Wednesday, July 24, 2013

Bagaimana untuk Mengasihi Musuh Kita?

Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu’. Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu” (Matius 5:43-44, BM)

Langkah pertama untuk memaafkan musuh kita ialah dengan mengetahui perkara sebenar yang membuat kita benci terhadap dia. Seringkali kita membenci seseorang tanpa mengetahui latarbelakang, kisah sebelumnya dan perkara sebenar yang terjadi yang membuatkan kita membenci dia. Tahukah kamu kenapa?

Kita juga harus tahu (atau mengenal pasti) siapa musuh itu. Kemudian, berdoalah seperti ini: “Saya memaafkan [nama dia] kerana dia telah [apa yang sebenarnya berlaku] terhadap saya”. Kemudian, bertaubatlah atas perbuatan kita yang membenci sesama manusia dan mintalah kepada Tuhan agar Dia juga memaafkan kita. Taatilah ajaran Yesus tentang bagaimana pengikut Dia harus berdoa, “Ampunkanlah dosa kami, kerana kami pun mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami” (Lukas 11:4, BM).

Selepas itu, “berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu”. Berdoa untuk kebaikannya. Yesus berfirman agar kita berdoa kepada musuh kita kerana dengan berbuat begini, Allah akan memenuhi hati kita dengan kasih-Nya. Allah itu Tuhan yang penuh dengan kasih. Apabila kita berdoa bagi musuh kita, mintalah agar Dia menyediakan setiap keperluannya dan agar Dia menampakkan siapa diri-Nya kepada musuh kita. Dengan ini, kita telah mengalahkan kejahatan dengan kebaikan! Daripada kita mengelak untuk berfikiran negatif terhadap musuh kita, adalah lebih baik untuk kita berfikir tentang kasih Allah kepada musuh kita.

Jika Tuhan telah menjawab doa kita (memang kita harus berdoa dan percaya), musuh kita tadi akan mula diberkati. Kita pula akan bertambah matang dalam iman dan telah belajar tentang erti pembebasan yang sebenar – kerana pengampunan yang lengkap akan benar-benar membebaskan kita! Apabila kita terus menerus “[berdoa] bagi orang yang menganiaya [kita]”, dan apabila Tuhan mengikut masa-Nya menjawab doa itu, keputusannya ialah; akan ada ‘musuh’ yang bertaubat dan dia akan menjadi saudara atau saudari baru kita di dalam Kristus! Ini ialah sukacita kita.

Oleh itu, “Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga” (Matius 5:44-45, BM). Amen.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]