Thursday, November 8, 2012

Kebetulan atau Rencana Tuhan?

Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene...” (Lukas 23:26)

Pernahkah kamu terfikir samada apa yang berlaku kepada kamu sekarang adalah diluar pengetahuan Tuhan? atau diluar jangkaan Tuhan? Mungkin apa yang berlaku kepada kamu adalah sesuatu yang kamu sengaja lakukan. Mungkin juga ianya sesuatu yang kamu tidak sengaja lakukan – kesilapan manusia. Mungkin juga apa yang berlaku kepada kamu sekarang memang tidak ada kena-mengena langsung dengan kamu... namun kamu masih juga terpaksa melaluinya.

Bagi kita yang percaya kepada Tuhan, kita tahu bahawa tidak ada sesuatupun yang berlaku adalah kebetulan semata-mata. Kita sedar bahawa semuanya adalah di dalam pengetahuan Tuhan – semua perkara baik dan perkara buruk yang berubah menjadi baik – adalah rencana-Nya.
................
Apabila saya sedang menyediakan sesi renungan pagi untuk rakan-rakan sekerja saya di FES pagi tadi, saya begitu terdorong dengan cerita bagaimana Simon tiba-tiba muncul dalam cerita Berita Baik yang disampaikan oleh Lukas. Yesus pada masa itu telah dipukul, dipermainkan dan dijatuhkan hukuman mati. Pada masa askar-askar ini membawa Yesus ke bukit Golgota untuk disalibkan, mereka melihat Simon dari Kirena yang lalu ‘sedang memasuki kota [Yerusalem]’. Dia dipaksa untuk ‘memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus’ (Lukas 23:26). Cerita Simon berjumpa dengan Yesus adalah sangat pendek sekali, namun kesannya adalah sangat luarbiasa.

Markus 15:21 menyatakan bahawa ‘Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus’. Dan Rasul Paulus ada memberi salam peribadi kepada Rufus; ‘Aku mengirim salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuhan’ (Roma 16:13). Kedua-dua teks ini memberikan saya satu pertanyaan: Bagaimana Rufus boleh menjadi orang yang percaya kepada Yesus Kristus? Hanya ada satu jawapan yang sangat ketara sekali ialah: Melalui Simon, bapa Rufus, yang telah mengenali, mempercayai dan menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamatnya apabila pertama kali dia berjumpa dengan Yesus.

Apabila Simon tiba-tiba ditangkap dan dipaksa untuk memikul salib Yesus; ini bukanlah kebetulan, ini ialah rencana Tuhan. Apabila Simon tidak mengenali Yesus secara peribadi dan diarahkan untuk menolong Yesus; ini bukanlah kebetulan, ini ialah rencana Tuhan. Apabila Simon sedang memasuki kota untuk melakukan perkaranya sendiri dan aktivitinya tergendala seketika; ini bukanlah kebetulan, ini ialah rencana Tuhan.
.............
Kawan, apakah yang Tuhan ingin kamu lihat dalam kehidupanmu? Apakah yang ingin Dia sampaikan kepada kamu pada saat ini? Mungkinkah... mungkinkah Dia mahu kamu mengenali Yesus secara peribadi... mungkinkah Tuhan mahu kamu berjumpa dengan-Nya semula. Dalam apa saja situasi kamu sekarang, ingat: Semua yang berlaku kepada kamu adalah rencana Tuhan, bukannya kebetulan.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]