“Semakin aku berfikir, semakin susah hatiku;
lalu aku bertanya, “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku
supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.”
Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan!
Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa.
Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,
hidup mereka berlalu seperti bayangan.
Segala perbuatan mereka sia-sia;
mereka mengumpulkan harta,
tetapi tidak tahu siapa akan mewarisinya.
Apakah yang boleh aku harapkan, ya Tuhan?
Aku berharap kepada-Mu.” (Mazmur 39:4-8, BM)
Masa ialah seperti tenaga di dalam bateri – kita tidak tahu berapa banyak tenaga yang ada sehinggalah sesuatu alat seperti jam dinding yang menggunakan bateri berhenti berfungsi. Apabila itu berlaku, barulah kita tahu bahawa tenaga di dalam bateri sudah habis (Itu yang berlaku kepada jam dinding di pejabat saya minggu lepas). Masa, bukan seperti bateri, tidak boleh dibeli atau ditukar atau dipinjam dari orang lain. Sebab itulah masa sangat berharga dan kita (walaupun kita tahu akan kenyataan ini) kadang-kadang tidak menghargai hidup yang kita ada seolah-olah ia adalah sesuatu yang tidak membawa maksud apa-apa.
Kamu mungkin merasakan bahawa kamu telah mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau yang tidak ada tujuan. Dan pada masa yang sama, kamu juga sedar sejak dulu lagi bahawa kamu patut menggunakan masa yang ada untuk melakukan sesuatu perkara yang mempunyai harapan, tujuan dan matlamat yang boleh membawa impak yang besar dalam hidup kamu. Mungkin, pada ketika ini, kamu tidak pasti bagaimana untuk hidup seperti itu.
Firman TUHAN sangat jelas tentang ini: Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini – sepanjang hidup yang Tuhan telah berikan kepada kita – akan memberi kesan dan impak kepada kehidupan kita di akhirat kelak. Mungkin ada diantara kita mempunyai pemikiran seperti ini: ‘Terlalu banyak yang perlu dilakukan, tetapi masa terlalu sedikit’. Ingatlah bahawa Tuhan tidak meminta kita melakukan semua perkara di dunia ini tetapi hanya perkara “yang dikehendaki Tuhan bagi kamu” (Efesus 5:17).
Apa yang Tuhan hendak kamu lakukan di dunia ini? Saya tidak tahu... kamu sendiri perlu bertanya kepada-Nya. Apa yang saya tahu ialah: setiap perkara yang Tuhan ingin kamu lakukan di dunia ini, Dia akan menyediakan masa yang secukupnya untuk kamu melakukannya! Semakin kita berusaha untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan dalam hidup kita melalui doa dan Firman-Nya, semakin bermakna hidup yang kita ada di dunia ini. Kita akan ada tujuan dan matlamat dalam hidup yang boleh membawa impak kepada diri kita sendiri dan kepada orang lain. Biarlah Allah Bapa dipermuliakan di dalam hidup kita, demi nama Yesus Kritus Tuhan kita. Amen.
Roh Kudus, ajar kami untuk tidak mensia-siakan hidup kami
“Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami,
supaya kami menjadi bijak bestari.” (Mazmur 90:12, BM)
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment