Sunday, March 22, 2015

Isa al-Masih ialah Pembela Kita (Renungan tentang 1 Yahya 2:1-2)

Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. Dialah korban perdamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia
(1 Yahya 2:1-2, Kitab Suci Zabur dan Injil, KSZI)

Seperti renungan-renungan Firman Allah sebelumnya (sila klik, Renungan tentang Surat Pertama Rasul Yahya), saya menerangkan yang Rasul Yahya sebenarnya menulis surat ini kepada umat-umat Allah yang sudah percaya kepada Isa al-Masih, bukan kepada semua orang di dunia. Jadi, surat ini ialah khusus bagi orang Kristian.

Kita orang Kristian patut sedar bahawa menjadi pengikut Isa tidak semesti kita tidak akan berbuat dosa lagi. Kita perlu meninggalkan dosa yang lama dan hari demi hari kita harus melawan percubaan dan keinginan diri melalui kuasa Roh Allah yang ada bersama kita. Tetapi ada masanya kita akan jatuh dan berbuat dosa lagi. Di sini Rasul Yahya menulis bahawa orang Kristian yang benar akan mengakui dosa dia dan TUHAN pasti akan mengampuninya. Bagaimana ini boleh terjadi? Murka Allah terhadap semua dosa kita sudah diselesaikan oleh Isa al-Masih melalui darah-Nya yang menyucikan kita daripada segala dosa (1 Yahya 1:7).

Isa al-Masih ialah Pembela kita. Apakah yang dimaksudkan dengan “Pembela”? Bayangkan kita berada di mahkamah. Rasul Yahya seperti mengatakan bahawa jika kita dituduh bersalah dihadapan Allah Bapa, kita ada peguam bela yang akan mewakili kita. Isa al-Masih, Putera Allah yang duduk bersama Allah Bapa akan ‘masuk campur’ dan membela kita dari segala tuduhan Iblis kepada kita. Walaupun Iblis telah menuduh kita “siang dan malam di hadapan Allah TUHAN” (Wahyu 12:10, KSZI), Isa akan menjadi Pembela bagi kita. Kematian Isa al-Masih di kayu salib telah menjadi “korban perdamaian bagi dosa kita” (1 Yahya 2:2). Allah itu adil, maka dosa harus dihukum. Allah itu juga kasih, maka Dia mengutus Putera-Nya untuk mati bagi kita. Isa ingin dan sanggup mati bagi kita. Oleh itu, jika kita berbuat dosa, dan kita terus mengakui dosa kita, Allah pasti akan mengampuni kita! Inilah kebaikan dan kasih kurnia Allah.

Ingat, sebagai seorang Kristian, kita pasti akan melakukan dosa lagi walaupun selepas kita bertaubat. Jangan jadikan ia kebiasaan dan jangan juga mudah putus asa. Apapun terjadi, Isa al-Masih akan tetap menjadi Pembela kita. Seorang Kristian yang benar bukanlah seorang yang sempurna dan tidak berbuat dosa lagi, tetapi seorang yang sentiasa akan mengakui dosanya di hadapan Allah. Pengakuan dosa sepatutnya menjadi rutin orang Kristian. Ini tidak bermaksud kita sering berfikiran negatif. Ini bermaksud kita ialah anak-anak Allah dan kita sebenarnya “mempunyai fikiran al-Masih” (1 Korintus 2:16).

Bagi kamu yang belum mengenal dan menerima Isa al-Masih sebagai Tuhan dan Juruselamat kamu
Adakah kamu juga mahu Isa menjadi Pembela kamu?
Atau kamu boleh membela diri sendiri di hadirat Allah Bapa yang Maha Adil dan Suci?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]