Thursday, March 19, 2015

Penebangan Pokok, Kandungan Karbon Dioksida dan Pemanasan Global


“[TUHAN] Allah menempatkan manusia itu di Taman Eden
untuk mengusahakannya serta memelihara taman itu” (Kejadian 2:15, BM)

Hutan kita memerlukan pokok (itu logik!). Tiada yang menarik tentang hutan yang gondol dan tidak ada pokok (Itu logik kedua). Tetapi, bagaimana penggondolan hutan boleh memberi impak kepada pemanasan global? Mari kita kembali kepada asas. Fikirkan, setiap udara yang kita sedut mengandungi oksigen dan yang kita hembus pula mengandungi karbon dioksida. Pokok-pokok dan segala tumbuhan akan menyerap karbon dioksida dan menukarkannya kepada oksigen supaya kita boleh terus bernafas. Beginilah, secara ringkas, kitaran kehidupan di dunia.

Tetapi harus kita fikirkan juga bahawa pokok-pokok dan segala tumbuhan bukan hanya menyerap karbon dioksida yang dilepaskan oleh kita manusia dan haiwan-haiwan. Ia juga menyerap karbon dioksida yang ada diseluruh bumi ini termasuk yang dilepaskan secara semula jadi seperti apabila berlaku letupan gunung berapi, melalui gas-gas yang dilepaskan semasa proses pereputan berlaku dan apabila hutan terbakar. Malah, pembakaran bahan api fosil juga menyumbang kepada pelepasan gas karbon dioksida.

Hutan-hutan yang ada di bumi sekarang sangat penting bagi menyeimbangkan kandungan karbon dioksida di atmosfera kita. Ia menyerap karbon dioksida dari atmosfera dan dipindahkan ke daun-daun, akar-akarnya dan kembali ke tanah. Menurut apa yang saya pernah baca dalam satu artikel, selama 40 tahun, 4000 meter persegi hutan boleh menyimpan 50 tan karbon dioksida. Tetapi, bagaimana jika pokok-pokok semakin berkurangan?

Dengan jumlah penduduk di bumi sekarang semakin meningkat – hampir 7 bilion – pemintaan untuk bahan binaan seperti kayu juga semakin meningkat. Kita perlu membina rumah, membuat kertas untuk keperluan rumah, sekolah dan pejabat, memotong pokok-pokok untuk pertanian dan menggondolkan hutan atas tujuan pembangunan. Pokok-pokok dipotong supaya kita boleh membina banyak lagi pusat-pusat membeli-belah dan untuk membina empangan elektrik. Hutan-hutan yang pada mulanya memenuhi seluruh bumi sekarang sudah ditebang, dibakar dan dibersihkan secara rakus dan tidak teratur menyebabkan kita hilang hampir 80 peratus hutan-hutan semulajadi di dunia (menurut World Resource Institute). Sebagai contoh untuk kamu lebih memahami kemusnahan ini, bayangkan kamu berdiri di sebuah cermin yang besar. Lihat dari kepala hingga lutut kamu. Itulah 80% dari bahagian tubuh kamu. Itulah nisbah hutan-hutan yang hilang sekarang.

Apabila hutan ditebang atau dibakar, ia akan menyebabkan dua perkara. Pertama, pokok-pokok yang menyerap karbon dioksida di udara semakin kurang. Kedua, ia akan mengakibatkan pelepasan karbon dioksida yang terkandung di dalam akar-akar pokok dan tanah yang selama ini disimpan di dalamnya. Ketahuilah, penebangan hutan adalah penyumbang kedua terbesar selepas pembakaran bahan api fosil kepada pemanasan global di bumi sekarang. Ingat: semakin banyak kandungan karbon dioksida di udara, semakin panas suhu muka bumi. Semakin panas suhu bumi, semakin kering tanah dan pokok-pokok. Semakin kering tanah dan pokok-pokok, semakin tinggi peluang bagi hutan terbakar teruk. Apabila ada kebakaran hutan, secara sengaja atau tidak, hutan yang kering akan lebih mudah merebak dan menjadi teruk berbanding dengan hutan yang sihat. Semua kitaran alam semula jadi, pasti akan memberi kesan kepada kita juga akhirnya.

Sayangi hutan-hutan kita.
Kita harus mengusahakannya dan juga – memeliharanya.
Lakukan sesuatu. Kita dan masa depan.
Jadilah suara bagi ciptaan-Nya.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]