“Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN,
berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau”
(Mazmur 37:5, BM)
(Mazmur 37:5, BM)
Setiap manusia ada batasnya. Kita ada kelemahan; kadang-kadang kita merasakan bahawa apa yang kita lakukan tidak cukup; kita kurang kemahiran dan pengetahuan tentang sesuatu; dan ada juga masanya kita memang tidak tahu apa yang harus dilakukan dan bagaimana untuk melakukannya. Kadang-kadang apabila masalah datang kita buntu. Kita memerlukan pertolongan.
Walaupun dunia sangat mengagumi orang yang pintar, kuat, berdikari dan mampu melakukan sesuatu yang hebat seorang diri – namun, kebenarannya ialah tiada sesiapapun yang boleh hidup seorang diri selama-lamanya. Oleh sebab itu, TUHAN telah menciptakan kita dan memanggil kita (melalui Kristus) untuk mempunyai hubungan dengan Dia dan dengan orang lain. Kita memerlukan TUHAN untuk hidup dan kita memerlukan orang lain untuk perhubungan.
Salah satu perkara yang mesti berlaku dalam setiap perhubungan ialah kita harus memberi dan menerima pertolongan. Kita memerlukan pertolongan untuk menyiapkan sesuatu pekerjaan. Kita memerlukan pertolongan untuk memulihkan perhubungan. Kita memerlukan pertolongan untuk kita belajar sesuatu yang baru dan pertolongan dari segi akal fikiran untuk menyelesaikan masalah. Kita juga memerlukan pertolongan secara rohani untuk menyatakan kepada orang yang kita telah sakiti “Maafkan saya”. Dalam kebanyakkan perkara, kita memerlukan pertolongan.
TUHAN ingin menolong kita. Firman TUHAN mengatakan: “Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau” (Pemazmur ini menulis tentang bagaimana TUHAN akan menolong dia daripada musuh-musuhnya. Walaupun konteknya berbeza, namun begitu, kebenarannya tetap sama bahawa TUHAN akan sentiasa menolong umat-umat-Nya jika kita menyerahkan hidup kita dan berharap kepada-Nya).
TUHAN ingin dan sangat bersukacita untuk menolong kita. Dia ialah Penolong yang setia kerana Dia yang paling bijaksana, berkuasa dan penuh dengan kasih. Sumber pertolongan kita datang dari Dia, and Dia juga pasti akan memberkati orang yang sanggup menolong orang lain. Janganlah takut dan malu atau terlalu ego untuk meminta pertolongan daripada TUHAN dan daripada orang lain. Sebagai pengikut Kristus, kita harus meminta (berdoa) pertolongan daripada TUHAN Bapa melalui Roh Kudus dengan nama Yesus Kristus. Belajar juga untuk berbuat begini: meminta pertolongan daripada orang lain – dan menolong orang yang memerlukan pertolongan daripada kita. Amin.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment