“Setiap
hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang,
mereka tidak berhenti-henti
mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik
bahawa Yesus itulah Penyelamat yang
diutus oleh Allah”
(Kisah Rasul-Rasul 5:42, BM)
Sungguh indah perbuatan mereka! “Mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik”
kepada orang yang belum mengenal Yesus. Ini ialah panggilan bukan sahaja kepada
pemimpin-pemimpin gereja, tetapi kepada semua orang Kristian yang benar-benar
telah menerima Keselamatan daripada dosa dan hukum dosa melalui Yesus Kristus,
Tuhan dan Juruselamat kita.
Apabila Kristus dan kasih Kristus
tinggal di dalam hidup kita, Dia akan mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita
supaya kita boleh mengongsikan kasih itu kepada orang lain. Dengan cara ini,
Kerajaan Allah diperluaskan lagi. Setiap orang yang memiliki kasih Kristus
pasti akan berkobar-kobar untuk mengkhabarkan Berita Baik itu.
Inilah yang berlaku kepada Gereja Kristian yang pertama apabila Yesus
diangkat ke syurga dan Roh Kudus datang memenuhi mereka. Selepas kejadian pada
hari Pentakosta (Kisah Rasul-Rasul bab 2), semua orang pergi dan menyebarkan
Berita Baik tentang kasih Kristus yang mereka telah alami sendiri secara
peribadi. Ada seorang penulis bukan Kristian pada lingkungan zaman itu menulis
bahawa agama Kristian tersebar dengan sangat cepat sekali kerana setiap mereka
yang baru menerima Kristus akan pergi menyebarkan Berita Baik itu kepada orang
lain kerana mereka dipenuhi dengan kasih Kristus.
Tetapi ini tidak berlaku kepada gereja kita sekarang! Ramai orang (yang
mengaku) Kristian tidak peduli untuk memenangkan jiwa kepada Kristus. Kasih
mereka sangat lemah dan mudah berubah menyebabkan mereka tidak ada keinginan
untuk menolong orang lain. Wahai orang Kristian, semoga masa bagi kita untuk
bangun dan bangkit daripada ‘ketiduran rohani’ akan datang sekarang juga!
Semoga kita berkobar-kobar untuk ““mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik”
tentang Yesus dan kasih-Nya semula.
Jangan hanya membaca tulisan ini untuk menambahkan ilmu pengetahuan
semata-mata. Baca dan lakukan sesuatu. Biar setiap kita menilai diri
masing-masing, berdoa kepada Tuhan Yesus, berfikir bukan sahaja tentang
Keselamatan diri sendiri malah orang lain juga, setelah mengalami sendiri kasih
Kristus, ingin supaya jiwa-jiwa yang hilang akan menemui Kristus dan kasih-Nya.
Saya percaya barang siapa yang melakukan perkara ini akan beroleh kebahagiaan
yang sebenar dan sukacita dalam membawa orang lain mengenal Yesus Kristus Tuhan
kita. Berdoalah dan biarlah Roh Kudus yang memimpin kamu dan saya. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment