Thursday, December 22, 2016

7 Hari Pra-Krismas Mesej #4 Kemuliaan Allah dalam Keperibadian Kristus

Gambaran semasa Perjanjian Lama, Kemuliaan Allah dari luar Bait TUHAN

Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan
(Lukas 2:8-9,
AVB)

Dalam Perjanjian Lama, pada masa Bait Solomo iaitu Bait Allah berdiri megah di Kota Yerusalem, shekinah kemuliaan Allah – yang boleh dilihat, yang mempunyai intipati, yang terpancar dari diri Allah yang Maha Kuasa – memenuhi Tempat Yang Maha Suci. Hanya imam agung sahaja yang boleh mendekati tempat itu. Dan dia hanya boleh datang setahun sekali iaitu pada Hari Pendamaian (Yom Kippur). Pada hari itu, upacara pendamaian dilakukan oleh imam agung untuk seluruh umat Israel untuk dosa mereka dan darah korban akan dipercik di penutup Tabut Perjanjian TUHAN. Pada masa itu, imam agung berdiri di hadirat Allah. Kemuliaan-Nya memenuhi tempat itu!

Kesucian Allah menyebabkan orang Yahudi dilarang untuk menghampiri Tempat Yang Maha Suci, walauapapun alasan mereka. Oleh itu, mereka mengikat tali pada kaki imam agung sebelum dia memasuki tempat itu. Dengan cara ini, jika imam agung mati dihadapan Allah (mungkin disebabkan kecuaian atau kesilapan), mereka dapat menarik mayat imam agung itu keluar.

Untuk berdiri di tempat itu dimana shekinah kemuliaan Allah terpancar ialah suatu yang paling berharga di dunia. Tahun demi tahun, ia merupakan suatu kebesaran bagi setiap imam agung dalam pelayanan mereka. Selepas banyak persiapan diri, melalui banyak upacara yang harus dilakukan menurut Kitab Imamat, imam agung akan pergi menghadap hadirat Allah.

Tetapi setelah bertahun-tahun berlalu, umat Israel mula mengambil ringan terhadap berkat dan kasih kurnia Allah sehinggakan mereka memberontak terhadap-Nya dan tidak mengendahkan Taurat Musa. Akhirnya, setelah beberapa cubaan untuk membawa mereka dalam pertaubatan, mereka degil, jadi, kemuliaan Allah pergi meninggalkan mereka.

Pada masa pernaklukan kerajaan Babilon, nabi Yehezkiel bernubuat bahawa kemuliaan Allah masih lagi berada di Bait TUHAN (rujuk Yehezkiel 8:4). Tetapi nabi Yehezkiel juga berkata bahawa banyak berhala telah diletakkan berdekatan dengan pintu gerbang Bait TUHAN. Mereka menyembah dan bersujud kepada berhala negara asing (rujuk Yehezkiel 8:6-16). Umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Allah. Oleh itu, sedikit demi sedikit, kemuliaan Allah meninggalkan Tabut Perjanjian TUHAN (Yehezkiel 10:2), meninggalkan Tempat Yang Maha Suci (10:4), meninggalkan Bait TUHAN (10:18). Akhir sekali, kemuliaan Allah meninggalkan Yerusalem, meninggalkan Bukit Zaitun… dan dari sana… kembali ke syurga…

Sejak dari hari itu, Tempat Yang Maha Suci menjadi gelap. Kemuliaan sudah hilang! Ichabod! Cahaya sudah padam. Ruang menjadi kosong. Tiada kemuliaan. Tiada kekuasaan. Tiada Allah!

Beberapa tahun selepas itu, askar-askar Babilon menawan Yerusalem. Ramai pemimpin dan kerabat diraja ditawan dan dibawa ke Babilon. Bait TUHAN dimusnahkan. Semua harapan dan impian umat Israel hancur berkecai. Kemuliaan sudah hilang!

Umat Allah berdoa supaya kemuliaan-Nya datang, Dia berdiam. Selepas orang Israel kembali ke Yerusalem dari pembuangan, mereka membina semula Bait TUHAN. Mereka berdoa supaya kemuliaan Allah datang (Hagai 2:3), tetapi tidak ada rekod di dalam Alkitab yang kemuliaan Allah kembali semula. Selama empat abad umat Israel melakukan upacara agama di Bait TUHAN. Mereka tidak berhenti-henti berdoa. Mereka menyucikan diri. Mereka memberi korban. Tetapi Allah tidak berada disana. Tempat Yang Maha Suci masih gelap. Kemuliaan tidak kembali.

Satu-satunya harapan bagi orang Israel ialah apabila nabi Hagai bernubuat bahawa suatu hari nanti Allah akan memenuhi Bait-Nya dengan kemuliaan-Nya (2:7-9). Tetapi selepas hampir 400 tahun, nubuat itu masih lagi belum digenapi. Kemuliaan belum kembali.

Pernahkah kamu merasakan bahawa hadirat TUHAN itu seakan-akan ‘hilang’ dalam hidup kamu? Adakah kamu merasanya sekarang? Keadaan sekarang sudah tidak sama seperti dulu. Kamu cuba untuk meyakinkan diri kamu sendiri bahawa semuanya okey, sedangkan semuanya tidak okey. Semangat dan kepercayaan sudah tidak ada lagi. Kamu kosong dan cahaya sudah menjadi malap dan hampir gelap.

Jangan berputus asa! Apabila malam sangat gelap, ketahuilah bahawa matahari akan timbul kelak. TUHAN tidak akan membiarkan kamu sendirian, Dia akan menjawab doa kamu. Bagi kamu ia seperti sangat lama, tetapi ingat, Dia akan menjawab doa kamu sesuai dengan kehendak dan masa-Nya. Ingat, semua seperti tiada harapan bagi orang Israel sehinggalah malam yang gelap di kota Betlehem menjadi terang apabila para malaikat Tuhan muncul untuk mengumumkan bahawa kemuliaan-Nya sudah datang! Malaikat Tuhan dikelilingi dengan shekinah kemuliaan, kemuliaan Allah sendiri. Dia akhirnya sudah kembali!


Satu angkatan malaikat bernyanyi memuji Allah, “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya” (Lukas 2:14). TUHAN Allah telah sekali lagi datang kepada umat-Nya dan seluruh kota itu dipenuhi dengan kemuliaan-Nya. Kepada siapa Berita Baik ini diberi? Para gembala! Dimana? Di kota Betlehem! Kenapa? Kerana Sang Gembala, Anak Daud, telah datang untuk menuntut umat-Nya dengan kekuasaan dan kemuliaan-Nya. “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (Lukas 2:11).

Yesus ialah kemuliaan Allah! Dia ialah Allah dan kemuliaan-Nya yang menjelma menjadi manusia. Sekarang kemuliaan Allah tidak lagi hanya terhad di Bait TUHAN di Tempat Yang Maha Suci, tetapi ia dipancar secara umum melalui keperibadian Yesus Kristus. Semua orang dapat melihat Dia! Hanya melalui Yesus kamu dapat melihat kemuliaan Allah… Dia boleh menerangi hati kita dengan hadirat-Nya. Amen. Selamat hari Krismas!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]