Thursday, December 12, 2013

Cabaran untuk Misi: Berdoalah kepada Bapa untuk Menghantar Penuai


Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian” (Matius 9:37-38, BM).

Secara manusiawi, pelayanan misi merupakan suatu panggilan TUHAN yang mustahil untuk dilakukan. Ada lebih ramai lagi orang yang belum mengenal Tuhan Yesus secara peribadi sekarang berbanding dengan 50 tahun dahulu (tahun Jubli bagi Malaysia) walaupun banyak usaha telah dilakukan. Apakah penyelesaian bagi masalah ini? “Duit!” jawab seseorang. “Marilah kita mengumpul duit sebanyak yang boleh bagi tujuan penginjilan di seluruh Malaysia dan dunia.” “Pekerja!” jawab seorang lagi. “Jika kita ada pekerja yang cukup, kita boleh menggenapi Amanat Agung untuk generasi sekarang.” Tidak, saudara-saudariku di dalam Kristus, ini bukan caranya TUHAN bekerja. Walau betapa pentingnya duit atau pekerja itu, ia tidak mampu untuk melakukan panggilan-Nya.

Baca Firman ini sekali lagi: “Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit”. Inilah masalah sebenar yang kita perlu tahu – pekerjaan yang sangat besar tetapi bilangan pekerja yang tidak mencukupi. Sungguh sedih, kan? Jangan bimbang, kita masih ada harapan. Firman Tuhan Yesus tidak terhenti di situ. Puji TUHAN, Dia ada penyelesaian bagi masalah ini. Dia berfirman lagi: “Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian”. Berdoalah!

Kita sebenarnya sudah ada ramai penuai atau pekerja (ini termasuk saya dan kamu juga), tetapi ‘pekerja’ yang ada sekarang kebanyakkannya pemalas, tidak taat kepada perintah Amanat Agung dan kemungkinan besar juga tidak mengenal Tuhan Yesus secara peribadi. Mereka tidak tahu apakah misi mereka sebenarnya dan isi hati TUHAN terhadap orang yang belum mengenal-Nya. Mereka belajar banyak tentang teologi Kristian & doktrin Alkitab dan penuh dengan idea untuk melakukan aktiviti-aktiviti sosial atau kebajikan tetapi langsung tidak peduli akan keperluan rohani orang yang belum mengenal Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka. Sebab itulah, walaupun kelihatan seperti ramai pekerja, sebenarnya “penuai hanya sedikit”.

Oleh itu, “Berdoalah kepada [TUHAN] supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian”! Kita perlu berdoa supaya pekerja sebenar, yang komited, yang benar-benar mengasihi Tuhan Yesus, yang dipenuhi oleh Roh Kudus, yang terbeban dengan isi hati Bapa yang disyurga – akan bangkit dan bekerja diladang TUHAN. Merekalah (saya berharap kamu termasuk di dalam golongan ini) yang akan diberkati dan memberkati beribu-ribu, berjuta-juta orang lain! Kita ada jalan penyelesaiannya: berdoa. Berdoalah kepada TUHAN, Dia pasti akan menghantar pekerja yang sebenar. Ini ialah rahsia pelayanan misi yang mesti kita lakukan – “BERDOALAH!”.

Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia
dan jadikanlah mereka pengikut-Ku
(Yesus Kristus, Matius 28:19, BM)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]