Monday, April 27, 2015

Kaleb anak Yefune: Memiliki Hati yang Tidak Berbelah Bahagi

Old Man | Photographer Agency (taken from: www.ph-agency.com)
Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepada Yosua, ‘Tuan tahu akan firman TUHAN kepada Musa, hamba Allah, tentang kita berdua semasa kita di Kades-Barnea… Sejak itu TUHAN telah menjaga saya supaya saya tetap hidup, menurut janji-Nya. Lihatlah! Sekarang saya sudah berumur lapan puluh lima tahun dan masih sekuat dahulu, ketika Musa mengutus saya. Saya masih kuat untuk berperang atau melakukan apa-apa saja…
(Yosua 14:6, 10-11,
BM).

Kaleb ialah seorang pengintip dan salah seorang daripada pemimpin suku-suku Israel. Mungkin ada yang kurang berminat tentang kisah seorang pengintip tetapi percayalah, banyak yang kita boleh belajar daripada keperibadian Kaleb. Wow, saya berharap apabila saya berumur 85 tahun kelak saya masih bersemangat dan berpegang teguh kepada iman saya dan masih komited melihat janji-janji TUHAN digenapi seperti Kaleb. Apabila kebanyakkan orang mahu kehidupan yang lebih senang menjelang hari tua mereka, Kaleb masih lagi tidak sabar-sabar untuk berkhidmat. Dia digambarkan di dalam Alkitab sebagai seorang yang mengikut TUHAN dengan sepenuh hatinya. Kita boleh membaca tentang pengelibatan dia bersama Yosua dalam buku Bilangan bab 13 dan 14.

Kaleb ialah seorang yang beriman dengan sepenuh hati dia, tidak berbelah bahagi dan tidak setengah-setengah. Dia tidak hanya mengikut TUHAN apabila keadaan semuanya baik-baik sahaja atau apabila ia tidak melibatkan apa-apa kos dan berputus asa apabila keadaan semakin sukar. Tidak! Kaleb tetap terus berdiri teguh dan berani menghadapi cabaran walauapapun dugaan dan cabaran yang datang.

Kamu kenal orang yang selalu melihat masalah dan menjangka banyak perkara buruk yang akan berlaku apabila cuba untuk melakukan sesuatu? Kamu kenal orang yang selalu memberi banyak alasan kenapa ia tidak boleh terjadi? Kamu kenal orang yang sudah mengalah walaupun belum lagi melakukan apa-apa? Itu bukan Kaleb! Kaleb seorang yang teguh hati. Dia bukan saja percaya, malah, dia menggalakkan orang lain: “Kita cukup kuat!” (Bilangan 13:30). Ini bukan sekadar berfikiran positif atau sikap optimis yang membabi buta. Kaleb mempunyai sikap dan iman yang percaya kepada firman TUHAN. Dia melihat sesuatu keadaaan dan krisis dengan kaca mata TUHAN. Dia melihat apa yang akan terjadi bila TUHAN beserta kita. Dia mengambil serius terhadap perintah dan janji TUHAN.

Hati Kaleb tidak berbelah bahagi. Dia beriman dengan sepenuh hatinya. Kaleb melihat rencana TUHAN dan keinginan hatinya sama saja kerana dia telah mengabdikan dirinya kepada TUHAN. Dia percaya. Dia beriman. Dia memegang kepada janji-janji-Nya. TUHAN milik dia, dia milik TUHAN. TUHAN, berikan kami hati yang tidak berbelah bahagi seperti Kaleb dan sentiasa melayani-Mu sampai hari tua kami. Amen.
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.


Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]