Showing posts with label Hari Krismas. Show all posts
Showing posts with label Hari Krismas. Show all posts

Wednesday, September 8, 2021

Lima (5) Perkara Yang Kita Boleh Belajar Daripada Ahli Ilmu Bintang dari Timur (Berdasarkan Matius 2)

Ada Lima (5) Perkara yang saya belajar daripada Ahli Ilmu Bintang dari Timur ini (juga dipanggil sebagai "Orang Majus") dalam Matius 2 ☕ #ServeToLead #PreachTheWord #InjilMatius


Untuk mendengar huraian bagi setiap perkara ini dan mengkaji
Alkitab Injil Matius 2:1-12 pergi ke LEGASI.tv Podcast melalui Spotify di https://bit.ly/SpotifyMatius4 (Bahagian 1) dan https://bit.ly/SpotifyMatius5 (Bahagian 2)


FB Page
: https://facebook.com/LEGASI.tv/                        
Podcast: http://bit.ly/LegasiSpotify          
YouTube: https://www.youtube.com/c/LEGASItv/      

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

 

Best Blogger Tips

Sunday, December 15, 2019

Cubaan Membunuh Yesus! (Matius 2:13-23)



Perhatikan watak raja Herodes dalam cerita ini, dia "risau" (Matius 2:3) dengan kehadiran seorang bayi atau kanak. Raja cemas dengan budak kecil??? Kenapa? Selepas itu, dia "menyiasat" (2:4). Kemudian, berpura-pura ingin "menyembah Yesus" (2:8). Apabila dia "marah" (2:16) kerana ditipu, dia memerintah orang-orang suruhannya untuk membunuh semua anak lelaki yang berumur 12 tahun dan ke bawah di Betlehem. Ini tujuan sebenarnya - "membunuh" (2:13)!  Apa yang kita boleh belajar tentang hal ini? Pernah kamu bayangkan hal ini di Betlehem apabila menyanyikan/mendengar lagu Krismas? Ini dan banyak lagi 😉 mari membuka Alkitab ke Matius 2:13-23 📖 dan selamat mendengar 👂🔥#ServeToLead #InjilMatius
_____________


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Bahagian 2: Belajar 5 Perkara daripada Orang Bangsa Asing (Matius 2:1-12)



Paul menasihati Timotius untuk menghentikan "cerita dongeng" (1 Timotius 1:4) dan jangan melayani "perbahasan yang sia-sia" (2 Timotius 2:23). Oleh itu, dalam Pengajian Alkitab, terutamanya dalam Injil Matius bab 2:1-12 yang kita belajar sekarang, jangan kita membuat andaian dan spekulasi yang terlampau tentang siapa dan dari mana ahli ilmu bintang (orang-orang Majus) dari Timur ini 😉  Dengan itu, saya ingin berkongsi kepada kamu tentang lima (5) perkara yang saya belajar daripada orang bangsa asing ini... 🔥📖 Selamat mendengar! 👂#ServeToLead #InjilMatius
_____________


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Bahagian 1: Belajar 5 Perkara daripada Orang Bangsa Asing (Matius 2:1-12)



Paul menasihati Timotius untuk menghentikan "cerita dongeng" (1 Timotius 1:4) dan jangan melayani "perbahasan yang sia-sia" (2 Timotius 2:23). Oleh itu, dalam Pengajian Alkitab, terutamanya dalam Injil Matius bab 2:1-12 yang kita belajar sekarang, jangan kita membuat andaian dan spekulasi yang terlampau tentang siapa dan dari mana ahli ilmu bintang (orang-orang Majus) dari Timur ini 😉  Dengan itu, saya ingin berkongsi kepada kamu tentang lima (5) perkara yang saya belajar daripada orang bangsa asing ini... 🔥📖 Selamat mendengar! 👂#ServeToLead #InjilMatius
_____________


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Thursday, December 22, 2016

7 Hari Pra-Krismas Mesej #4 Kemuliaan Allah dalam Keperibadian Kristus

Gambaran semasa Perjanjian Lama, Kemuliaan Allah dari luar Bait TUHAN

Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan
(Lukas 2:8-9,
AVB)

Dalam Perjanjian Lama, pada masa Bait Solomo iaitu Bait Allah berdiri megah di Kota Yerusalem, shekinah kemuliaan Allah – yang boleh dilihat, yang mempunyai intipati, yang terpancar dari diri Allah yang Maha Kuasa – memenuhi Tempat Yang Maha Suci. Hanya imam agung sahaja yang boleh mendekati tempat itu. Dan dia hanya boleh datang setahun sekali iaitu pada Hari Pendamaian (Yom Kippur). Pada hari itu, upacara pendamaian dilakukan oleh imam agung untuk seluruh umat Israel untuk dosa mereka dan darah korban akan dipercik di penutup Tabut Perjanjian TUHAN. Pada masa itu, imam agung berdiri di hadirat Allah. Kemuliaan-Nya memenuhi tempat itu!

Kesucian Allah menyebabkan orang Yahudi dilarang untuk menghampiri Tempat Yang Maha Suci, walauapapun alasan mereka. Oleh itu, mereka mengikat tali pada kaki imam agung sebelum dia memasuki tempat itu. Dengan cara ini, jika imam agung mati dihadapan Allah (mungkin disebabkan kecuaian atau kesilapan), mereka dapat menarik mayat imam agung itu keluar.

Untuk berdiri di tempat itu dimana shekinah kemuliaan Allah terpancar ialah suatu yang paling berharga di dunia. Tahun demi tahun, ia merupakan suatu kebesaran bagi setiap imam agung dalam pelayanan mereka. Selepas banyak persiapan diri, melalui banyak upacara yang harus dilakukan menurut Kitab Imamat, imam agung akan pergi menghadap hadirat Allah.

Tetapi setelah bertahun-tahun berlalu, umat Israel mula mengambil ringan terhadap berkat dan kasih kurnia Allah sehinggakan mereka memberontak terhadap-Nya dan tidak mengendahkan Taurat Musa. Akhirnya, setelah beberapa cubaan untuk membawa mereka dalam pertaubatan, mereka degil, jadi, kemuliaan Allah pergi meninggalkan mereka.

Pada masa pernaklukan kerajaan Babilon, nabi Yehezkiel bernubuat bahawa kemuliaan Allah masih lagi berada di Bait TUHAN (rujuk Yehezkiel 8:4). Tetapi nabi Yehezkiel juga berkata bahawa banyak berhala telah diletakkan berdekatan dengan pintu gerbang Bait TUHAN. Mereka menyembah dan bersujud kepada berhala negara asing (rujuk Yehezkiel 8:6-16). Umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Allah. Oleh itu, sedikit demi sedikit, kemuliaan Allah meninggalkan Tabut Perjanjian TUHAN (Yehezkiel 10:2), meninggalkan Tempat Yang Maha Suci (10:4), meninggalkan Bait TUHAN (10:18). Akhir sekali, kemuliaan Allah meninggalkan Yerusalem, meninggalkan Bukit Zaitun… dan dari sana… kembali ke syurga…

Sejak dari hari itu, Tempat Yang Maha Suci menjadi gelap. Kemuliaan sudah hilang! Ichabod! Cahaya sudah padam. Ruang menjadi kosong. Tiada kemuliaan. Tiada kekuasaan. Tiada Allah!

Beberapa tahun selepas itu, askar-askar Babilon menawan Yerusalem. Ramai pemimpin dan kerabat diraja ditawan dan dibawa ke Babilon. Bait TUHAN dimusnahkan. Semua harapan dan impian umat Israel hancur berkecai. Kemuliaan sudah hilang!

Umat Allah berdoa supaya kemuliaan-Nya datang, Dia berdiam. Selepas orang Israel kembali ke Yerusalem dari pembuangan, mereka membina semula Bait TUHAN. Mereka berdoa supaya kemuliaan Allah datang (Hagai 2:3), tetapi tidak ada rekod di dalam Alkitab yang kemuliaan Allah kembali semula. Selama empat abad umat Israel melakukan upacara agama di Bait TUHAN. Mereka tidak berhenti-henti berdoa. Mereka menyucikan diri. Mereka memberi korban. Tetapi Allah tidak berada disana. Tempat Yang Maha Suci masih gelap. Kemuliaan tidak kembali.

Satu-satunya harapan bagi orang Israel ialah apabila nabi Hagai bernubuat bahawa suatu hari nanti Allah akan memenuhi Bait-Nya dengan kemuliaan-Nya (2:7-9). Tetapi selepas hampir 400 tahun, nubuat itu masih lagi belum digenapi. Kemuliaan belum kembali.

Pernahkah kamu merasakan bahawa hadirat TUHAN itu seakan-akan ‘hilang’ dalam hidup kamu? Adakah kamu merasanya sekarang? Keadaan sekarang sudah tidak sama seperti dulu. Kamu cuba untuk meyakinkan diri kamu sendiri bahawa semuanya okey, sedangkan semuanya tidak okey. Semangat dan kepercayaan sudah tidak ada lagi. Kamu kosong dan cahaya sudah menjadi malap dan hampir gelap.

Jangan berputus asa! Apabila malam sangat gelap, ketahuilah bahawa matahari akan timbul kelak. TUHAN tidak akan membiarkan kamu sendirian, Dia akan menjawab doa kamu. Bagi kamu ia seperti sangat lama, tetapi ingat, Dia akan menjawab doa kamu sesuai dengan kehendak dan masa-Nya. Ingat, semua seperti tiada harapan bagi orang Israel sehinggalah malam yang gelap di kota Betlehem menjadi terang apabila para malaikat Tuhan muncul untuk mengumumkan bahawa kemuliaan-Nya sudah datang! Malaikat Tuhan dikelilingi dengan shekinah kemuliaan, kemuliaan Allah sendiri. Dia akhirnya sudah kembali!


Satu angkatan malaikat bernyanyi memuji Allah, “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya” (Lukas 2:14). TUHAN Allah telah sekali lagi datang kepada umat-Nya dan seluruh kota itu dipenuhi dengan kemuliaan-Nya. Kepada siapa Berita Baik ini diberi? Para gembala! Dimana? Di kota Betlehem! Kenapa? Kerana Sang Gembala, Anak Daud, telah datang untuk menuntut umat-Nya dengan kekuasaan dan kemuliaan-Nya. “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (Lukas 2:11).

Yesus ialah kemuliaan Allah! Dia ialah Allah dan kemuliaan-Nya yang menjelma menjadi manusia. Sekarang kemuliaan Allah tidak lagi hanya terhad di Bait TUHAN di Tempat Yang Maha Suci, tetapi ia dipancar secara umum melalui keperibadian Yesus Kristus. Semua orang dapat melihat Dia! Hanya melalui Yesus kamu dapat melihat kemuliaan Allah… Dia boleh menerangi hati kita dengan hadirat-Nya. Amen. Selamat hari Krismas!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Tuesday, December 20, 2016

7 Hari Pra-Krismas Mesej #3 Tangisan Yesus Memecah Kesunyian Allah


Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk [Maria] bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan
(Lukas 2:6-7,
AVB)

Tangisan bayi telah memecah kesunyian malam. Tangisan itu menandakan bahawa sejarah telah tercipta, sejarah terpenting alam semesta telah tercipta.

Tangisan itu telah memecah kesunyian Allah.

Allah telah berhenti berfirman kepada umat-Nya selama lebih kurang 400 tahun. Dia tidak lagi mengungkapkan kata-kata sejak nabi-nabi-Nya sudah tiada. Umat-Nya berhenti mendengar, oleh itu, Allah berhenti berfirman. Selama empat abad, tidak kira betapa hebat umat Israel berdoa, Tuhan tidak berkata apa-apa. Dia berdiam.

Perjanjian Lama diakhiri dengan keadaan yang kucar-kacir dan ketidaksetiaan umat Israel. Maleakhi, nabi terakhir dalam Perjanjian Lama, menulis, “Sesungguhnya, Aku akan mengutus kepadamu Nabi Elia… dia akan membuat hati bapa berbalik kepada anak-anak mereka dan hati anak-anak kepada bapa mereka, supaya Aku tidak datang dan mengazabkan bumi dengan kemusnahan yang mutlak” (4:6).

Sejak dari hari itu, berabad-abad telah berlalu dan apa yang terjadi ialah kerajaan-kerajaan asing datang memusnahkan dan mengambil kota-kota di Israel. Harapan untuk kedatangan Mesias naik turun beberapa kali. Nabi Elia yang dikatakan akan datang mengusung Mesias belum juga datang-datang – yang datang ialah askar-askar Roma. Kekejaman dan kesengsaraan yang terjadi kepada orang Israel menghancurkan harapan mereka untuk Raja yang baru, Raja seperti raja Daud. Sesungguhnya mereka telah menerima azab Allah!

 Namun begitu, ada dikalangan orang Israel yang tidak pernah putus harapan. Mereka percaya bahawa Allah akan campur tangan. Pasti. Lambat laun. Raja Israel yang ditunggu-tunggu akan datang juga! Allah akan datang dan berfirman semula dengan umat-Nya.

Tetapi tangisan bayi yang kedengaran? Selama empat ratus tahun TUHAN Allah telah berdiam dan tiba-tiba bersuara semula dengan tangisan bayi yang baru lahir? Hanya Tuhan sahaja yang boleh merencanakan sesuatu seperti ini!

Kota Betlehem dipenuhi dengan ramai pelawat. Tiada rumah tumpangan untuk Yusuf dan Maria tinggal. Kemungkinan mereka diberikan tempat seperti kandang haiwan peliharaan, di sebuah gua yang agak gelap, dan yang berkemungkinan tiada penghuni selain daripada haiwan-haiwan ternakan. Jika ini ialah gambaran yang hampir tepat dengan keadaan mereka yang sebenar, maka, gambaran ini sangat luar biasa. Bayi Mesias diletakkan di dalam sebuah palung? Dibaringkan di jerami? Dikelilingi haiwan ladang? Siapa yang sanggup merancang kelahiran seperti ini???

TUHAN Allah!

Pencipta alam semesta, Allah Maha Besar, mengutus Anak-Nya ke dunia dalam keadaan yang sangat diluar jangkaan. Keadaan pada malam itu sudah cukup untuk menunjukkan kasih kurnia Allah kita. Raja segala raja dilahirkan di tempat yang sangat rendah. Malah hamba abdi dilahirkan dengan keadaan yang lebih bermaruah daripada ini – tetapi Allah memilih untuk mengutus Anak-Nya dengan cara begini supaya semua orang boleh melihat kasih kurnia-Nya. Alkitab berkata, “Kamu tahu tentang kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus. Dia kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinan-Nya kamu menjadi kaya” (2 Korintus 8:9).

Kelahiran Yesus memecah kesunyian Allah. Di kota Betlehem yang kecil, Raja Orang Israel dilahirkan. Berketurunan raja Daud, dilahirkan di Kota Daud – tetapi dilahirkan di bangsal. Tiada yang lebih diluar jangkaan seperti ini. Allah telah mengutus Anak-Nya untuk datang ke dunia untuk menunjukkan kepada semua orang tentang Siapa Dia tidak kira status, keadaan atau kedudukan seseorang itu. Tangisan bayi itu merupakan titik sejarah kepada seluruh dunia. Sejarah telah berubah ketika suara Allah kedengaran.

Allah sudah kembali!

Harapan untuk Mesias sudah dikembalikan semula. Cahaya sudah bersinar dalam kegelapan dunia. Wahyu dari Allah sudah kedengaran melalui tangisan-Nya. Jalan, Kebenaran dan Hidup telah datang untuk memberikan harapan dan keselamatan kepada manusia. Bayi yang memecah kesunyian Allah dengan tangisan-Nya pada malam itu akan menjadi Penyelamat Dunia. Dia akan menjadi Imam Agung yang akan “berdoa dan merayu dengan ratap tangis” (Ibrani 5:7) kepada Bapa untuk kita. Bayi yang menangis itu akan menjadi Penyelamat yang akan meratap bagi pihak kita!

Yesus menangis untuk kamu. Fikirkan! Disaat kamu menangis, Dia tahu. Ketika jiwa kamu menyeru nama-Nya, Dia memahami. Bila kamu terluka, Dia juga merasa. Dia mahu menyembuhkan hati kamu yang hancur dengan kasih dan belas kasihan (jika kamu percaya dan membiarkan-Nya). Tangisan Anak Allah menunjukkan bahawa Bapa mengasihi kamu! Dia mengasihi kita!

Yesus Kristus datang untuk menanggung dosa kita dan ingin membawa kita tinggal di dalam-Nya. Dia akan membawa kita kepada Bapa yang disyurga. Suatu hari nanti, Dia yang menangis untuk kita, dan Dia yang sekarang menangis bersama kita, akan berhenti menangis. Begitu juga dengan kita! Wahyu 21:4 berjanji, “Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka. Tiadalah lagi kematian, kesedihkan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap.” Amin.

Allah telah berfirman. Adakah kamu mendengar?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Monday, December 19, 2016

7 Hari Pra-Krismas Mesej #2 Sebelum Para Malaikat Bernyanyi

Saya tidak percaya malaikat seperti itu... ini ialah gambaran pelukis

Dia yang datang dari atas adalah di atas segala-galanya. Orang yang berasal dari dunia datang dari dunia dan bercakap tentang hal-hal dunia. Tetapi Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala-galanya
(Yohanes 3:31,
AVB)

Lama sebelum Yusuf dan Maria berangkat ke Betlehem, Mikha 5:2 telah bernubuat: “Tetapi engkau, wahai Betlehem Efrata… daripada kamu akan muncul bagi-Ku seorang yang akan menjadi Pemerintah di Israel. Asal-usulnya sudah sejak zaman dahulu, sejak purbakala lagi.” Hal ini membuatkan saya tertanya-tanya: Dimana Kristus sebelum Dia dibaringkan di dalam palung? Apa yang Dia lakukan sebelum malaikat Gabriel bertemu dengan Maria? Dimana Kristus ketika para malaikat bernyanyi mengumumkan tentang kelahiran Penyelamat kepada para gembala pada malam sebelum Dia dilahirkan?

Alkitab menjawab persoalan saya ini dengan satu deklarasi: “Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah” (Yohanes 1:1). Yesus Kristus, Anak Allah, Penyelamat Dunia, sudah ada sejak dahulu lagi. Dia sama dari segi intipati dan kualiti seperti Allah Bapa dan Roh Kudus. Dia ialah dan senantiasa Allah yang Maha Wujud.

Allah itu berkuasa, abadi dan tidak kelihatan, apa yang kita tahu tentang Dia kita tahu melalui Yesus Kristus. Yesus ialah “gambaran Allah yang tidak kelihatan” (Kolose 1:15). Bukan hanya Kristus seperti Allah, tetapi Allah seperti Kristus! Sebelum kedatangan Kristus, setiap gambaran manusia tentang Allah ialah imiginasi manusiawi dan menurut gambaran ciptaan-Nya. Semuanya berhala. Tetapi di dalam Kristus kita dapat melihat gambaran Allah dalam kemanusiaan-Nya.

Yesus Kristus ialah Tuhan” (Filipi 2:11). Dia berjalan bersama manusia, tetapi Dia tinggal melebihi manusia. Dia merupai manusia, tetapi bercakap seperti Allah. Dia sepenuhnya manusia dan pada masa yang sama Dia Tuhan sepenuhnya. Dia menjadi cermin supaya kita boleh melihat sikap dan keperibadian Allah dengan jelas. Bila pengikut Yesus, Filipus, berkata, “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami,” Yesus menjawab, “Belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (baca Yohanes 14:8-9). Tidak boleh disangsikan lagi, Yesus tahu siapa diri-Nya dan mengapa Dia berada di dunia. Dia datang supaya kita boleh mengenal Allah yang hidup dan benar. Dia ialah shekinah kemuliaan Allah yang dipancar melalui kemanusiaan-Nya.

Kitab Injil Yohanes dari permulaannya ingin kita melihat kemuliaan Yesus Kristus. Dia lebih mulia dari segala-galanya dalam keperibadiaan-Nya kerana Dia Allah yang Maha Wujud yang menjadi manusia. Dia sudah ada sejak dahulu lagi dan Dia akan sentiasa ada. Dia bersama Allah Bapa dan Roh Kudus dari permulaan, dan Dia satu dan sama dengan Allah.

Yesus juga lebih mulia dari segala-galanya dalam kekuasaan-Nya. Dia ialah Pencipta. “Segala-galanya diciptakan melalui Dia” dan “hidup ada dalam-Nya” (Yohanes 1:3-4). Dialah sumber kehidupan. Dia ialah satu-satunya yang memberikan makna dan tujuan dalam segala ciptaan-Nya. Alam semesta menjadi saksi kekuasaan-Nya – menunjukkan kemuliaan-Nya bagi semua. Pemazmur bernyanyi, “Seluruh langit mengakui kemuliaan Allah; dan cakerawala menunjukkan ciptaan-Nya” (Mazmur 19:1).

Kristus juga lebih mulia dari segala-galanya dalam janji-Nya. Rasul Yohanes memulai Injilnya dengan mengingatkan kita bahawa hanya Yesus yang boleh menjadikan kita anak-anak Allah melalui iman kepada-Nya. “Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya” (Yohanes 1:12). Kita tidak boleh menjadi anak-anak Allah melalui kelahiran fisikal; kita harus dilahirkan semula dan diangkat masuk ke dalam keluarga Allah. Hanya Yesus yang boleh menjanjikan hak itu kepada kita semua.

Akhir sekali, Tuhan Yesus juga lebih mulia dari segala-galanya dalam tujuan-Nya. “Lihatlah Anak Domba Allah,” seru Yohanes Pembaptis, “yang menghampuskan dosa umat manusia!” (Yohanes 1:29). Yesus tidak datang ke dunia hanya untuk menjadi guru, walaupun Dia merupakan Guru yang hebat. Dia tidak datang ke dunia semata-mata untuk menjadi contoh kita, walaupun Dia harus kita contohi. Tujuan utama Dia datang ialah Dia datang untuk mati bagi dosa kita. Inilah tujuan termulia Yesus kita!

Allah menjelaskan semua ini kepada Yusuf apabila Dia berkata, “Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:21).

Yosua. Yesus. Penyelamat.

Betapa indahnya Nama itu! “[Allah] sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama, supaya kepada nama Yesus segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa” (Filipi 2:9-11).

Kita tidak boleh melihat kehidupan dan ajaran Yesus tanpa melihat dahulu kemuliaan-Nya. Apabila kita mengkaji keperibadian dan firman-Nya, kita akan bertemu dengan Dia. Setiap hari kita harus bertanya kepada diri kita sendiri: Bagaimana hubungan saya dengan Yesus Kristus ketika ini? Selamat hari Krismas!


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

7 Hari Pra-Krismas Mesej #1 Tiada Kasih yang Seperti Engkau


[Apabila] Kristus datang ke dunia, Dia berkata, ‘Korban dan persembahan tidak kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku telah datang… untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah
(Ibrani 10:5,7,
AVB)

Pernah kamu berfikir apakah yang sebenarnya terjadi pada malam sebelum Krismas yang pertama? Sebelum para gembala datang? Sebelum ahli ilmu bintang atau para pelawat dari Timur datang? Malah sebelum Maria melahirkan anaknya yang pertama?

Alkitab memberikan bayangan kepada kita tentang apa yang mungkin terjadi di Syurga pada malam sebelum Krismas. Teks firman yang saya akan guna bukan dari Kitab Injil tetapi dari Surat kepada Orang Ibrani. Melalui surat ini, penulis menceritakan tentang apa yang bermain di dalam fikiran Kristus ketika Dia menyiapkan diri-Nya untuk datang ke dunia. Dengan memetik Mazmur 40:6-8 sebagai firman Kristus, Alkitab menerangkan dengan jelas bahawa “[Apabila] Kristus datang ke dunia, Dia berkata, ‘…Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku telah datang… untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah’”

Sistem Korban dalam Perjanjian Lama sudah tidak berfungsi lagi untuk menggenapi kehendak Allah. Ia tidak pernah dianggap sebagai sistem yang kekal selama-lamanya. Dari mula ia diperkenalkan, ia berfungsi untuk menunjukkan kepada kita kepada Korban yang terakhir dan selamanya. Malah pada malam Paskah yang pertama (Keluaran 12), darah anak domba melambangkan pengorbanan yang akan datang. Selepas anak domba disembelih, darahnya akan dikumpul di dalam baldi yang kemudiannya dibawa ke rumah. Darah itu kemudiannya disapukan pada kedua-dua tiang pintu dan pada ambang pintu rumah. Dalam proses tersebut, mereka seolah-olah membuat lambang salib Kristus!

Semua ini melambangkan tentang apa yang akan terjadi apabila Kristus datang ke dunia. Saya membayangkan ada dikalangan malaikat di Syurga yang mungkin bertanya, “Adakah Dia benar-benar akan pergi ke sana?” “Mereka tidak layak bagi Dia,” ada yang mungkin berkata. “Mereka jatuh ke dalam dosa apabila Iblis mencubai mereka, mereka tidak layak untuk diselamatkan!”

Alkitab berkata penyelamatan dan kasih kurnia Allah kepada manusia sangat luar biasa sehinggakan “para malaikat juga ingin mengerti perkara itu” (1 Petrus 1:12). Bagi saya, mereka mesti sangat hairan dengan tindakkan Kristus yang sengaja memilih untuk “dijadikan rendah sedikit daripada malaikat” (Ibrani 2:9). Saya tidak dapat membayangkan tindakkan yang sangat radikal seperti ini!

Rendah sedikit daripada kita?” para malaikat mungkin berfikir, “Kenapa Dia sanggup melakukan perkara seperti itu?

Dia ialah Anak Allah yang duduk bertakhta di Syurga. Alkitab berkata, “[Anak Allah] adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya… Dia duduk disebelah kanan yang Maha Mulia yang bertakhta di Syurga” (Ibrani 1:3). Kenapa Dia sanggup meninggalkan tempat kemuliaan-Nya? Kenapa Dia sanggup melepaskan kedudukan dan kekuasaan-Nya? Kenapa Dia sanggup mengambil risiko untuk menjelma menjadi manusia? Kenapa Dia sangat mengambil berat tentang Krismas?

Jawapan yang ringkas ialah… Dia melakukannya demi kita! Kita tidak layak bagi Dia dan saya tidak berani untuk memberikan penjelasan yang lebih dari itu. Satu-satunya penjelasan yang saya berani katakan disini ialah – kasih kurnia-Nya.

Sebelum kelahiran Yesus, Allah Bapa pernah berkata, “Engkau Anak-Ku… mintalah daripada-Ku, Aku akan menjadikan segala bangsa warisan-Mu, dan setiap pelosok bumi milik-Mu” (Mazmur 2:7-8). Penulis Surat Ibrani menerangkannya begini: Melalui Yesus, Allah “dapat membawa banyak orang ikut menikmati kemuliaan-Nya” (Ibrani 2:10, BM).

Ya, buat seketika Yesus dijadikan rendah sedikit daripada malaikat apabila Dia menjelma menjadi manusia. Tetapi akhirnya, Dia “dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan… supaya dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia” (Ibrani 2:9).

Satu-satunya penjelasan yang diberikan oleh Alkitab tentang Krismas ialah Dia melakukan semuanya demi kita. Dia ialah pemberian Allah kepada seluruh manusia di dunia ini. Dia datang, menderita dan mati kerana dosa kita. Dia datang untuk menanggung hukuman yang sepatutnya dilakukan kepada kita. Dia memberikan diri-Nya supaya kita boleh dibebaskan. Inilah Penyelamat Dunia!

Samada para malaikat benar-benar terkejut dengan Krismas atau tidak, saya hanya boleh membayangkannya. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat, mereka tidak sabar-sabar untuk mengumumkan Berita Baik itu. Perkhabaran mereka ialah perkhabaran yang membawa sukacita, bukan perkhabaran penghakiman. Ia merupakan perkhabaran sukacita Syurga!

Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat,” kata malaikat kepada para gembala. “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (baca Lukas 2:10-11). Dia tidak lahir untuk diri-Nya sendiri. Dia lahir untuk orang lain. Dia lahir supaya kita boleh menikmati kemuliaan-Nya.

Dia Allah yang Maha Esa, lebih tinggi daripada malaikat, kemudian menjadi rendah sedikit daripada malaikat, supaya kita yang lebih rendah daripada malaikat boleh menjadi tinggi sedikit daripada malaikat. Melalui Kristus kita menjadi lebih tinggi daripada malaikat! Bagi Allah kita sangat berharga dan oleh kerana kasih kurnia-Nya kita dilayakan untuk kemuliaan-Nya. Dia sudah melakukan sesuatu yang indah kepada kita yang kita sendiri tidak mampu melakukanya. Dia menjadikan kita anak-anak-Nya, mengangkat kita masuk ke dalam keluarga Allah.

Tiada siapa yang pernah mengasihi kamu seperti mana Yesus mengasihi kamu sekarang! Dia menyatakan kasih-Nya kepada kamu sebelum Dia meninggalkan Syurga untuk pergi ke dunia. Dia datang untuk membebaskan kamu. Membawa kamu kepada diri-Nya… supaya kamu boleh melihat Allah.

Siapa yang tidak mahu kasih seperti ini? Datanglah kepada Yesus dengan iman. “Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus” (Galatia 3:26). Selamat Hari Krismas!

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.

Best Blogger Tips

Wednesday, December 23, 2015

Yesus, Penyelamat yang Sanggup Datang: Kisah Sebelum Hari Krismas


[Pada] masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, ‘Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku’
(Ibrani 10:5,7,
BM).

Pernahkah kamu membayangkan apa sebenarnya yang terjadi pada malam sebelum hari Krismas yang pertama? Sebelum para gembala muncul? Sebelum ahli-ahli kaji bintang datang? Malah sebelum Yusuf dan Maria datang ke Betlehem? Alkitab telah memberikan kita jawapan tentang apa yang terjadi sebelum hari Krismas yang pertama. Bukan dalam Injil-Injil atau Kitab-kitab Berita Baik, tetapi dalam Surat kepada Orang Ibrani. Di dalam surat ini, penulis menceritakan kepada kita tentang apa yang bermain di dalam fikiran Kristus sebelum Dia datang ke dunia. Dengan memetik Mazmur 40:6-8 sebagai Firman Kristus, Alkitab mengatakan bahawa ““[Pada] masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, ‘…Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku… Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.’”

Sistem Persembahan Korban (Imamat 17) dalam Perjanjian Lama sudah tidak mendapat perhatian Allah lagi. Ianya diadakan bukan untuk selamanya tetapi untuk sementara. Sejak permulaan, ia bertujuan untuk menunjukkan kepada kita tentang Korban yang terakhir dan yang benar. Pada malam pertama Perayaan Paska (Keluaran 12), darah anak domba sebenarnya ialah petunjuk kepada korban Anak Domba yang terutama yang akan datang. Selepas anak domba itu disembelih, darahnya akan disimpan di dalam bekas untuk dibawa ke rumah masing-masing. Orang-orang Israel disuruh untuk mengambil sedikit darah anak domba dan menyapukannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah mereka. Melalui proses ini, mereka sebenarnya melakukan simbol tanda salib! Dengan ini, mereka selamat daripada hukuman Allah.

Ianya merupakan suatu petunjuk tentang apa yang akan Kristus lakukan apabila Dia datang ke dunia nanti.

Saya hanya boleh membayangkan pendapat malaikat-malaikat di syurga tentang semua hal ini. Mereka mungkin bertanya antara satu sama lain, “Adakah Dia benar-benar akan melakukannya [datang ke dunia dan mati di kayu salib]?” “Mereka [manusia] tidak layak untuk semua ini,” respon malaikat yang lain. “Syukur kita tidak jatuh bersama dengan malaikat-malaikat yang lain yang mengikut dusta-dusta Iblis,” ada malaikat mencela. “Mereka [manusia] sangat tidak layak! Mereka mudah jatuh dan senang ditipu oleh Iblis!” Benar. Tetapi apa yang pasti, Alkitab mengatakan bahawa: “Penyelamatan [yang dilakukan oleh Kristus]… [menyebabkan] malaikat-malaikat pun ingin memahami semua perkara itu” (1 Petrus 1:10,12). Kita boleh menyangka kehairanan mereka apabila Kristus secara sukarela “dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat” (Ibrani 2:9). “Lebih rendah daripada kita?” tanya para malaikat. “Kenapa Dia sanggup berbuat begitu?

Inilah keputusan Kristus yang diluar jangkaan semua makhluk di seluruh alam semesta!

Kristus ialah Anak Allah, Dia duduk di takhta syurga. Alkitab mengatakan bahawa: “Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa… Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi” (Ibrani 1:3). Kenapa Dia sanggup meninggalkan semua itu? Kenapa Dia sanggup turun dari tempat yang termulia? Kenapa Dia ingin menjelma menjadi manusia? Kenapa Dia sangat peduli tentang Krismas?

Jawapan yang termudah sekali ialah… Dia melakukan semuanya untuk kemuliaan Bapa dan bagi kita! Kita tidak layak untuk menerima semua ini. Kita pendosa. Tiada penjelasan yang secukupnya yang boleh menjelaskan tentang kebenaran ini. Hanya – kasih kurnia-Nya – merupakan penjelasan yang paling tepat sekali. Beratus-ratus tahun sebelum kelahiran-Nya, Allah Bapa berkata: “Engkaulah anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapamu. Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi kepadamu” (Mazmur 2:7-8). Penulis surat Ibrani menerangkan bahawa melalui Kristus “Allah dapat membawa banyak orang ikut menikmati kemuliaan-Nya” (Ibrani 2:10).

Benar, untuk sementara waktu Yesus dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat apabila Dia menjelma menjadi manusia “supaya dengan rahmat Allah, Dia dapat mati untuk semua orang.” Tetapi untuk selamanya “Dia dikurniai kemuliaan dan kehormatan” (Ibrani 2:9). Alkitab menjelaskan bahawa tujuan Hari Krismas ialah untuk mengingatkan kita bahawa – Dia melakukan semuanya untuk kita. Dia ialah Pemberian Allah kepada kita semua. Dia datang untuk menderita dan mati bagi dosa kita. Dia menerima segala hukuman yang kita patut tanggung. Dia memberikan diri-Nya sendiri supaya kita dibebaskan oleh hukuman dan cengkaman dosa. Inilah Penyelamat Dunia!

Samada para malaikat terkejut dengan Hari Krismas, kita tidak tahu. Saya tidak pasti. Tetapi, sejurus selepas keputusan telah dibuat, mereka tidak sabar-sabar untuk memberitakan Berita Baik itu. Mereka memberitakan tentang Berita yang membawa sukacita kepada kita semua. Seluruh syurga penuh dengan sukacita! “Jangan takut!” kata malaikat kepada para gembala, “Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10-11). Dia lahir untuk menyelamatkan kita. Dia datang untuk membawa kita kepada kemuliaan-Nya.

Dia Kristus, Sang Pencipta, lebih tinggi daripada malaikat, dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat, supaya kita yang lebih rendah daripada malaikat menjadi lebih tinggi daripada malaikat. Melalui Kristus, kita diangkat lebih tinggi daripada yang selayaknya. Lebih tinggi daripada malaikat! Kita berharga dimata-Nya, dipeduli oleh belas kasihan-Nya, dan diangkat oleh kasih kurnia-Nya. Dia melakukan perkara yang kita tidak mampu lakukan. Dia menjadikan kita anak-anak Allah, diangkat menjadi keluarga Tuhan.

Tiada sesiapa yang benar-benar mengasihi kamu seperti Yesus mengasihi kamu! Dia mengasihi kamu sebelum Dia meninggalkan syurga untuk datang ke dunia. Dia datang untuk membebaskan kamu. Untuk mengambil kamu menjadi milik-Nya semula… supaya kamu boleh melihat wajah Allah. Siapa yang tidak mahu kasih seperti ini? Datang kepada-Nya melalui iman yang hidup. Bersukacita, berterima kasih dan dengan hati yang penuh syukur. Memuji dan menyembah Dia. Jika kamu boleh mempercayakan masa depan kamu kepada-Nya, kamu boleh mempercayakan Dia dengan hidup kamu sekarang. Biarlah Hari Krismas tahun ini menjadi tahun kamu menerima dan mengenal Yesus Kristus, Juruselamat dan Tuhan kita! Amin.


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

Friday, December 19, 2014

Adakah Perayaan Krismas merupakan Cubaan untuk Membawa Umat Islam menganuti Agama Kristian?

Pokok Krismas di Legoland, Malaysia
Soalan utama: Adakah perayaan Krismas merupakan cubaan orang Kristian untuk membawa umat Islam menganuti agama Kristian?

Peratusan Kecil, Pengaruh Besar

Ebola, HIV, api, bom atom. Apakah persamaan diantara mereka semua? Ianya kecil, tetapi sangat bahaya. Ada satu lagi yang sangat ditakuti di dunia ini: pengikut Yesus yang sebenar. Mengikut bancian pada tahun 2010, didapati bahawa 61.3% rakyat Malaysia beragama Islam, 19.8% penganut Buddha, 6.3% Hindu, 1.3% menganuti agama tradisi Cina – dan hanya 9.2% beragama Kristian. Kristian di Malaysia terdiri dari pelbagai makzab seperti Roman Katolik, Anglican, Methodist, Sidang Injil Borneo (SIB atau BEM), Baptist dan sebagainya. Persoalannya, kenapa peratusan yang kecil ini mampu membuat ‘kecoh’ di negara Malaysia sehingga mendapat liputan dunia? Kenapa kelompok yang kecil ini sangat ditakuti oleh golongan pelampau (extremist) agama? Kenapa Alkitab orang Kristian dirampas dan menjadi isu hangat di Malaysia? Adakah orang Kristian sudah melampau dan ingin menguasai Putrajaya? Ingat: hanya 9.2% Kristian, kurang daripada itu adalah pengikut Kristus yang sebenar, dan kebanyakkan adalah mereka yang tidak banyak bersuara dan suka akan kedamaian.

Apa Cakap Orang dan Situasi Sebenar

Pada pendapat golongan pelampau agama, orang Kristian memang mahu agama Islam berpecah. Orang Kristian dikatakan mempunyai agenda untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara Kristian. Ada sebuah buku yang dijual di kedai buku sekarang mencadangkan bahawa orang Kristian melakukan penginjilan secara besar-besaran di Malaysia untuk memesongkan pemikiran umat Islam dan gereja-gereja dibiayai oleh orang-orang kaya Yahudi di Israel dan Amerika Syarikat. Banyak lagi tuduhan yang tidak masuk akal yang saya tidak sanggup tulis disini (Bukan takut tetapi bodoh sangat).

Bagi setiap tuduhan jawapannya agak mudah. Sebenarnya, kebanyakkan orang Kristian tidak berfikir untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara Kristian. Saya sudah banyak kali pergi ke gereja dan kelompok doa – terbuka dan tertutup – tidak pernah saya mendengar orang Kristian berdoa supaya semua orang Malaysia menjadi penganut Kristian (Berdoa supaya mereka mengenal Yesus secara peribadi, ya, selalu dengar dan saya sendiri sering berdoa begitu). Bagi persoalan penginjilan pula, orang Kristian sendiri mempunyai isu perpecahan diantara makzab masing-masing dan pemikiran/kesedaran untuk bersaksi bagi Yesus masih lagi sangat rendah. Jangan takut. Dari segi kewangan pula, sebenarnya gereja-gereja di Malaysia (hampir) tidak mendapat peruntukkan khas dari kerajaan. Kebanyakkannya hanya dibiayai oleh pemberian dari orang Kristian sendiri. Kadang-kadang, gereja dibina dengan wang dan harta peribadi penduduk setempat. Orang Kristian rata-rata sebenarnya miskin! (TUHAN yang selalu mencukupkan).

Jadi, kenapa golongan pelampau sangat takut akan orang Kristian? Secara ringkas: sebab cara mereka menilai dan berfikir bergantung kepada bagaimana mereka menilai agama dan kepercayaan mereka sendiri. Mereka suka berperang, jadi nilai-nilai kedamaian diabaikan. Mereka suka menguasai dan menindas orang lain, jadi apa saja yang boleh membawa kesatuan dan keharmonian dianggap sebagai ‘musuh.’ Mereka suka mencari dan menutup kesalahan sendiri, jadi orang Kristian menjadi mangsa. Secara rohani pula, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu” (baca Yohanes 15:18-27, BM). Mereka benci dan takut akan Yesus, jadi mereka mahu memusnahkan orang Kristian. Bagi kebanyakkan orang pula – tidak kira agama dan kepercayaan mereka – isu ini tidak timbul langsung kerana mereka sangat suka akan kedamaian dan keharmonian negara Malaysia. Ini ialah situasi sebenar.

Realiti yang Tidak boleh Dinafikan Juga

Tetapi, secara terus terang memang ada orang Kristian yang ingin menginjili umat Islam supaya memasuki agama Kristian (Jika tidak kerana Kristus, sudah lama saya menjadi penganut Buddha!). Umat Islam juga begitu. Persoalannya ialah bukan “bagaimana” tetapi “kenapa”? Pada pandangan saya, pelajaran agama yang diajar di Malaysia adalah sangat berat sebelah dan tidak telus dan jujur. Sebagai contoh, agama Kristian diajar (dengan salah) berdasarkan pandangan peribadi pengajar yang hampir tidak merujuk langsung kepada Alkitab atau jika merujuk sekalipun, rujukkan selalunya akan keluar dari konteks ayat sebenar. Maka, pada pemikiran orang ramai, tujuan orang Kristian menginjil seringkali disalah ertikan dan menjadi spekulasi sebarangan bagi orang yang tidak mengenal TUHAN secara peribadi!

Bagi orang Kristian yang ada membaca Alkitab (dan yang benar-benar mentaatinya) penginjilan membawa erti yang sangat berbeza. Ia merupakan suatu tindakan atau respon setelah mereka menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka. Penginjilan bukanlah suatu perkara yang dilakukan untuk mendapat “pahala” atau lesen untuk masuk ke syurga, tetapi sesuatu yang dilakukan kerana sukacita dan kedamaian yang mereka perolehi selepas mengenal Yesus secara peribadi. Mereka ingin menginjil bukan supaya orang menjadi Kristian semata-mata, tetapi supaya orang mengetahui Yesus, Penyelamat Dunia. Jawapan untuk “kenapa” bagi orang Kristian bukanlah disebabkan agama, tetapi Individu yang hidup dan benar – Yesus Kristus. Jadi, motif penginjilan dan perayaan Kristmas bagi orang Kristian yang benar ialah supaya orang mengenal Bapa, percaya kepada Yesus Kristus dan hidup dalam Roh Kudus dan kebenaran.

Soalan utama: Adakah perayaan Krismas merupakan cubaan orang Kristian untuk membawa umat Islam menganuti agama Kristian? Ya (bagi segelintir orang), Tidak (bagi kebanyakkan orang), Tidak tahu (bagi yang masih ragu-ragu).

Soalan seterusnya: Adalah perayaan Krismas merupakan peluang bagi orang Kristian untuk menginjil orang ramai supaya mengenal Yesus Kristus secara peribadi? YA! YA! YA! dan YA!

Jika ada orang Kristian yang cuba untuk menginjil kamu supaya mengenal Yesus,
dengar dahulu dan cuba pertimbangkan sendiri dengan merujuk kepada Alkitab tentang Yesus;
Tetapi jika kamu tidak mahu dan menolak, tidak mengapa,
saya mungkin kecewa tetapi kami tidak harus memaksa. Kasih itu tidak memaksa.
Bagi saya, kes selesai!
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]