“Kamu mesti patuh kepada semua perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini... Ajaran ini bukanlah kata-kata kosong, tetapi ajaran ini adalah nyawa kamu” (Ulangan 32:46-47, BM)
Kita boleh jadi malas dalam mempelajari Firman Tuhan. Kadang-kadang ada yang berfikir bahawa sudah cukup untuk kita mengetahui kebenaran melalui perkongsian firman di gereja (atau di CF). Ada juga yang sungguh bersemangat membaca Alkitab dari muka depan sampai belakang, dan ada juga yang sentiasa meluangkan masa setiap hari untuk membaca Alkitab tetapi tidak mempelajarinya. Bagi kebanyakkan kita pula, waktu pagi seakan-akan sangat sibuk dan waktu petang pula sangat penat untuk membaca dan mempelajari Firman-Nya. Ada yang memberi alasan bahawa ‘bukankah ajaran utama Alkitab ialah mengasihi Tuhan dan orang lain dan melakukan perkara yang baik”? Bukankah kita sudah tahu semua itu?
Apa yang sangat menyedihkan bagi saya ialah kita selalunya tidak endah dengan apa yang Alkitab katakan dan seringkali membuat anggapan sendiri tentang ajaran di dalamnya. Sebagai contoh, ada orang Kristian yang beranggapan bahawa Alkitab mengajar bahawa manusia semuanya baik dan semua agama adalah sama. Ini tidak benar! Oleh itu Yesus berkata, “Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah” (Matius 22:29, BM). Untuk seorang pengikut Kristus yang baru menerima-Nya, “minum susu” rohani cukup untuk dia – kebenaran asas dalam ajaran Alkitab – namun begitu, untuk menjadi matang dalam iman dia haruslah bertumbuh dan makan “makanan keras” (baca Ibrani 5:13-14). Jika tidak, dia akan berhenti bertumbuh secara rohani.
Yesus Kristus berfirman, “Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup” (Yohanes 6:63). Dia memberikan kita firman-Nya untuk mendorong kita, memberikan harapan untuk jiwa kita, dan untuk menguatkan iman dan kepercayaan kita kepada Bapa kita yang di syurga. Jika hati dan pemikiran kita tidak dipenuhi oleh Firman Tuhan, kita akan lebih mudah jatuh dalam iman, sentiasa takut tiada pengharapan, dan tidak mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan cabaran hidup di dunia ini.
Membaca dan mempelajari Firman Tuhan bukanlah sesuatu perkara yang hanya dilakukan oleh pemimpin gereja sahaja – semua orang Kristian harus mempelajari Firman-Nya. Ianya memerlukan disiplin yang konsisten – masa, usaha dan tenaga – yang bertekat untuk mengetahui isi hati Tuhan. Firman-Nya “bukanlah kata-kata kosong, tetapi [ia] adalah nyawa kamu”. Firman-Nya hidup dan memberi kehidupan kepada kita.
Semoga segala usaha dan pertolongan Roh Kudus yang membimbing kita dalam membaca dan mempelajari Firman Tuhan menyertai kamu dan saya. Pelajarilah Firman-Nya. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment