akan melakukan sesuatu. Bila Yakub mengakui bahawa dia seorang yang penipu, Allah bukan sahaja menukar namanya menjadi Israel (Kejadian 32:22-32), tetapi dia diubah oleh Dia dari hari ke hari. Bawalah segala yang baik, buruk dan teruk kepada Tuhan dengan penuh kejujuran… Dia akan melakukan perkara yang hebat!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]