Monday, March 23, 2015

Orang Muda, Jangan Takut akan Sesama Manusia (Renungan tentang Yeremia 1:4-10)


TUHAN berfirman kepadaku [Yeremia], ‘Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, dan sebelum engkau dilahirkan, Aku sudah memilih dan melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.’ Aku menjawab, ‘Ya TUHAN Raja, aku tidak pandai bercakap kerana aku masih terlalu muda.’ Tetapi TUHAN menjawab, ‘Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu. Aku, TUHAN telah berfirman!’ Kemudian TUHAN menghulurkan tangan-Nya, menyentuh mulutku dan berfirman, ‘Dengarlah, Aku memberi engkau firman-Ku yang harus engkau ucapkan. Pada hari ini Aku memberi engkau kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya, untuk membinasakan dan menggulingkannya, untuk membina dan menegakkannya” (Yeremia 1:4-10, BM).

TUHAN berfirman terus kepada Yeremia. Yeremia dipilih sebagai nabi khas bagi umat Israel. Yeremia ada misi khas dari TUHAN. Oleh itu, apa yang dijanjikan kepada nabi Yeremia (seperti “kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya”) tidak semesti apa yang dijanjikan oleh TUHAN kepada kita. Tetapi Firman-Nya; “Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu” harus menjadi dorongan dan kekuatan bagi setiap kita yang ingin mentaati-Nya dan melayani orang disekeliling kita.

Kita sebagai orang-orang muda seperti nabi Yeremia yang ingin mentaati TUHAN dan melayani orang lain pasti akan melalui banyak rintangan terutama sekali tentangan dan penolokkan daripada orang lain. Kita takut apabila kita tidak diterima. Saya sendiri kadang-kadang terfikir kalau-kalau ada orang yang tidak berpuas hati terhadap saya. Mungkin ada yang tidak suka dengan cara dan bagaimana saya melakukan sesuatu. Ada yang tidak setuju dan akan ada yang tersinggung. Saya sendiri juga mungkin ada melakukan kesilapan atau tersalah cakap dan mendapat kritikkan yang negatif. Takut akan sesama manusia adalah faktor utama yang menghalang kita dalam pelayanan bagi TUHAN.

Jadi TUHAN berfirman, “Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu.” Hadirat dan penyertaan-Nya lebih berharga dan penting daripada apa yang orang lain katakan tentang kita. TUHAN akan menyertai dan melindungi kita semasa dan melalui masalah yang kita akan alami kerana Nama-Nya. Melalui Yesus Kristus, janji yang sama juga sudah diberikan kepada kita sekarang; “Allah sudah berfirman, ‘Aku tidak akan membiarkan kamu, Aku tidak akan meninggalkan kamu.’ Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata, ‘Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?’” (Ibrani 13:5-6); dan “Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita?” (Roma 8:31).

Jadi, TUHAN berfirman kepada nabi Yeremia dan juga kepada kita orang-orang muda sekarang yang telah dipanggil oleh-Nya untuk mentaati dan melayani orang lain, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda... Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu.” Kerana TUHAN yang kita ada ialah Tuhan yang tidak akan meninggalkan kita. Kerana Dia telah memilih dan mempunyai rencana yang indah dalam kehidupan kita. Kerana Roh-Nya akan memimpin setiap pergerakkan dan percakapan kita. Kerana TUHAN sendiri akan bersama kita semasa kita mengalami tentangan atau penolakkan. Jangan takut. Jangan takut. Jangan takut.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]