Showing posts with label Nabi Yeremia. Show all posts
Showing posts with label Nabi Yeremia. Show all posts

Sunday, August 20, 2017

Yeremia dan Pengharapan: "Semuanya Baru Setiap Pagi" (Ratapan 3:19-27)


Ingatlah kesengsaraanku dan pengembaraanku,
pahit getir dan racun itu.
Aku terus mengingatinya
dan jiwaku tertekan dalam diriku.
Tetapi inilah yang kuperhatikan,
lantas kuperoleh harapan:
Kerana kasih setia Tuhan tidak pernah lenyap,
belas kasihan-Nya tiada akan pudar.
Semuanya baru setiap pagi.
Besarnya kesetiaan-Mu!
‘Tuhan ialah Pusakaku,’ kata jiwaku,
‘sebab itu aku berharap kepada-Nya.’
Tuhan itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia,
bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya.
Baik jika seseorang menanti dengan tenang akan penyelamatan daripada Tuhan.
Baik jika seorang lelaki menanggung beban kuknya pada masa mudanya
(Ratapan 3:19-27,
AVB)

Nabi Yeremia, penulis (atau pemilik karya) Kitab Ratapan, diberi gelaran Nabi Yang Meratap oleh orang Yahudi. Bila saya membaca kisah tentang dia, kadang-kadang saya berasa kasihan dan bersimpati terhadap apa yang dilaluinya. Dia bernubuat tentang kejatuhan Yerusalem, dan kemudian dia meratap dan menangis bila ia benar-benar terjadi.

Namun begitu, bagi saya Yeremia bukanlah seorang yang pesimis. Disebalik tragedi yang menimpa umat TUHAN, Allah telah mempercayakan Yeremia untuk menulis isi hati TUHAN di dalam Kitab-Nya: Harapan yang Teragung di dalam Perjanjian Lama. Kerana apa yang terjadi kepada Israel, hati Yeremia sendiri hancur dan semangatnya lemah, tetapi dia tahu bahawa “kasih setia Tuhan tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tiada akan pudar. Semuanya baru setiap pagi.” Harapan ditengah-tengah tragedi.

Bila Yeremia bangun setiap pagi, Yerusalem masih lagi reruntuhan. Tapi dia tahu bahawa Allah itu baik – Dia tetap setia. Ada ketika bila impian untuk Israel kembali semula hampir tiada, seperti tidak akan kembali lagi, Yeremia bernubuat bahawa mereka yang dalam pembuangan di Babel akan kembali semula selepas 70 tahun (Yeremiah 29:10). Melalui Kitab Ezra dan Nehemia kita tahu bahawa nubuat TUHAN telah digenapi… umat Israel telah kembali semula.

Yeremia merupakan nabi yang benar dan tidak dinafikan seorang nabi yang meratap. Dia berhati lembut tetapi luaran dia begitu tegas. Dia dikuatkan oleh TUHAN tetapi dia juga pernah mempersoalkan rancangan Allah. Kata-katanya boleh dikatakan sangat keras dan tragik kerana dia bernubuat bagi Allah yang ingin memanggil umat Israel yang keras hati untuk kembali semula kepada-Nya. Tetapi kerana Allah itu suci, adil dan juga kasih, Yeremia bukan hanya menyampaikan mesej penghakiman dan pertaubatan, dia juga – diakhirnya – menyampaikan mesej yang penuh dengan pengampunan dan pengharapan.

Baca dan hayatilah kebenaran tentang Pengharapan ini:
Kasih setia Tuhan tidak pernah lenyap,
belas kasihan-Nya tiada akan pudar.
Semuanya baru setiap pagi.
Besarnya kesetiaan-Mu!
Kawan, adakah Dia pengharapanmu?
Jika ia, maka jiwa kita akan berkata, “Tuhan ialah Pusakaku”
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Tuesday, August 15, 2017

Allah Tetap Mengasihi Walaupun Umat-Nya "Seorang Balu" dan "Isteri yang Berzina" (Ratapan 1:1-3)


Betapa sunyinya kota itu, yang dahulu ramai penduduknya! Kini kota itu bagaikan seorang balu, padahal dahulu besar dalam kalangan bangsa! Ratu antara wilayah itu kini menjadi buruh paksa! Sedu-sedan tangisannya pada malam hari, air matanya meleleh di pipi. Di antara semua kekasihnya, tiada seorang pun yang menghibur dirinya. Semua sahabatnya mengkhianatinya, mereka kini menjadi musuhnya. Yehuda kini dalam pembuangan kerana kesusahan dan perhambaan yang berat…
(Ratapan 1:1-3,
AVB)

Yerusalem merupakan Kota Suci, Kota Daud. Ia ialah tempat dimana Rumah TUHAN dibina. Allah pernah berkata, “Nama-Ku akan tinggal di sana” (baca 2 Raja-Raja 23:27). Sekarang kota Yerusalem rosak teruk, runtuh dan mundur kerana ia merupakan tempat umat Allah melakukan kekejian dan menyembah pelbagai berhala. Ini merupakan tempat dimana segala kemurahan dan kebaikan Allah ditolak dan Firman-Nya dilupakan – malah mereka meninggalkan Allah Israel.

 Disini nabi Yeremia menggambarkan Yerusalem sebagai “seorang balu.” Personaliti yang diberikan kepada kota ini menunjukkan bahawa apa yang terjadi kepada Yerusalem bukan kerana kota itu sendiri, tetapi kerana umat yang tinggal di dalam kota itu. Dan ianya bukan hanya terjadi kepada umat Yerusalem, tetapi disebabkan oleh umat itu sendiri. Kelakuan dan perbuatan mereka menjadikan mereka seperti “seorang balu” yang ditinggalkan suaminya – iaitu, Allah Israel.

Hati Bapa hancur bila Yerusalem dimusnahkan. Allah menyeru untuk mereka kembali, tetapi mereka tidak mengendahkan-Nya; Allah mahu mereka balik, tetapi mereka terus-menerus berbuat dosa; Allah ingin mengampuni tetapi mereka tidak mahu bertaubat. “Balu” yang kehilangan suami; “Balu” yang menangis sendirian; “Balu” yang mulanya ratu kini menjadi hamba. Salah siapa? Umat-Nya sendiri…

Namun, Allah sungguh-sungguh mengasihi umat-Nya. “Pada waktu itu [bila Israel kembali] engkau akan memanggil Aku, ‘Suamiku’…” (Hosea 2:16). Bila Allah menyuruh nabi Hosea berkahwin semula dengan isterinya yang curang, ia sebenarnya menggambarkan kasih Allah yang setia: “Pergilah, tunjukkanlah cintamu kepada seorang perempuan yang berzina dan juga dicintai lelaki lain sama seperti TUHAN mencintai orang Israel sungguhpun mereka berpaling kepada tuhan-tuhan lain…” (Hosea 3:1). Wahai kamu yang seperti “seorang balu”, seperti “isteri yang berzina,” kembalilah kepada TUHAN Allah!

Biar tangisanmu menjadi sukacita,
Biar musuhmu menjadi sahabat,
Biar kamu tidak diperhambakan lagi oleh dosamu.
Kembalilah…” (Yeremia 3:13, 14)

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Monday, August 14, 2017

Allah itu Baik dan Setia, Jadi Berdoalah untuk Kesejahteraan 'Babel' (Yeremia 29:4-7,11-11)


Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, kepada semua orang buangan yang Kubuang dari Yerusalem ke Babel, ‘Binalah rumah dan hunilah… Bernikahlah dan milikilah anak lelaki serta perempuan... Biarlah bertambah ramai jumlahmu di sana, jangan berkurang. Ikhtiarkanlah kesejahteraan kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada TUHAN untuk kota itu, kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraanmu’… Beginilah firman TUHAN, ‘Apabila telah genap tujuh puluh tahun di Babel, barulah Aku melawat kamu. Aku akan menepati janji-Ku yang baik itu kepadamu dengan mengembalikan kamu ke tempat ini. Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan…’
(Yeremia 29:4-7, 10-11, AVB)

Umat Israel telah berdosa dan meninggalkan Allah. Lalu mereka ditawan dari Tanah Perjanjian dan dibuang ke Babel. Kepada bapa Abraham, TUHAN telah berjanji akan memberikan Tanah Kanaan untuk umat-Nya. Tempat itu kaya dengan susu dan madu, subur dan diberkati. Ia merupakan tempat Raja Daud, raja yang disegani oleh umat Israel memerintah. Ia juga tempat dimana tersergamnya suatu masa dahulu Rumah TUHAN yang dibina oleh raja Salomo. Ia menjadi tempat tinggal tetap bagi orang Yahudi selama berabad-abad. Bila Allah menghukum mereka, mereka bukan hanya kehilangan tempat tinggal, tetapi mereka juga telah hilang identiti sebagai umat Allah.

Tetapi TUHAN itu baik. Dia akan “melawat” mereka semula; Dia akan “menepati janji-Nya”; Dia akan mengurniakan mereka “masa depan dan harapan.” Oleh itu, Allah menyuruh nabi Yeremia menghantar surat kepada orang Israel yang dalam pembuangan di Babel. Secara ringkat, mesej yang diberikan Yeremia ialah: Teruskan dengan kehidupan kamu seperti biasa. Kamu bukan lagi berada di Tanah Perjanjian, kamu berada di Babel. Jadi, terus tinggal di Babel. Bina rumah, bernikah, bertambah dan berdoa untuk keamanan dan kesejahteraan kota Babel! Bila tiba masanya – iaitu genap 70 tahun – mereka akan kembali semula ke Tanah Perjanjian yang diberikan Allah kepada Abraham dan keturunannya.

Penghukuman dan kegagalan tidak bererti dunia kita akan menjadi gelap selamanya. TUHAN Allah itu baik dan setia walaupun kita sekarang berada dalam keadaan yang susah dan ditimpa masalah. Kita meratap kerana kehilangan. Kita bertaubat kerana dosa. Kita berdukacita kerana Allah murka. Kemudian… teruskan dengan kehidupan kita seperti biasa. Tidak ada faedahnya jika kita terus menerus meratap dan mengenangkan tragedi lama. Ya, belajar dari penghukuman dan hidari dosa, kembali kepada Allah dan bertaubat. Kemudian… teruskan dengan kehidupan seperti biasa. Adakah kamu berada di ‘Babel’ sekarang? Jadi, berdoalah untuk kesejahteraan ‘Babel’ dan jadikanlah ia tempat (atau keadaan) yang diberkati TUHAN dimana sahaja kamu berada.

Jika kamu berada di ‘Babel’ sekarang,
Berdoalah untuk keamanan dan kesejahteraan tempat/keadaan kamu.
Dia mempunyai rancangan kesejahteraan, masa depan dan harapan bagi kita semua,
TUHAN akan menepati janji-janji-Nya, Mahukah kamu terus percaya?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Sunday, August 13, 2017

Seluruh Rakyat Yehuda Berkata kepada Yeremiah, "Engkau Harus Mati!" (Yeremiah 26:8-11)


Setelah Yeremia selesai menyampaikan [Firman] yang diperintahkan TUHAN untuk dikatakan kepada seluruh rakyat itu, maka para imam, para nabi, dan seluruh rakyat menangkapnya sambil berkata, ‘Engkau harus mati! Mengapa engkau bernubuat atas nama TUHAN, mengatakan, ‘Bait ini akan menjadi seperti Silo dan kota ini akan menjadi reruntuhan sehingga tidak berpenduduk?’ Lalu seluruh rakyat mengerumuni Yeremia di Bait TUHAN. Ketika para pembesar Yehuda mendengar tentang hal itu, datanglah mereka dari istana raja ke Bait TUHAN lalu duduk di depan Pintu Gerbang Baru di Bait TUHAN. Para imam dan para nabi berkata kepada para pembesar dan kepada seluruh rakyat demikian, ‘Orang ini patut dihukum mati, kerana dia telah bernubuat menentang kota ini seperti yang kamu dengar dengan telingamu sendiri’
(Yeremia 26:8-11,
AVB)

Tugas seorang nabi bukannya senang. Nabi Yeremia – nabi Allah yang benar – mempunyai tugas yang sukar. Dia seringkali memberitakan perintah dari TUHAN, kebenaran yang keras kepada seluruh rakyat Yehuda. Oleh itu, mereka sangat membenci dia. Sebagai nabi, dia tidak boleh berdiam, dia harus memberitakan Firman Allah. “Setiap kali aku berbicara, aku harus berteriak” (Yeremia 20:8). Jika dia berdiam, “maka dalam hati[nya] ada sesuatu seperti api yang menyala-nyala, terkurung dalam tulang-tulang[nya]” (20:9). Secara ringkas, firman yang harus Yeremia beritakan ialah: Bertaubatlah, atau kota Yerusalem akan dimusnahkan!

Saya berasa sedih dengan sikap dan respon orang Yehuda. Mereka seolah-olah meletakkan identiti mereka bukan kepada TUHAN Allah Israel, tetapi kepada Kota Yerusalem. Kesedaran bahawa dosa dan carahidup mereka yang membuatkan Allah murka tidak menjadi suatu masalah bagi mereka. Mereka mencintai Kota Yerusalem, tetapi Allah itu seakan-akan tiada dalam fikiran mereka. Bila Yeremia bernubuat “kota ini akan menjadi reruntuhan,” mereka terus melenting dan marah kepadanya. Bagi mereka, kata-kata Yeremia ini merupakan suatu ancaman besar. Mereka berkata “Engkau harus mati!” Kemarahan menjadi kebencian, kebencian menjadi malapetaka! Mereka sedar bahawa Yeremia “bernubuat atas nama TUHAN” tetapi tetap mereka berkata, “Orang ini patut dihukum bunuh.”

Perkara yang membuatkan kita marah merupakan suatu petanda tentang apa sebenarnya yang tersimpan di dalam hati kita. Orang Farisi marah kepada Yesus disebabkan Dia menentang ajaran mereka; Yesus marah bila melihat Rumah TUHAN menjadi sarang perompak. Satu kerana ego dan dosa, satu lagi kerana kehormatan Allah dan mengasihi sesama kita. Apakah perkara yang membuatkan kamu marah? Apakah kebenaran yang ternyata yang menyebabkan kamu marah? Selidiki kemarahan itu. Punca dan kenapa. Kemungkinan ia ialah kemarahan yang benar. Atau, seperti seluruh rakyat Yehuda yang ingin membunuh nabi Yeremia itu, kamu marah kerana disebalik respon dan tindakan kamu itu – kemarahan kamu – ada dosa yang gelap dan berhala yang masih lagi tersimpan di dalam hidup dan hati kamu…

Kembalilah…” (iaitu bertaubah) kata TUHAN,
“…kerana Aku ini pemurah… Akulah tuanmu” (3:12, 14)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.



Best Blogger Tips

Saturday, August 12, 2017

Allah Menyeru Umat-Nya, "Kembalilah!" (Yeremia 3:12-14)


Pergilah, serukanlah kata-kata ini ke utara. Katakanlah, ‘Kembalilah, wahai Israel, perempuan murtad… Aku tidak akan memandang kamu dengan murka, kerana Aku ini pemurah,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku tidak akan memendam murka untuk selama-lamanya. Hanya, akuilah kesalahanmu, bahawa engkau telah menderhaka terhadap TUHAN, Allahmu, telah melampiaskan nafsu berahimu dengan kalangan orang asing di bawah pokok yang rimbun, dan tidak mematuhi Aku,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Kembalilah, wahai anak-anak yang murtad kerana Akulah tuanmu’”
(Yeremia 3:12-14,
AVB)

Kerajaan Israel di Utara telah dimusnahkan hampir seratus tahun dahulu semasa Firman ini difirmankan oleh nabi Yeremia kepada Kerajaan Yudah di Selatan. Ianya sebenarnya untuk mengajar dan menegur mereka supaya tidak mengikuti jejak langkah Israel yang telah musnah. Dahulu Israel, sekarang Yudah yang diibaratkan sebagai “perempuan murtad” dan “anak-anak murtad” telah menderhaka dan curang kepada Allah dengan menyembah berhala-berhala dan tuhan-tuhan palsu yang disembah oleh bangsa-bangsa asing disekeliling mereka. Namun begitu, TUHAN Allah masih memanggil Yudah seperti seorang Bapa yang rindu memanggil anak-anaknya untuk kembali kepangkuannya: “Kembalilah!

Dia tidak mengarah umat-Nya untuk kembali. Dia seolah-olah seperti merayu demi kebaikkan mereka untuk kembali semula kepada-Nya. “Kamu telah membuat Aku murka,” kata TUHAN, “tetapi Aku ini pemurah.”

Bagi saya, sangat sukar dan segan untuk saya kembali semula kepangkuan ibubapa yang hati telah saya sakiti. Tetapi seperti kebanyakkan ibubapa, tidak kira betapa degil seorang anak itu, tidak kira betapa anaknya telah memalukan mereka, ibubapa tetap ibu dan bapa, dan mereka tetap akan mengasihi anak mereka. Mereka akan menyambut anak itu dengan sukacita sekiranya dia kembali semula. Ya, memang ada ibubapa yang tidak sanggup menerima anak itu kembali walaupun dia telah menyesal akan perbuatannya. Tetapi TUHAN kita tidak seperti itu. Dia masih menunggu kepulangan kita: “Kembalilah!

Aku ini pemurah,” kata TUHAN Allah. “Aku penuh belas kasihan” (BM)
Kamu masih belum terlambat.
Adakah hari ini kamu akan kembali semula kepada-Nya?
                                                       THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.                     


Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]