"Melalui iman Abraham
taat apabila disuruh pergi ke tempat yang kemudian diterimanya sebagai
warisannya. Dia pergi tanpa mengetahui ke mana dia pergi"
(Ibrani 11:8, AVB)
(Ibrani 11:8, AVB)
Mungkin Abraham sedang
berdoa, mungkin Abraham seorang yang berfikiran berbeza, mungkin Abraham ada
impian dia sendiri, tetapi dia mungkin takut untuk bertindak. Walau apapun,
TUHAN memanggil Abram keluar daripada zon selesa. Bila TUHAN berfirman dan bila
umat-Nya bertindak, segala kehendak-Nya akan terjadi. Pada masa yang sama,
impian kita yang selaras dengan kehendak-Nya akan menjadi kenyataan.
"Melalui iman Abraham taat apabila disuruh pergi ke tempat yang
kemudian diterimanya sebagai warisannya" - dia sampai ke Tanah
Perjanjian di Kanaan yang subur dan kaya. Apa yang lebih berharga lagi ialah
Abraham memiliki hubungan yang akrab dengan TUHAN, menjadi sahabat-Nya. Melalui
suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, iman dan keraguan, Abraham terus
bergantung kepada TUHAN. Ini ialah "warisannya"
yang paling berharga. Semua disebabkan dia sanggup keluar daripada zon selesa.
Berbeza dengan Abraham,
bapanya Terah juga pergi keluar daripada tempat asalnya tetapi dia berputus asa
dan berhenti di tengah jalan. "Ketika sampai di
Haran, [Terah dan keluarganya]
menetap di sana" (Kejadian 11:31). Apa yang Terah
mahu ialah keselesaan dan hidup biasa-biasa, jadi, dia tidak dapat menikmati
berkat TUHAN yang lebih besar lagi. Dia menetap. Jika Terah bersikap seperti
Abraham, mungkinkah dia juga akan menikmati kebaikan di Tanah Perjanjian dan
mempunyai hubungan yang akrab dengan TUHAN? Mungkin iya, mungkin tidak. Kita
tidak tahu kerana dia tidak mengambil risiko dan keluar daripada zon selesa.
Alang-alang.
Jangan jatuh cinta dengan
zon selesa. Zon selesa tidak akan membangkitkan iman kamu. Memang akan kurang
konflik, masalah dan kegagalan jika kamu berada di zon selesa tetapi tanpa
semua itu, bagaimana kamu tahu bahawa iman kamu itu hidup? Bagaimana kamu dapat
merasa pertolongan TUHAN jika kamu tidak ada masalah? Jadi seperti Abraham,
"dia pergi tanpa mengetahui ke mana
dia pergi." Dia mungkin tidak
pasti tentang arah dan kedudukan yang dijanjikan kepadanya tetapi dia
"PERGI", keluar daripada zon selesa kerana dia tahu Siapa yang
mengarahkannya dan Siapa yang duduk ditakhta hidupnya. Keluar daripada zon
selesa kamu. Banyak lagi yang TUHAN ingin beri kepada kamu. Terus melangkah
dan terus percaya. Mahu menjadi seperti Abraham atau Terah?
Instagram ---> Richard_Angelus
THINK BIG.
START SMALL. GO DEEP.
No comments:
Post a Comment