Monday, December 19, 2016

7 Hari Pra-Krismas Mesej #1 Tiada Kasih yang Seperti Engkau


[Apabila] Kristus datang ke dunia, Dia berkata, ‘Korban dan persembahan tidak kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku telah datang… untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah
(Ibrani 10:5,7,
AVB)

Pernah kamu berfikir apakah yang sebenarnya terjadi pada malam sebelum Krismas yang pertama? Sebelum para gembala datang? Sebelum ahli ilmu bintang atau para pelawat dari Timur datang? Malah sebelum Maria melahirkan anaknya yang pertama?

Alkitab memberikan bayangan kepada kita tentang apa yang mungkin terjadi di Syurga pada malam sebelum Krismas. Teks firman yang saya akan guna bukan dari Kitab Injil tetapi dari Surat kepada Orang Ibrani. Melalui surat ini, penulis menceritakan tentang apa yang bermain di dalam fikiran Kristus ketika Dia menyiapkan diri-Nya untuk datang ke dunia. Dengan memetik Mazmur 40:6-8 sebagai firman Kristus, Alkitab menerangkan dengan jelas bahawa “[Apabila] Kristus datang ke dunia, Dia berkata, ‘…Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku telah datang… untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah’”

Sistem Korban dalam Perjanjian Lama sudah tidak berfungsi lagi untuk menggenapi kehendak Allah. Ia tidak pernah dianggap sebagai sistem yang kekal selama-lamanya. Dari mula ia diperkenalkan, ia berfungsi untuk menunjukkan kepada kita kepada Korban yang terakhir dan selamanya. Malah pada malam Paskah yang pertama (Keluaran 12), darah anak domba melambangkan pengorbanan yang akan datang. Selepas anak domba disembelih, darahnya akan dikumpul di dalam baldi yang kemudiannya dibawa ke rumah. Darah itu kemudiannya disapukan pada kedua-dua tiang pintu dan pada ambang pintu rumah. Dalam proses tersebut, mereka seolah-olah membuat lambang salib Kristus!

Semua ini melambangkan tentang apa yang akan terjadi apabila Kristus datang ke dunia. Saya membayangkan ada dikalangan malaikat di Syurga yang mungkin bertanya, “Adakah Dia benar-benar akan pergi ke sana?” “Mereka tidak layak bagi Dia,” ada yang mungkin berkata. “Mereka jatuh ke dalam dosa apabila Iblis mencubai mereka, mereka tidak layak untuk diselamatkan!”

Alkitab berkata penyelamatan dan kasih kurnia Allah kepada manusia sangat luar biasa sehinggakan “para malaikat juga ingin mengerti perkara itu” (1 Petrus 1:12). Bagi saya, mereka mesti sangat hairan dengan tindakkan Kristus yang sengaja memilih untuk “dijadikan rendah sedikit daripada malaikat” (Ibrani 2:9). Saya tidak dapat membayangkan tindakkan yang sangat radikal seperti ini!

Rendah sedikit daripada kita?” para malaikat mungkin berfikir, “Kenapa Dia sanggup melakukan perkara seperti itu?

Dia ialah Anak Allah yang duduk bertakhta di Syurga. Alkitab berkata, “[Anak Allah] adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya… Dia duduk disebelah kanan yang Maha Mulia yang bertakhta di Syurga” (Ibrani 1:3). Kenapa Dia sanggup meninggalkan tempat kemuliaan-Nya? Kenapa Dia sanggup melepaskan kedudukan dan kekuasaan-Nya? Kenapa Dia sanggup mengambil risiko untuk menjelma menjadi manusia? Kenapa Dia sangat mengambil berat tentang Krismas?

Jawapan yang ringkas ialah… Dia melakukannya demi kita! Kita tidak layak bagi Dia dan saya tidak berani untuk memberikan penjelasan yang lebih dari itu. Satu-satunya penjelasan yang saya berani katakan disini ialah – kasih kurnia-Nya.

Sebelum kelahiran Yesus, Allah Bapa pernah berkata, “Engkau Anak-Ku… mintalah daripada-Ku, Aku akan menjadikan segala bangsa warisan-Mu, dan setiap pelosok bumi milik-Mu” (Mazmur 2:7-8). Penulis Surat Ibrani menerangkannya begini: Melalui Yesus, Allah “dapat membawa banyak orang ikut menikmati kemuliaan-Nya” (Ibrani 2:10, BM).

Ya, buat seketika Yesus dijadikan rendah sedikit daripada malaikat apabila Dia menjelma menjadi manusia. Tetapi akhirnya, Dia “dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan… supaya dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia” (Ibrani 2:9).

Satu-satunya penjelasan yang diberikan oleh Alkitab tentang Krismas ialah Dia melakukan semuanya demi kita. Dia ialah pemberian Allah kepada seluruh manusia di dunia ini. Dia datang, menderita dan mati kerana dosa kita. Dia datang untuk menanggung hukuman yang sepatutnya dilakukan kepada kita. Dia memberikan diri-Nya supaya kita boleh dibebaskan. Inilah Penyelamat Dunia!

Samada para malaikat benar-benar terkejut dengan Krismas atau tidak, saya hanya boleh membayangkannya. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat, mereka tidak sabar-sabar untuk mengumumkan Berita Baik itu. Perkhabaran mereka ialah perkhabaran yang membawa sukacita, bukan perkhabaran penghakiman. Ia merupakan perkhabaran sukacita Syurga!

Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat,” kata malaikat kepada para gembala. “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (baca Lukas 2:10-11). Dia tidak lahir untuk diri-Nya sendiri. Dia lahir untuk orang lain. Dia lahir supaya kita boleh menikmati kemuliaan-Nya.

Dia Allah yang Maha Esa, lebih tinggi daripada malaikat, kemudian menjadi rendah sedikit daripada malaikat, supaya kita yang lebih rendah daripada malaikat boleh menjadi tinggi sedikit daripada malaikat. Melalui Kristus kita menjadi lebih tinggi daripada malaikat! Bagi Allah kita sangat berharga dan oleh kerana kasih kurnia-Nya kita dilayakan untuk kemuliaan-Nya. Dia sudah melakukan sesuatu yang indah kepada kita yang kita sendiri tidak mampu melakukanya. Dia menjadikan kita anak-anak-Nya, mengangkat kita masuk ke dalam keluarga Allah.

Tiada siapa yang pernah mengasihi kamu seperti mana Yesus mengasihi kamu sekarang! Dia menyatakan kasih-Nya kepada kamu sebelum Dia meninggalkan Syurga untuk pergi ke dunia. Dia datang untuk membebaskan kamu. Membawa kamu kepada diri-Nya… supaya kamu boleh melihat Allah.

Siapa yang tidak mahu kasih seperti ini? Datanglah kepada Yesus dengan iman. “Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus” (Galatia 3:26). Selamat Hari Krismas!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]