Wednesday, October 9, 2013

Kepentingan Firman Allah dalam Puji Sembah

Hendaklah mereka semua memuji nama TUHAN!
Hanya nama-Nya sahaja yang paling agung;
kemuliaan-Nya melebihi semua yang di bumi dan di syurga
(Mazmur 148:13, terjemahan saya)

Tanpa pengetahuan tentang kebenaran, puji sembah atau penyembahan yang benar tidak mungkin akan terjadi. Seperti rasul Paulus apabila dia menjelajahi bandar Atena, dia menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, “Kepada Allah Yang Tidak Dikenali” (baca Kisah Rasul-Rasul 17:16-34). Ini mungkin apa yang berlaku kepada orang yang pergi menyembah ‘tuhan’ (atau para tuhan) tanpa mengenal siapa TUHAN yang benar itu secara peribadi. Adalah sangat sia-sia untuk menyembah ‘tuhan’ yang tidak dikenali; kerana jika kita tidak mengenal siapa ‘tuhan’ itu kita tidak tahu penyembahan yang bagaimana yang ‘dia’ mahukan.

Tetapi, jika kita sudah mula mengenal siapa TUHAN yang hidup itu dan mengetahui kebenaran tentang diri-Nya – puji sembah kita akan ada maknanya. Puji sembah kita akan ada arah dan tujuannya. Semakin kita tahu siapa TUHAN itu, semakin kita sedar bahawa hanya Dialah yang layak disembah dan dipuja. Untuk menyembah ialah untuk “memuji nama TUHAN”, memuliakan Dia yang kita kenal, berterima kasih atas segala perbuatan-Nya dan takjub akan keagungan-Nya. Seperti seruan pemazmur di atas: “Hendaklah mereka semua memuji nama TUHAN! Hanya nama-Nya sahaja yang paling agung; kemuliaan-Nya melebihi semua yang di bumi dan di syurga”.

Disebabkan puji sembah ialah suatu respon terhadap kebenaran tentang TUHAN yang kita tahu dan alami –  Firman Allah iaitu Alkitab – adalah sangat penting bagi kita. Firman-Nya membangkitkan akal, hati dan jiwa kita untuk menyembah-Nya. Bagai aur dengan tebing; Firman Allah dan puji sembah tidak boleh dipisahkan!

Oleh itu, adalah sangat penting sebelum memulakan puji sembah di gereja atau dimana sahaja persekutuan Kristian berlaku, ia patut dimulakan dengan membaca petikan Alkitab (yang berkaitan) dan menterjemahkan atau mengajar Firman itu selepas ia didengarkan. Di dalam kitab Nehemia buku Perjanjian Lama: “[Orang Lewi] menterjemahkan Taurat Allah itu bahagian demi bahagian dan menghuraikannya supaya rakyat mengerti” (Nehemia 8:8, BM) dan disebabkan itu, mereka “bersukacita... kerana mereka faham akan makna pembacaan yang didengarkan mereka itu” (8:12). Di dalam Perjanjian Baru pula, Paulus berpesan kepada Timotius, “gunakanlah masamu dengan membaca Alkitab kepada jemaah, dan berkhutbah serta mengajar” (1 Timotius 4:13, BM).

Adalah sangat logik dan alkitabiah untuk kita memulakan sesuatu ibadah dengan membaca Alkitab dan kemudian menterjemahkannya atau mengajar sebelum kita menyanyikan lagu-lagu puji sembah. Jika kita mula dengan puji sembah sebelum Firman Allah dibacakan, persoalannya ialah: Kita respon tentang apa? Mungkin ramai diantara kita tidak sedar (atau pura-pura tidak sedar) yang orang akan lebih bersemangat dan hati, akal dan jiwa mereka lebih bersedia untuk memuji dan menyembah TUHAN selepas mereka mendengar Alkitab dibacakan dan selepas Firman Allah diajarkan. Puji sembah seharusnya ialah respon kita kepada Firman Allah, bukannya sesuatu yang harus kita ‘buat-buat’ melalui ‘paksaan’ atau mainan psikologi. Hanya jika TUHAN berfirman melalui Firman-Nya yang hidup dan hanya jika Dia sendiri yang ingin menunjukkan diri-Nya yang agung dan mulia melalui Roh Kudus kepada kita, barulah kita benar-benar tunduk hormat dan takut kepada-Nya – dan puji sembah kita tidak lagi seperti biasa.

 Mungkin susah untuk kita berbuat begitu pada masa ini kerana kita sudah terbiasa dengan kebiasaan (atau tradisi lama) sebelum kita memulakan ibadah. Ini cadangan saya kepada kamu:

1)    Mulakan ibadah dengan berdoa terlebih dahulu.
2)    Selepas itu, baca petikan Alkitab yang berkaitan dengan tema atau topic atau khutbah yang akan dikongsikan pada masa itu.
3)    Kemudian, kamu atau pemimpin puji sembah memulakan nyanyian bersama. (Pilih lagu yang sesuai dengan petikan Alkitab tersebut).
4)    Sesudah itu, jemput pengkhutbah untuk menterjemahkan dan mengajar Firman Allah.
5)    Apabila sudah tamat, pemimpin puji sembah menyanyikan beberapa lagu yang sesuai dan mengakhirinya dengan doa penutup.

Ini hanya cadangan saya sahaja. Apa yang penting ialah kita patut memuji sembah dan berdoa selepas Alkitab dibacakan. Hanya melalui Firman-Nya kita tahu bagaimana untuk menyembah TUHAN dengan betul dan berdoa dengan penuh yakin berdasarkan kehendak-Nya. Puji sembah ialah doa kita juga, dan Alkitab mengatakan bahawa: “Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya” (1 Yohanes 5:14, BM). Alkitab mengandungi kehendak-Nya. Puji sembahlah Dia sesuai dengan kehendak-Nya! Puji sembahlah Dia berdasarkan Firman-Nya yang hidup!

Kawan, adakah pembacaan Alkitab ada dalam puji sembahmu?
THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
Best Blogger Tips

1 comment:

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]