Saturday, May 9, 2015

Yesus yang Pertama dan yang Terakhir

Gambar Ilustrasi Yesus
Yesus berkata, “Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan” (Wahyu 22:13, BM).

Tidak ada dakwaan tentang kekuasaan yang lebih tinggi daripada ini. Bagi mereka yang hanya menganggap firman atau kata-kata Yesus sebagai cadangan yang baik, nasihat indah dari guru rohani, nabi yang membawa berkat, seorang yang menunjukkan cara hidup bermoral dan bahagia, harus membaca ayat ini sekali lagi – Yesus ialah yang pertama (the Alpha) dan yang terakhir (the Omega). Bagi mereka yang masih tidak percaya bahawa Yesus ialah Tuhan yang menjelma menjadi manusia harus membaca ayat ini semula dan ayat dalam Wahyu 1:8 dan 21:6 dimana Allah Bapa sendiri mengatakan bahawa Dia ialah yang pertama dan yang terakhir. Hakikatnya, tidak mungkin ada dua yang pertama (Alphas) dan dua yang terakhir (Omegas), dua yang awal dan dua yang penghujung, dua permulaan dan dua penghabisan – hanya ada satu TUHAN – Allah Bapa dan Allah Anak satu (Yohanes 10:30).

Apabila kebenaran ini menjadi iman, pegangan dan kepercayaan kita, pengertian tentang pemuridan (atau menjadi pengikut Yesus) menjadi lebih jelas dan serius. Membaca Firman Allah (atau Alkitab) tidak lagi menjadi sesuatu yang kita lakukan secara sambil lewa tetapi kita sekarang sedar bahawa setiap firman yang datang dari Yesus bukan hanya kata-kata seorang guru yang agung tetapi firman Tuhan sendiri. Tidak ada yang lebih benar dan lengkap di dunia ini – tidak ada nubuat-nubuat, tidak ada hikmat atau kebijaksanaan, tidak ada kata-kata agung dari guru-guru agama – yang dapat menandingi perintah dan ajaran yang datang dari mulut Tuhan yang hidup. Malah tidak ada kata-kata yang layak diambil serius selain daripada Firman Tuhan sendiri. Firman-Nya ialah sumber hidup kita.

Tanya diri kamu sendiri: Adakah saya membaca atau mendengar Firman Yesus secara sambil lewa? Atau, adakah saya membaca dan mendengar Firman-Nya dengan penuh perhatian seperti nyawa saya bergantung kepada-Nya? Adakah Firman Yesus seperti minyak wangi – indah dan harum tetapi tidak tahan lama? Atau, adakah Firman-Nya seperti oksigen – yang menentukan hidup mati saya? Kebenaran bahawa Yesus ialah yang pertama (the Alpha) dan yang terakhir (the Omega) dan Firman-Nya ialah Firman TUHAN sendiri adalah kebenaran yang sudah ada sejak dari mula kejadian lagi dan ia ialah kebenaran yang akan kekal selama-lamanya. Percaya dan terus mengikuti Yesus.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]