Tuesday, January 22, 2013

Nota Ringkas tentang Cinta Romantik

Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah... waktu untuk berasmara dan waktu untuk menahan diri” (Pengkhutbah 3:1, 5)

Cinta romantik. Cinta romantik ialah bahasa cinta yang membawa kepada keintiman antara satu dengan yang lain (jiwangnya aku ini). Alangkah indahnya perasaan itu apabila seseorang yang kita cintai menyatakan bahawa dia sayang kamu, dia menghargai masa bersama kamu dan dia betul-betul telah jatuh cinta kepada kamu. Kamu akan merasa yakin, dihargai dan dunia ini seakan-akan milik kamu... senyum, bersemangat, indah.

Pernah kamu merasa begini? Dulu? Sekarang? Belum lagi? Walau apa pun kita semua mengingini hubungan yang intim, cinta romantik. Jangan malu untuk mengakui keinginan kamu untuk memiliki cinta ini – Tuhan mencipta kita untuk mempunyai hubungan antara satu sama lain termasuk hubungan intim. Keinginan itu telah ditanam ke dalam hati setiap insan, dan ia hanya akan ‘menyinar’ dengan indah sekali apabila hubungan itu diikat melalui tali perkahwinan. Tuhan yang mencipta hubungan romantik, jadi ia bukanlah sesuatu yang tidak baik melainkan jika kita menyalahgunakannya.

Bagi kamu yang masih bujang lagi (seperti saya buat masa sekarang), saya ada soalan untuk kamu: Sejauh mana kamu mengingini hubungan romantik? Adakah kamu betul-betul mengingininya sehinggakan kamu sangguh bersama dengan sesiapa sahaja walaupun ia melanggar perintah Tuhan Allah dan bertentangan dengan ajaran Al-Kitab?

Begini, hubungan intim, cinta romantik dengan seseorang selalunya terjadi pada masa kamu tidak menyedarinya. Ia berlaku apabila kamu tidak terlampau memikirkannya. Ia selalunya berputik, bermula daripada persahabatan. Dan cinta bagi orang Kristian harus bertumbuh melalui perhubungan iman, berkongsi pengalaman hidup dan mempunyai matlamat sama iaitu untuk bertumbuh dalam kasih Yesus Kristus dan melayani Tuhan Allah seumurhidup bersama-sama.

Oleh itu, jalinlah hubungan persahabatan dengan penuh ikhlas, tidak kira samada dengan lelaki atau perempuan dan teruslah melayani Yesus dimana sahaja kamu berada (jangan terlalu fokus atau risau untuk mencari teman wanita atau teman lelaki). Ingat: walau apa pun kita ada Tuhan Yesus, teman sejati, yang selalu mencintai kita. Ingat juga bahawa “segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah...” waktu untuk menunggu si dia dan waktu untuk cinta romantik.

THINK BIG. START SMALL. GO DEEP.
................................................................
Nota: Namun begitu, mungkin ada diantara kamu telah dipanggil untuk melayani Tuhan Allah sepenuh masa dan kamu akan tetap membujang seumur hidup. Ini ada kebenaran bagi kamu; Yesus Kristus tidak pernah mempunyai hubungan romantik dan tidak berkahwin... namun Dia tetap Anak Manusia yang paling sempurna sekali. Rasul Paulus hidup membujang sampai mati... namun Tuhan Allah telah menggunakan hidupnya dengan luar biasa sekali. Kamu tetap sempurna dan lebih lagi boleh melayani Yesus dengan hebat sekali walaupun kamu tidak mempunyai teman hidup. Bersuka-citalah!
Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

They Click it A lot. [Top 7 last 7 Days]