Friday, December 13, 2013

Cabaran untuk Misi: Pergilah! Roh Kudus Menyertai Kamu


Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia
dan jadikanlah mereka pengikut-Ku” (Matius 28:19, BM)

Kerajaan Allah terdiri daripada pelbagai latarbelakang manusia di seluruh dunia. “Lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa” (Wahyu 7:9). Orang bukan Yahudi – seperti kita orang kristian di Malaysia dan diseluruh dunia – juga dipanggil oleh TUHAN ke dalam Kerajaan-Nya. Wow! Ia bermula sejak dari Kisah Rasul-Rasul 15:14: “Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya.

Oleh sebab itu, kenapa kita harus berdiam diri tentang Kerajaan Allah? Kenapa kita tidak memberitakan tentang Raja Yesus Kristus kepada orang lain yang belum mengenal Dia dan belum menerima Dia sebagai Tuhan and Juruselamat mereka? Bagi Rasul Paulus, ini ialah misi dia: “mengkhabarkan Berita Baik di negeri-negeri lain” (2 Korintus 10:16).

Yesus sendiri semasa di dunia juga mempunyai misi yang sama. “Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, ‘Semua orang sedang mencari Guru.’ Tetapi Yesus menjawab, ‘Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang” (Markus 1:37-38, BM). Jika kamu beranggapan bahawa saya hanya memetik Alkitab di-sana-sini untuk mempertahankan idea saya sendiri tentang penginjilan-misi, baca juga Firman ini: Yesus berkata, “Berita Baik tentang Kerajaan Allah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu” (Lukas 4:43). Dan sebelum Yesus diangkat ke Syurga, Dia berkata, “[Kamu] akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Judea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi” (Kisah Rasul-Rasul 1:8).

Jelas sekali bahawa TUHAN mengingini (malah mengutus!) supaya kita yang sudah menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat pergi memberitakan Berita Baik keseluruh dunia. Bukan untuk meng-kristian-kan semua orang, tetapi untuk memberitakan kepada mereka tentang keperibadian TUHAN dan pekerjaan Kristus di kayu salib. Bukan untuk mengongkong mereka dengan peraturan-peraturan agama, tetapi untuk melepaskan mereka daripada belenggu dosa “serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya” (baca Lukas 4:18-19). Bukan untuk membunuh orang bukan Kristian dengan nama ‘Yesus’, tetapi untuk memberi kehidupan yang kekal dengan nama ‘Yesus’! [Mungkin ada dikalangan kita akan dianiaya dan dibunuh kerana nama Yesus. Berbahagialah!].

Hai orang-orang Kristian yang sejati, anak-anak yang dikasihi TUHAN, apa yang sedang kamu lakukan sekarang? Apa yang telah kamu lakukan? Kamu yang ingin menjadi seperti Yesus – adakah mata kamu melihat keperluan rohani orang lain seperti Dia? Adakah hati kamu hancur dan berbelas-kasihan terhadap orang yang belum menerima penyelamatan seperti Dia? Adakah pemikiran kamu dipenuhi dengan Amanat Agung yang diamanatkan-Nya kepada kita? Pernahkah kamu berdoa untuk bangsa-bangsa? Berpuasa untuk keselamatan orang lain? Bilakah kali terakhir kamu memberi atau terlintas di dalam fikiran kamu untuk menggunakan wang, masa dan tenaga kamu untuk memberitakan Kerajaan Allah? Selain membaca Alkitab (jika ada), adakah kamu juga membaca buku-buku tentang penginjilan, misi dan kesaksian ATAU kamu hanya membaca buku-buku tentang kebahagiaan, kekayaan, kesihatan dan berkat untuk diri sendiri sahaja? Semoga TUHAN berbelas-kasihan kepada kamu! Bangun dan “pergilah”! Semoga Roh Kudus meyertai kamu.

Ini misi Allah Bapa kepada Yesus Kritus:
Allah mengutus Anak-Nya ke dunia... untuk menyelamatkannya” (Yohanes 3:17)

Ini misi Yesus Kristus kepada kita:
Sama seperti Bapa mengutus Aku,
demikian juga sekarang Aku mengutus kamu” (Yohanes 20:21)

Dengan penyertaan dan kuasa Roh Kudus, ini misi kita:
Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia
dan jadikanlah mereka pengikut-Ku” (Matius 28:19)
PERGILAH! THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]