“[Pada] masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada
Allah, ‘Engkau tidak menghendaki korban
dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku datang
untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat
tentang diri-Ku’”
(Ibrani 10:5,7, BM).
(Ibrani 10:5,7, BM).
Pernahkah kamu
membayangkan apa sebenarnya yang terjadi pada malam sebelum hari Krismas yang pertama? Sebelum para gembala muncul?
Sebelum ahli-ahli kaji bintang datang? Malah sebelum Yusuf dan Maria datang ke
Betlehem? Alkitab telah memberikan kita jawapan tentang apa yang terjadi
sebelum hari Krismas yang pertama. Bukan dalam Injil-Injil atau Kitab-kitab
Berita Baik, tetapi dalam Surat kepada
Orang Ibrani. Di dalam surat ini, penulis menceritakan kepada kita tentang
apa yang bermain di dalam fikiran Kristus sebelum Dia datang ke dunia. Dengan memetik
Mazmur 40:6-8 sebagai Firman Kristus, Alkitab mengatakan bahawa ““[Pada] masa
Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, ‘…Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku
datang untuk melakukan kehendak-Mu.’”
Sistem Persembahan Korban
(Imamat 17) dalam Perjanjian Lama sudah tidak mendapat perhatian Allah lagi.
Ianya diadakan bukan untuk selamanya tetapi untuk sementara. Sejak permulaan,
ia bertujuan untuk menunjukkan kepada kita tentang Korban yang terakhir dan
yang benar. Pada malam pertama Perayaan Paska (Keluaran 12), darah anak domba sebenarnya
ialah petunjuk kepada korban Anak Domba yang terutama yang akan datang. Selepas
anak domba itu disembelih, darahnya akan disimpan di dalam bekas untuk dibawa
ke rumah masing-masing. Orang-orang Israel disuruh untuk mengambil sedikit
darah anak domba dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada
ambang pintu rumah mereka. Melalui proses ini, mereka sebenarnya melakukan simbol
tanda salib! Dengan ini, mereka selamat daripada hukuman Allah.
Ianya merupakan suatu
petunjuk tentang apa yang akan Kristus lakukan apabila Dia datang ke dunia
nanti.
Saya hanya boleh
membayangkan pendapat malaikat-malaikat di syurga tentang semua hal ini. Mereka
mungkin bertanya antara satu sama lain, “Adakah
Dia benar-benar akan melakukannya [datang ke dunia dan mati di kayu salib]?”
“Mereka [manusia] tidak layak untuk semua
ini,” respon malaikat yang lain. “Syukur
kita tidak jatuh bersama dengan malaikat-malaikat yang lain yang mengikut
dusta-dusta Iblis,” ada malaikat mencela. “Mereka [manusia] sangat tidak layak! Mereka mudah jatuh dan senang
ditipu oleh Iblis!” Benar. Tetapi apa yang pasti, Alkitab mengatakan
bahawa: “Penyelamatan [yang
dilakukan oleh Kristus]… [menyebabkan] malaikat-malaikat pun ingin memahami
semua perkara itu” (1 Petrus 1:10,12). Kita boleh menyangka
kehairanan mereka apabila Kristus secara sukarela “dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat”
(Ibrani 2:9). “Lebih rendah daripada kita?”
tanya para malaikat. “Kenapa Dia sanggup
berbuat begitu?”
Inilah keputusan Kristus yang
diluar jangkaan semua makhluk di seluruh alam semesta!
Kristus ialah Anak Allah,
Dia duduk di takhta syurga. Alkitab mengatakan bahawa: “Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan
Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang
berkuasa… Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi”
(Ibrani 1:3). Kenapa Dia sanggup meninggalkan semua itu? Kenapa Dia sanggup turun
dari tempat yang termulia? Kenapa Dia ingin menjelma menjadi manusia? Kenapa
Dia sangat peduli tentang Krismas?
Jawapan yang termudah
sekali ialah… Dia melakukan semuanya
untuk kemuliaan Bapa dan bagi kita! Kita tidak layak untuk menerima semua ini.
Kita pendosa. Tiada penjelasan yang secukupnya yang boleh menjelaskan tentang
kebenaran ini. Hanya – kasih kurnia-Nya
– merupakan penjelasan yang paling tepat sekali. Beratus-ratus tahun
sebelum kelahiran-Nya, Allah Bapa berkata: “Engkaulah anak-Ku;
pada hari ini Aku menjadi Bapamu. Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi
kepadamu” (Mazmur 2:7-8). Penulis surat Ibrani menerangkan bahawa melalui
Kristus “Allah dapat membawa banyak
orang ikut menikmati kemuliaan-Nya” (Ibrani 2:10).
Benar, untuk sementara
waktu Yesus dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat apabila Dia
menjelma menjadi manusia “supaya dengan rahmat
Allah, Dia dapat mati untuk semua orang.” Tetapi untuk selamanya “Dia dikurniai kemuliaan dan kehormatan” (Ibrani 2:9). Alkitab
menjelaskan bahawa tujuan Hari Krismas ialah untuk mengingatkan kita bahawa –
Dia melakukan semuanya untuk kita. Dia ialah Pemberian Allah kepada kita semua.
Dia datang untuk menderita dan mati bagi dosa kita. Dia menerima segala hukuman
yang kita patut tanggung. Dia memberikan diri-Nya sendiri supaya kita
dibebaskan oleh hukuman dan cengkaman dosa. Inilah Penyelamat Dunia!
Samada para malaikat
terkejut dengan Hari Krismas, kita tidak tahu. Saya tidak pasti. Tetapi,
sejurus selepas keputusan telah dibuat, mereka tidak sabar-sabar untuk memberitakan
Berita Baik itu. Mereka memberitakan tentang Berita yang membawa sukacita
kepada kita semua. Seluruh syurga penuh dengan sukacita! “Jangan takut!” kata malaikat kepada para gembala, “Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan
menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat
kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10-11). Dia lahir untuk menyelamatkan
kita. Dia datang untuk membawa kita kepada kemuliaan-Nya.
Dia Kristus, Sang
Pencipta, lebih tinggi daripada malaikat, dijadikan sedikit lebih rendah
daripada malaikat, supaya kita yang lebih rendah daripada malaikat menjadi
lebih tinggi daripada malaikat. Melalui Kristus, kita diangkat lebih tinggi
daripada yang selayaknya. Lebih tinggi daripada malaikat! Kita berharga
dimata-Nya, dipeduli oleh belas kasihan-Nya, dan diangkat oleh kasih
kurnia-Nya. Dia melakukan perkara yang kita tidak mampu lakukan. Dia menjadikan
kita anak-anak Allah, diangkat menjadi keluarga Tuhan.
Tiada sesiapa yang
benar-benar mengasihi kamu seperti Yesus mengasihi kamu! Dia mengasihi kamu
sebelum Dia meninggalkan syurga untuk datang ke dunia. Dia datang untuk
membebaskan kamu. Untuk mengambil kamu menjadi milik-Nya semula… supaya kamu
boleh melihat wajah Allah. Siapa yang tidak mahu kasih seperti ini? Datang
kepada-Nya melalui iman yang hidup. Bersukacita, berterima kasih dan dengan
hati yang penuh syukur. Memuji dan menyembah Dia. Jika kamu boleh mempercayakan
masa depan kamu kepada-Nya, kamu boleh mempercayakan Dia dengan hidup kamu
sekarang. Biarlah Hari Krismas tahun ini menjadi tahun kamu menerima dan
mengenal Yesus Kristus, Juruselamat dan Tuhan kita! Amin.
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment