Friday, November 16, 2018

Angelus' Quote: Belajar JUGA dari Semut dan Orang Biasa


Persoalan seperti ini seringkali saya dengar, “Brother, siapa pengkhutbah untuk kem itu nanti?” Ini soalan yang betul tetapi pada masa yang sama (jika kamu melihat riak wajah, intonasi suara dan sebutan) ia juga merupakan suatu kenyataan, seperti, “Jika pengkhutbah itu tidak terkenal, saya tidak berminat untuk datang ke kem ini.” Ada juga yang bertanya sebab betul-betul ingin tahu – ini tindakan yang bijak.

Sebagai pendengar dan mahu belajar, kita harus berhati-hati dengan siapa yang kita dengar dan baca. Betul, kita harus bertanya soalan dan menilai orang itu. Jika kamu ingin menjemput orang berkongsi tentang isu integriti, kamu harus periksa sebaik mungkin tentang integriti orang itu dalam pelayanannya dan hubungannya. Ini langkah yang bijak. Tetapi ada satu sikap dan pemikiran (yang sempit) yang sangat kritikal, iaitu, ada orang hanya mahu mendengar dan belajar daripada para pengkhutbah (atau selebriti) yang popular sahaja.

Ada di beberapa tempat yang ketara yang saya perhatikan sikap seperti ini: #1 WhatsApp Group. Dalam setiap group pasti ada satu dua orang yang suka mengongsikan mutiara kata atau renungan harian atau media setiap hari. Perhatikan, siapa pengkhutbah yang diagung-agungkan? Philip Mantofa? Gilbert Lumoindong? Joseph Prince? #2 Facebook Posts. Perhatikan, dalam banyak-banyak artikel yang ditulis di dalam laman web atau blog, artikel siapa yang selalu dikongsikan? Desiringgod.org? Christianitytoday.com? John Piper? Timothy Keller? John MacArthur? #3 Event Posters. Perhatikan poster-poster yang dikongsikan di social media. Pengkhutbah terkenal akan nampak lebih besar daripada yang lain. Yang selebihnya hanya disenaraikan sebagai “dan sebagainya.” Perhatikan ayat-ayat promosi yang digunakan. Perhatikan sorotan yang dipaparkan. Sila buat pemerhatian.

Apa yang ingin saya katakan disini ialah bukan tentang para pengkhutbah atau selebriti terkenal, saya ingin kita sedar bahawa kita JUGA boleh mendengar dan belajar daripada semua orang. Jika seorang yang lebih muda daripada kamu berkata dengan kebijaksaan, dengar dia; jika seorang yang biasa-biasa melakukan hal yang luar biasa bagi kamu, belajar daripada dia; jika ada seorang yang berbeza pendapat atau kepercayaan daripada kamu, jangan terus menolak dia, fikirkan apa yang dikatakannya. Di dalam Alkitab banyak menulis tentang watak-watak yang hebat seperti Abraham, Yusuf, Daud, Nehemia, Daniel, Paulus, Petrus dan sebagainya, tetapi Alkitab juga ada menulis tentang semut. Amsal 6:6 bermula dengan ayat, “Pergilah kepada semut… perhatikanlah cara hidupnya dan jadilah arif.” Pergilah. Perhatikan. Belajar. Jadilah arif. Siapa? Semut! Begitu juga, dengar dan belajar daripada orang ‘biasa.’


THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]