Thursday, July 4, 2013

Nota untuk orang Kristian yang Hormat dan Takut akan Allah

Takutlah akan TUHAN, hai seluruh bumi!
Hormatilah Dia, hai semua penduduk dunia!” (Mazmur 33:8, BM)
Jika kamu mahu menjadi bijaksana,
pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN” (Amsal 9:10)

Perasaan takut akan Tuhan sudah semakin kurang dikalangan orang Kristian sekarang. Masa saya kecil dulu kami tidak dibenarkan memakai selipar dan seluar pendek ke gereja. Ibu saya akan marah jika saya dan abang memakai baju yang kotor dan rambut tanpa disikat. Apabila kami sekeluarga pergi bersiar-siar di pasar Kuching, gereja St. Thomas kelihatan agung dan seakan-akan Tuhan benar-benar ada di situ. Apabila kami mendekati gereja, kami pasti akan melakukan tanda salib atau tunduk dengan rasa takut dan hormat akan Tuhan. Kami beranggapan bahawa Tuhan ada bersama kita di gereja-Nya. Kebenaran ini dipercayai oleh kebanyakkan orang Kristian sejak saya masih kecil lagi...

Sekarang, hampir semuanya sudah berubah. Kebanyakkan generasi muda sekarang sudah hilang perasaan takut itu. Memakai selipar ke gereja; menggunakan seluar sukan pendek (bagi lelaki) dan baju seksi (bagi perempuan) semasa kebaktian; bertelefon, menghantar mesej, dan berbual-bual semasa Firman Allah dibacakan; mengambil gambar dan bergelak ketawa semasa perjamuan suci; tidur dan keluar masuk semasa pastor berkhutbah; mencuri (maksudnya tidak memberi) semasa tangguk dijalankan dan sebagainya. Perasaan tidak hormat akan Allah ini memangnya berasal daripada sikap individu itu sendiri, namun begitu – jika anggapan saya ini benar – kita sendiri, orang-orang Kristian, ahli-ahli gereja dan ibubapa merekalah yang harus disalahkan kerana gagal untuk memberi teladan, teguran dan disiplin kepada generasi muda sekarang. Kita sendiri tidak takut akan Allah!

Wahai orang-orang Kristian, hormat dan takutlah akan TUHAN!

Ada dua jenis ‘takut’ dalam pengertian Alkitab Bahasa Malaysia. Pertama, takut akan seseorang atau sesuatu yang menakutkan sehinggakan kita pergi jauh darinya; dan kedua, takut akan seseorang atau sesuatu disebabkan oleh darjat atau kedudukannya. Takut akan Tuhan ialah dalam pengertian yang kedua ini. Takut yang membawa kita datang kepada-Nya. Takut yang menyebabkan kita hormat kepada-Nya disebabkan kekuasaan dan kebesaran-Nya. Takut yang mendorong kita untuk melakukan yang terbaik dan takut yang mengelakkan kita daripada menyinggung perasaan-Nya. Takut yang memberikan kita sukacita kerana dengan segala kehebatan-Nya, Dia tetap mengasihi kita. Mazmur 2:11 mengatakan: “Beribadahlah kamu akan Tuhan dengan takut dan bersukacitalah dengan gementar” (TL).

Sebab Allah itu Tuhan yang hebat dan dahsyat perkasa, dan sebab Dia yang memegang kuasa mutlak atas kehidupan dan kematian di tangan-Nya – kita patut hormat dan takut akan Dia. Ketakutan yang digalakkan di dalam Alkitab ialah ketakutan yang menyebabkan kita sedar bahawa jika Allah menghukum kita atas dosa kita Dia tetap Allah yang adil. Tetapi, Dia tidak melakukannya kerana Dia bukan sahaja adil, malah Dia juga sangat berbelas-kasihan dan maha mengampuni (Yesus Kristus sudah mati bagi dosa kita. Amen). Ketakutan yang diajar di dalam Alkitab ialah ketakutan yang menyebabkan kita terus bertaubat dan terus menghargai dan mengalami kasih-Nya senantiasa.

Akhir kata dari saya; apabila kita datang kepada Tuhan (terutama sekali di gereja-Nya), Dia tidak melihat pakaian atau kedudukan kita – Allah melihat hati kita. Rasa hormat dan perasaan takut akan Tuhan adalah lebih penting daripada paras rupa dan penampilan kita. Ini memang benar. Namun begitu, cara hidup, percakapan dan pakaian kita mencerminkan hati kita. Jika kita benar-benar hormat dan takut akan-Nya; jika kita percaya bahawa Allah ada bersama kita apabila kita menyembah-Nya di gereja; jika kita benar-benar pengikut Kristus yang setia – perhatikanlah cara hidup, percakapan dan pakaianmu: adakah ia mencerminkan hati yang hormat dan takut akan Tuhan?

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

2 comments:

  1. pastor kami ada menegur tentang ini di gereja kami beberapa minggu yang lepas tentang menghormati hadirat Tuhan dan dia sangat mengambil berat tentang hal ini.pengajaran yang kurang lebih sama seperti ini. bagi saya takut akan Tuhan bererti menghormati Dia sebagai Tuhan yang kudus yang mulia yang boleh menghanguskan.hormat akan Tuhan bermaksud kita menundukkan diri kita dengan rendah hati dan mengagungkan Tuhan sebagai Raja yang mulia dan kudus.dan saya setuju dgn bro bahawa kita sebagai pengikut Kristus harus menunjukkan teladan/mencerminkan seorang pengikut yang menghormati Allah. teguran seperti ini perlu disampaikan di gereja2....untuk menyedarkan kita2 yang leka/terbuai dalam pelayanan kita.kadang2 teguran amat perlu untuk menyedarkan kita dengan keselesaan yang kita ada sekarang. terima kasih utk perkongsian yng memberkati ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kerana berkongsi tentang ini juga.

      Delete

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]