“Aku sering
berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan
perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar
mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura
menjadi pengikut Kristus” (2
Korintus 11:26)
Apabila
saya membaca tentang kehidupan rasul Paulus, saya begitu kagum dengan semangat
dan keteguhan dia di dalam iman. Seringkali apabila saya merasa ingin pengalah,
surat-surat daripada Pauluslah yang sentiasa menyemarakkan semangat saya untuk
terus bergantung kepada kekuatan Tuhan. Salah satu surat yang banyak mendorong
saya ialah surat Paulus kepada Jemaah di Korintus. Visi rasul Paulus untuk
memberitakan Berita Baik tentang kebangkitan Tuhan Yesus ke tempat-tempat baru
telah mengalami pelbagai tentangan dan cabaran (Paulus memang luar biasa!).
Namun begitu, Paulus tetap teguh walaupun banyak rintangan yang datang (baca 2
Korintus 11:23-32) – semakin banyak
cabaran yang dia alami, semakin dekat hubungan dia dengan Tuhan.
Tuhan
juga mahukan hubungan kamu dengan Dia semakin intim… Seperti batu pengasah yang
kasar dan keras digunakan untuk menajamkan pisau; begitu juga cabaran,
tentangan dan rintangan di dalam hidup kamu digunakan oleh Tuhan untuk ‘menajamkan’ kamu bagi melakukan
pekerjaan-Nya. Setiap cabaran yang kamu alami digunakan oleh Tuhan untuk
membentuk kamu, untuk membawa yang terbaik daripada kamu, untuk memberi kamu
kebijaksanaan dan untuk mematangkan kamu – sangat
tajam sehingga dapat memotong setiap
cabaran yang datang!
Menerima
cabaran, tentangan dan rintangan dalam hidup membolehkan kamu bergantung kepada
Tuhan. Kamu akan sentiasa mencari Dia dan memerlukan Dia setiap masa. Inilah kerinduan Tuhan Yesus – supaya kamu
terus mencari Dia dalam semua perkara. Oleh itu, kawanku, berbahagialah
apabila kamu menerima cabaran kerana ingin bersaksi untuk Tuhan Yesus, kamu
akan lebih intim dengan Tuhan. Yakobus menulis,
“Saudara-saudaraku! Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami
bermacam-macam cubaan, kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan,
dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu
tabah menanggung penderitaan. Pastikan supaya ketabahan kamu untuk menanggung
penderitaan itu berterusan, sehingga kamu menjadi benar-benar sempurna dan
tidak kekurangan sesuatu pun” (1:2-4).
THINK
BIG. START SMALL. GO DEEP.
Yes Richard.this is so true.
ReplyDelete