“Sewaktu mereka di
sana, tibalah masanya untuk [Maria] bersalin. Dia melahirkan seorang anak
lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di
dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan”
(Lukas 2:6-7, AVB)
(Lukas 2:6-7, AVB)
Tangisan bayi telah memecah
kesunyian malam. Tangisan itu menandakan bahawa sejarah telah tercipta, sejarah
terpenting alam semesta telah tercipta.
Tangisan itu telah memecah kesunyian Allah.
Allah telah berhenti
berfirman kepada umat-Nya selama lebih kurang 400 tahun. Dia tidak lagi
mengungkapkan kata-kata sejak nabi-nabi-Nya sudah tiada. Umat-Nya berhenti mendengar, oleh itu, Allah berhenti berfirman. Selama
empat abad, tidak kira betapa hebat umat Israel berdoa, Tuhan tidak berkata
apa-apa. Dia berdiam.
Perjanjian Lama diakhiri
dengan keadaan yang kucar-kacir dan ketidaksetiaan umat Israel. Maleakhi, nabi
terakhir dalam Perjanjian Lama, menulis, “Sesungguhnya, Aku
akan mengutus kepadamu Nabi Elia… dia akan membuat hati bapa berbalik kepada
anak-anak mereka dan hati anak-anak kepada bapa mereka, supaya Aku tidak datang
dan mengazabkan bumi dengan kemusnahan yang mutlak” (4:6).
Sejak dari hari itu, berabad-abad
telah berlalu dan apa yang terjadi ialah kerajaan-kerajaan asing datang
memusnahkan dan mengambil kota-kota di Israel. Harapan untuk kedatangan Mesias
naik turun beberapa kali. Nabi Elia yang dikatakan akan datang mengusung Mesias
belum juga datang-datang – yang datang ialah askar-askar Roma. Kekejaman dan
kesengsaraan yang terjadi kepada orang Israel menghancurkan harapan mereka
untuk Raja yang baru, Raja seperti raja Daud. Sesungguhnya mereka telah
menerima azab Allah!
Namun begitu, ada dikalangan orang Israel yang
tidak pernah putus harapan. Mereka percaya bahawa Allah akan campur tangan. Pasti.
Lambat laun. Raja Israel yang ditunggu-tunggu akan datang juga! Allah akan
datang dan berfirman semula dengan umat-Nya.
Tetapi tangisan bayi yang
kedengaran? Selama empat ratus tahun TUHAN Allah telah berdiam dan tiba-tiba
bersuara semula dengan tangisan bayi yang baru lahir? Hanya Tuhan sahaja yang
boleh merencanakan sesuatu seperti ini!
Kota Betlehem dipenuhi
dengan ramai pelawat. Tiada rumah tumpangan untuk Yusuf dan Maria tinggal. Kemungkinan
mereka diberikan tempat seperti kandang haiwan peliharaan, di sebuah gua yang
agak gelap, dan yang berkemungkinan tiada penghuni selain daripada
haiwan-haiwan ternakan. Jika ini ialah gambaran yang hampir tepat dengan
keadaan mereka yang sebenar, maka, gambaran ini sangat luar biasa. Bayi Mesias diletakkan
di dalam sebuah palung? Dibaringkan di jerami? Dikelilingi haiwan ladang? Siapa
yang sanggup merancang kelahiran seperti ini???
TUHAN Allah!
Pencipta alam semesta,
Allah Maha Besar, mengutus Anak-Nya ke dunia dalam keadaan yang sangat diluar
jangkaan. Keadaan pada malam itu sudah cukup untuk menunjukkan kasih kurnia
Allah kita. Raja segala raja dilahirkan di tempat yang sangat rendah. Malah
hamba abdi dilahirkan dengan keadaan yang lebih bermaruah daripada ini – tetapi
Allah memilih untuk mengutus Anak-Nya dengan cara begini supaya semua orang
boleh melihat kasih kurnia-Nya. Alkitab berkata, “Kamu tahu tentang kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus. Dia kaya,
tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui
kemiskinan-Nya kamu menjadi kaya” (2 Korintus 8:9).
Kelahiran
Yesus memecah kesunyian Allah. Di
kota Betlehem yang kecil, Raja Orang Israel dilahirkan. Berketurunan raja Daud,
dilahirkan di Kota Daud – tetapi dilahirkan di bangsal. Tiada yang lebih diluar
jangkaan seperti ini. Allah telah mengutus Anak-Nya untuk datang ke dunia untuk
menunjukkan kepada semua orang tentang Siapa Dia tidak kira status, keadaan
atau kedudukan seseorang itu. Tangisan bayi itu merupakan titik sejarah kepada
seluruh dunia. Sejarah telah berubah ketika suara Allah kedengaran.
Allah sudah kembali!
Harapan untuk Mesias sudah
dikembalikan semula. Cahaya sudah bersinar dalam kegelapan dunia. Wahyu dari
Allah sudah kedengaran melalui tangisan-Nya. Jalan, Kebenaran dan Hidup telah
datang untuk memberikan harapan dan keselamatan kepada manusia. Bayi yang
memecah kesunyian Allah dengan tangisan-Nya pada malam itu akan menjadi
Penyelamat Dunia. Dia akan menjadi Imam Agung yang akan “berdoa dan merayu dengan ratap tangis” (Ibrani 5:7)
kepada Bapa untuk kita. Bayi yang menangis itu akan menjadi Penyelamat yang
akan meratap bagi pihak kita!
Yesus menangis untuk kamu.
Fikirkan! Disaat kamu menangis, Dia tahu. Ketika jiwa kamu menyeru nama-Nya,
Dia memahami. Bila kamu terluka, Dia juga merasa. Dia mahu menyembuhkan hati
kamu yang hancur dengan kasih dan belas kasihan (jika kamu percaya dan
membiarkan-Nya). Tangisan Anak Allah menunjukkan bahawa Bapa mengasihi kamu!
Dia mengasihi kita!
Yesus Kristus datang untuk
menanggung dosa kita dan ingin membawa kita tinggal di dalam-Nya. Dia akan
membawa kita kepada Bapa yang disyurga. Suatu hari nanti, Dia yang menangis untuk kita, dan Dia yang sekarang menangis
bersama kita, akan berhenti menangis.
Begitu juga dengan kita! Wahyu 21:4 berjanji, “Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka. Tiadalah lagi
kematian, kesedihkan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang
lama telah lenyap.” Amin.
Allah telah berfirman. Adakah kamu mendengar?
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment